Bayangkan tiada pemfitnah
tiada penipu-penghasut-pendendam
tiada pencuri-perompak-pembunuh
tiada pendusta-pemutar belit-penjangak
tiada pendosa pembawa virus kebencian
berulit permusuhan sesama insan,
hanya orang-orang beriman
pagi petang malam
asyik menyanyikan lagu kasih sayang
pekat pedoman
sarat budiman
taat amat merafakkan kesetiaan
memulangkan harum cinta-Nya.
Mungkin kamu akan mengatakan
penuh sinis
aku seorang pemimpi
memimpikan yang tidak terbayangkan
sebuah pengharapan yang berkarat
tidak akan menjadi kenyataan
di tengah-tengah bumi yang semakin panas
melahirkan manusia yang semakin ganas
tapi aku bukan seorang saja
bermuhasabah mengimpikan hasanah rabbaniah
beristiqamah mencuci diri dan kalbu
yang berlumut pada air kolah
terapung-apung wajah kusam
bertompok lumut hitam
dan tetesan air mata
ketakwaan yang tergeliat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg