Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukan sekadar guru Bahasa Melayu, pembimbing jiwa dan kehidupan
Usaha terus menangi hati pelajar, jalin hubungan berasas kepercayaan
Setiap kali melangkah keluar dari rumah untuk ke Sekolah Menengah Punggol, Cik Julaiha Haron, hampir pasti akan menyarungkan sepasang kasut jenama Skechers berwarna biru gelap.
Bagi orang lain, ia mungkin sekadar sepasang kasut yang selesa dipakai sepanjang hari di sekolah.
Namun bagi guru Bahasa Melayu itu, kasut tersebut membawa makna yang jauh lebih mendalam.
Setiap kali memakainya, beliau teringat kepada sekumpulan bekas pelajarnya.
Mereka bukan sahaja menghadiahkan kasut itu kepadanya, malah memilih model dan saiz yang tepat selepas bertahun-tahun memerhatikan perkara kecil yang tidak pernah disedarinya sendiri.
“Itulah yang paling menyentuh hati saya. Mereka benar-benar memerhatikan saya,” ujar calon Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2026 bagi Kategori Teladan itu.
Bagi Cik Julaiha, 39 tahun, hadiah tersebut bukan sekadar sepasang kasut.
Ia menjadi lambang hubungan yang berjaya dibinanya bersama pelajar sepanjang 15 tahun bergelar pendidik.
Hubungan itulah yang sentiasa menjadi titik permulaan setiap pembelajaran di dalam bilik darjah.
Beliau percaya seseorang guru perlu terlebih dahulu memenangi hati pelajar sebelum dapat membuka minda mereka.
“Saya percaya setiap pelajar datang ke sekolah kerana mereka mahu belajar.
“Mereka merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya.
“Tugas saya ialah membantu mereka membina keyakinan diri, mengembangkan potensi dan menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Pegangan itu tidak pernah berubah sejak beliau memulakan kerjaya sebagai guru.
Berlandaskan falsafah Kementerian Pendidikan (MOE) bahawa setiap pelajar mampu dan mahu belajar, beliau turut menjadikan peribahasa Melayu, belakang parang walau diasah nescaya tajam, sebagai pegangan sepanjang bergelar pendidik.
Menurut beliau, setiap pelajar mempunyai kebolehan dan cara pembelajaran yang berbeza.
Perkara pertama yang ingin dibinanya bukanlah penguasaan bahasa Melayu semata-mata.
Sebaliknya, beliau mahu membina hubungan yang berasaskan kepercayaan, rasa hormat dan saling memahami.
Apabila hubungan itu kukuh, katanya, pelajar akan hadir ke kelas bukan kerana terpaksa, tetapi kerana mereka mahu berada di situ.
Malah, ada yang datang bertemunya bukan untuk berbincang tentang tugasan sekolah.
Sebaliknya, mereka mahu mendapatkan pandangan tentang persahabatan, hubungan dengan ibu bapa atau cabaran yang sedang dihadapi.
Bagi Cik Julaiha, detik-detik seperti itulah yang mengingatkannya bahawa tugas seorang guru jauh melangkaui penyampaian isi pelajaran.
“Kadang-kadang mereka datang kepada saya dan berkata, ‘Cikgu, saya ada masalah’.
“Itu sendiri sudah menjadi peluang untuk saya membimbing mereka, bukan sahaja dalam pembelajaran Bahasa Melayu, malah dalam kehidupan.”
Baginya, apabila pelajar diberi ruang untuk bersuara, mereka bukan sahaja belajar menggunakan bahasa, bahkan belajar berfikir secara kritis dan menghormati pandangan orang lain.
Beliau turut mencari pelbagai cara untuk menjadikan bahasa Melayu lebih dekat dengan dunia pelajar, salah satunya melalui muzik.
Bersama para pelajar menengah atasnya, beliau membuat senarai lagu di wadah Spotify yang dikongsi bersama.
Pelajar bebas mencadangkan lagu Melayu yang diminati, namun setiap pilihan perlu disertakan dengan penjelasan tentang makna lagu dan sebab mereka memilihnya.
Daripada situlah lahir pelbagai perbualan mengenai pilihan lagu itu.
Ada yang memperkenalkan lagu-lagu baru, ada juga yang mengejutkannya apabila meminati lagu daripada kumpulan seperti Ungu dan Wali Band.
Menurut beliau, muzik menjadi titik persamaan yang merapatkan jurang antara guru dengan pelajar.
Pada masa yang sama, mereka belajar menghargai keindahan bahasa Melayu yang kaya dengan makna tersirat dan kesantunan melalui lagu itu.
Apabila pelajar sukar menyampaikan idea dalam bahasa Melayu pula, beliau tidak terus membetulkan kesilapan mereka.
Sebaliknya, Cik Julaiha membimbing para pelajarnya dengan memberikan contoh permulaan ayat, sebelum menggalak mereka meneruskan sendiri jawapan yang ingin disampaikan.
Baginya, keyakinan perlu dibina sedikit demi sedikit.
Sepanjang bergelar pendidik, pelbagai kenangan manis telah dilaluinya.
Selama bertahun-tahun, beliau berusaha memastikan setiap pelajar berasa didengari dan dihargai.
Tanpa disedarinya, para pelajarnya juga melakukan perkara yang sama terhadap dirinya.
Perkara itu yang membuat kasut yang dihadiahkan oleh pelajarnya antara yang paling berharga yang pernah diterimanya sebagai seorang guru.
CALON ANUGERAH GURU ARIF BUDIMAN 2026
Kategori Perangsang (kurang 10 tahun dalam perkhidmatan)
– Cik Diana Mohamed Mazlan (Sekolah Rendah First Toa Payoh)
– Cik Nur Azirah Mohd Nor (Sekolah Rendah Cantonment)
– Cik Nasuha Rahmat (Sekolah Menengah Outram)
– Cik Syafiqah Md Anuar (Sekolah Menengah Meridian)
Kategori Teladan (10 tahun atau lebih dalam perkhidmatan)
– Cik Aidah Hosni (Sekolah Rendah Fern Green)
– Encik Azhar Abdul Rashid (Sekolah Rendah Horizon)
– Cik Julaiha Haron (Sekolah Menengah Punggol)
– Cik Nur Maizurah Rosle (Sekolah Tinggi Nan Chiau)
