Suasana di sebuah bilik darjah Sekolah Tinggi Nan Chiau bertukar meriah apabila sekumpulan pelajar dari Taiwan berkumpul mengelilingi beberapa pelajar tempatan.

Di hadapan mereka, pelajar itu dengan penuh yakin menunjukkan cara menghasilkan bunga manggar, menganyam ketupat kertas dan memperkenalkan beberapa ungkapan asas dalam Bahasa Melayu.

Bagi kebanyakan orang, keadaan itu mungkin kelihatan biasa.

Namun, bagi Cik Nur Maizurah Rosle, 37 tahun, detik tersebut cukup istimewa.

Pelajar yang berdiri di hadapan itu bukan penutur jati bahasa Melayu.

Malah, ketika mula melangkah masuk ke kelasnya beberapa tahun lalu, kebanyakan mereka hanya mengenali beberapa perkataan mudah seperti ‘satu’, ‘dua’, ‘tiga’, ‘makan’ dan ‘saya’.

Kini, mereka pula yang memperkenalkan bahasa dan budaya Melayu kepada orang lain.

“Itulah saat saya rasa mereka bukan sahaja belajar bahasa, tetapi benar-benar menghayati budaya,” kata finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2026.

Sudah 14 tahun beliau bergelar pendidik.

Selama lima tahun pula beliau berkhidmat di Sekolah Tinggi Nan Chiau, sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) yang menawarkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ketiga.

Di Nan Chiau, hampir semua pelajarnya terdiri daripada pelajar Cina yang membesar tanpa latar belakang bahasa mahupun budaya Melayu.

Ramai yang langsung tidak pernah bertutur dalam bahasa Melayu sebelum memasuki sekolah menengah.

Namun, keadaan itu tidak pernah melemahkan semangatnya.

Sebaliknya, beliau melihatnya sebagai satu peluang untuk membuka lembaran baharu kepada pelajarnya.

“Setiap pelajar sebenarnya mahu belajar apabila diberikan bimbingan, galakan dan peluang yang sesuai,” katanya.

Atas kepercayaan itu, beliau sentiasa berusaha mewujudkan bilik darjah yang selamat dan bersifat terangkum, tempat pelajar berani bertanya, berkongsi pandangan serta belajar daripada kesilapan.

Sebagai guru Bahasa Melayu, beliau percaya tugasnya tidak berakhir apabila pelajar menghafal kosa kata atau menguasai tatabahasa.

Beliau mahu mereka memahami nilai kemanusiaan yang disemai di sebalik bahasa tersebut.

Pada pandangannya, bahasa dan budaya ibarat “akar dan sayap”.

“‘Akar’ memberikan kita identiti, nilai dan rasa kekitaan, manakala ‘sayap’ membolehkan kita berkomunikasi dengan yakin, menjalin hubungan dengan orang lain serta memimpin dengan empati,” jelasnya.

Pegangan itu turut membentuk cara beliau mengajar.

Daripada bergantung sepenuhnya kepada buku teks, beliau lebih gemar menghidupkan subjek Bahasa Melayu melalui pengalaman sebenar.

Melalui Karnival Bahasa Cemerlang, pelajar membina permainan bahasa Melayu mereka sendiri sebelum mengajak rakan lain mengujinya.

Ada kalanya pula, seluruh kawasan sekolah bertukar menjadi laluan perlumbaan seperti permainan, Amazing Race, dengan setiap kumpulan perlu menyelesaikan pelbagai misi berpandukan petunjuk dalam bahasa Melayu.

Namun bagi Cik Nur Maizurah, pembelajaran yang paling bermakna berlaku apabila pelajar melangkah keluar dari bilik darjah.

Pada awal 2026, beliau bersama rakan guru mengusahakan Program Lawatan Pembelajaran Berbuka Puasa yang melibatkan kesemua 340 pelajar Menengah 2 sekolahnya.

Sepanjang Ramadan, mereka menjadi sukarelawan di beberapa masjid di Singapura, membantu menyediakan juadah berbuka puasa, berbuka bersama jemaah serta mempelajari seni bina masjid dan budaya Islam.

Lebih penting lagi, mereka mengalami sendiri nilai kemurahan hati, semangat kekitaan dan budaya memberi yang begitu sinonim dengan masyarakat Melayu/Islam.

Beliau masih mengingati reaksi pelajarnya ketika melihat deretan makanan yang disumbangkan oleh orang ramai.

“Ada yang bertanya kepada saya, ‘Cikgu, makanan ini semua untuk kami?’ dan ‘Boleh saya bawa balik?’” kongsinya sambil tersenyum lebar.

“Bagi kita, perkara itu biasa. Tetapi bagi mereka, semuanya pengalaman baharu,” tambah Cik Nur Maizurah.

Menurut beliau, pengalaman seperti itulah yang meninggalkan kesan paling mendalam.

Melalui interaksi secara langsung, pelajar bukan sekadar mengetahui tentang budaya Melayu, malah mula memahami sebab di sebalik amalan dan nilai yang diamalkan masyarakat.

Bagi Cik Nur Maizurah, itulah tujuan sebenar pendidikan bahasa.

Bukan sekadar melahirkan pelajar yang mampu menjawab soalan peperiksaan, tetapi membentuk generasi yang menghargai kepelbagaian budaya, berempati terhadap orang lain dan menjadi jambatan yang merapatkan masyarakat berbilang kaum di Singapura.

“Ada yang bertanya kepada saya, ‘Cikgu, makanan ini semua untuk kami?’ dan ‘Boleh saya bawa balik?’ Bagi kita, perkara itu biasa. Tetapi bagi mereka, semuanya pengalaman baharu.”
 Cik Nur Maizurah Rosle, guru Bahasa Melayu di Sekolah Tinggi Nan Chiau, ketika berkongsi mengenai pelajarnya yang menyertai Program Lawatan Pembelajaran Berbuka Puasa.

CALON ANUGERAH GURU ARIF BUDIMAN 2026

Kategori Perangsang (kurang 10 tahun dalam perkhidmatan)

– Cik Diana Mohamed Mazlan (Sekolah Rendah First Toa Payoh)

– Cik Nur Azirah Mohd Nor (Sekolah Rendah Cantonment)

– Cik Nasuha Rahmat (Sekolah Menengah Outram)

– Cik Syafiqah Md Anuar (Sekolah Menengah Meridian)

Kategori Teladan (10 tahun atau lebih dalam perkhidmatan)

– Cik Aidah Hosni (Sekolah Rendah Fern Green)

– Encik Azhar Abdul Rashid (Sekolah Rendah Horizon)

– Cik Julaiha Haron (Sekolah Menengah Punggol)

– Cik Nur Maizurah Rosle (Sekolah Tinggi Nan Chiau)