Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuru manfaat ‘masa bulatan’ perkasa emosi, bahasa Melayu murid
Guru manfaat ‘masa bulatan’ perkasa emosi, bahasa Melayu murid
Sesi perkongsian jadi ruang untuk setiap murid lahirkan rasa empati, bina sistem sokongan sesama mereka
Guru manfaat ‘masa bulatan’ perkasa emosi, bahasa Melayu murid
Ketika duduk dalam bulatan besar, seorang demi seorang murid mula meluahkan masalah yang dihadapi.
Ada yang mengadu tentang masalah rasa tertekan menjelang musim peperiksaan hingga menjejas pelajaran dan kerja rumah.
Ada juga yang mula menitiskan air mata tatkala merintih tentang kehilangan ahli keluarga atau kawan.
Ada pula yang mencurahkan emosi tatkala berhadapan keadaan ibu bapa yang bercerai.
Begitulah suasana dalam kelas Cik Aidah Hosni, 51 tahun, di Sekolah Rendah Fern Green, ketika beliau menggalakkan muridnya agar lebih terbuka dalam menyuarakan keluhan mereka melalui sesi ‘masa bulatan’.
Menurut beliau, masa bulatan yang diadakan sekurang-kurangnya dua kali setiap penggal itu bertujuan membantu murid dan guru saling mengenali dengan lebih mendalam.
Namun, sesi perkongsian itu bukanlah tempat untuk beliau menyelesaikan setiap masalah yang dikongsi oleh muridnya.
Malah, ia menjadi ruang untuk setiap murid melahirkan rasa empati serta membina sistem sokongan sesama mereka.
Lantaran itu, ia menjadi waktu untuk semua, termasuk Cik Aidah sendiri selaku guru Bahasa Melayu, untuk berkongsi masalah dan pengalaman lebih peribadi dan dekat di hati.
Pada masa yang sama, beliau akan menyelami gejolak emosi dan kehidupan muridnya untuk lebih memahami keperluan mereka.
Mengulas tentang ‘masa bulatan’ tersebut, Cik Aidah, yang merupakan finalis bagi Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) Kategori Teladan, berkata:
“Saya berpegang pada prinsip bahawa setiap murid ingin didengari, dilihat dan difahami.
“Jadi, saya sengaja meluangkan masa dan menyediakan ruang untuk murid-murid berkongsi pandangan, perasaan dan pengalaman mereka dalam persekitaran yang selamat.
“Melalui sesi ‘masa bulatan’, saya dapat mengenali murid saya lebih daripada sekadar pencapaian akademik mereka.
“Saya dapat memahami ketakutan, motivasi, cabaran dan harapan yang mereka miliki.
“Malah, dalam bulatan itu, murid sendiri dapat menjalin hubungan yang baik bersama rakan-rakan mereka.
“Adakalanya, mereka akan memberi kata-kata semangat dan panduan atau nasihat kepada rakan yang sedang menghadapi masalah.”
Beliau berpendapat murid yang berasa dihargai, didengari, dan difahami akan lebih berkeyakinan untuk menguasai serta memartabatkan bahasa Melayu.”
“Melalui ‘masa bulatan’ itu, murid dilatih agar dapat membiasakan diri untuk menyampaikan idea, bertanya, dan melontarkan pendapat.
“Ia memberi mereka keyakinan sebelum mereka dapat mencapai kecekapan berbahasa Melayu.
“Apabila mereka yakin dan berasa selamat, mereka akan lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan penguasaan bahasa mereka,” ujar ibu dua anak itu.
Pendekatan ‘masa bulatan’ yang diamalkan Cik Aidah itu banyak menyentuh soal perkembangan emosi dan mental murid.
Hal itu berpucuk daripada prinsip beliau yang percaya akan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dengan kesejahteraan murid.
Setelah berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu sejak 2002, beliau akur tekanan mental itu merupakan isu yang biasa berlaku dan dihadapi oleh murid hari ini.
Beliau juga sedar lazimnya murid tidak tahu bagaimana ataupun di mana mereka boleh mendapatkan bantuan.
“Yang saya risaukan ialah murid yang menghadapi tekanan mental atau emosi tetapi tidak tahu di mana atau daripada siapa boleh mereka dapatkan bantuan.
“Jadi, saya harap dengan latihan ‘masa bulatan’ itu, mereka tahu yang mereka tidak akan pernah keseorangan ketika berhadapan dengan masalah kehidupan.
“Mereka harus menjadi berani untuk bersuara, berkongsi tentang isu yang menghimpit mereka dan juga menjadi pendukung semangat buat rakan-rakan sebaya mereka.
“Pada masa hadapan, saya harap mereka sentiasa tahu bahawa ada sokongan yang mereka boleh dapatkan supaya mereka tidak bersendiri dalam menyelesaikan masalah.
“Saya juga berharap mereka akan menjadi lebih yakin untuk berdepan dengan situasi hidup mereka,” tambah beliau.
CALON ANUGERAH GURU ARIF BUDIMAN 2026
Kategori Perangsang (kurang 10 tahun dalam perkhidmatan)
– Cik Diana Mohamed Mazlan (Sekolah Rendah First Toa Payoh)
– Cik Nur Azirah Mohd Nor (Sekolah Rendah Cantonment)
– Cik Nasuha Rahmat (Sekolah Menengah Outram)
– Cik Syafiqah Md Anuar (Sekolah Menengah Meridian)
Kategori Teladan (10 tahun atau lebih dalam perkhidmatan)
– Cik Aidah Hosni (Sekolah Rendah Fern Green)
– Encik Azhar Abdul Rashid (Sekolah Rendah Horizon)
– Cik Julaiha Haron (Sekolah Menengah Punggol)
– Cik Nur Maizurah Rosle (Sekolah Tinggi Nan Chiau)
