Alunan melodi daripada biola yang digesek lembut namun penuh emosi membuka tirai Tunggu Sekejap: The P.Ramlee Suite, sebuah pementasan konsert oleh Wild Rice yang berlangsung dari 15 hingga 31 Mei di Funan, menyulam indah warisan seni Tan Sri P. Ramlee, seniman agung yang karyanya telah lama meresap dalam jiwa masyarakat Melayu.
Sebagai tanda penghormatan yang tulus kepada hasil muzik P.Ramlee, Julian Wong menyusun semula lagu-lagu seperti Getaran Jiwa, Azizah, Malam Bulan di Pagar Bintang dan Anakku Sazali ke dalam tiga gerakan muzik.
Setiap satunya menyentuh perasaan dan membawa penonton menelusuri karya-karya P.Ramlee.
Saat gemersik biola bagi lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti daripada filem Ibu Mertuaku memenuhi panggung, air mata saya mula berlinangan, bukan sahaja kerana terkenang liriknya yang menyentuh, tetapi juga kerana rasa rindu dan kesedaran yang meruntun: sesungguhnya, masih tiada yang benar-benar dapat menggantikan P. Ramlee dalam sejarah muzik Melayu kita.
Lebih daripada sekadar hiburan, muzik Melayu klasik, yang mencapai kemuncak kegemilangannya antara 1940-an dengan 1970-an, merupakan saluran pemikiran, penghayatan dan cerminan kehidupan insan Melayu.
Lirik-lirik yang diungkap, susunan melodi yang meresap ke dalam jiwa, serta lenggok suara yang mendayu mencerminkan ketekunan para pengkarya era tersebut dalam menzahirkan isi hati dan menyelami kedalaman jiwa bangsa.
Tokoh seperti P. Ramlee ialah lambang seniman unggul yang bukan sahaja mencipta lagu-lagu indah, malah turut membina sebuah dunia pemikiran; tentang cinta yang tulus, kehilangan yang pilu, kerendahan hati dalam hidup dan pencarian erti kemanusiaan.
Paparan klip-klip filem daripada karya agung seperti Penarek Becha, Pendekar Bujang Lapok dan Anakku Sazali sepanjang pementasan, membuktikan keupayaan P. Ramlee mengadun kata dan melodi sehingga menjadi cerminan dan renungan keadaan hidup manusia yang kekal relevan merentasi zaman.
Ternyata, muzik Melayu klasik ialah naratif budaya serta suara jiwa serta sejarah bangsa, yang diungkap melalui seni kata dan irama, yang terus hidup dalam ingatan kolektif kita.
Pementasan Tunggu Sekejap memperlihatkan bagaimana naratif ini tidak hanya diangkat semula, bahkan ditafsir dan diolah dengan kefahaman yang mendalam.
Julian Wong menyerlah sebagai pengarah muzikal yang berwawasan.
Setiap susunan semula lagu, setiap peralihan nada, dilakukan dengan penuh hormat terhadap karya asal, namun tetap membawa nafas baru yang menyegarkan.
Keupayaannya mentafsir muzik P. Ramlee dengan struktur yang teratur dan fokus menjadikan pengalaman menonton pementasan ini benar-benar luar biasa.
Penonton diajak bukan sekadar menikmati melodi yang merdu, bahkan memberi sepenuh tumpuan, merenung setiap susunan irama dan “menunggu sekejap” atau berhenti sejenak demi menghargai keindahan muzik yang dipersembahkan.
Penjelasan Julian yang santai tentang struktur tiga gerakan muzik serta penerangan tentang konsep rondo (melodi utamanya diulang-ulang) yang diguna pakai dalam susunan semula lagu Anakku Sazali, turut membuktikan bahawa muzik klasik Melayu mampu berdiri di sisi muzik seni lain, dengan prinsip, bentuk dan logik yang tersendiri.
Kekuatan persembahan ini juga didukung oleh kehadiran pelakon dan penyanyi utama, Fadhli Ramlee, yang membawa watak P. Ramlee dengan suaranya yang mantap.
Gerak-geri serta wajahnya yang tenang, jenaka yang bersahaja, serta lenggok tutur bicara yang tidak dibuat-buat berjaya menggambarkan keperibadian P. Ramlee secara meyakinkan.
Keberkesanan wataknya turut disokong oleh pengarahan yang teliti daripada Ivan Heng, yang mencipta dialog-dialog santai antara watak P. Ramlee dengan Julian Wong, menjadikan pementasan ini bukan sahaja menyentuh emosi, tetapi turut membuka jendela buat penonton menelusuri sisi-sisi peribadi dan pemikiran mendalam seorang seniman agung.
Tidak kurang pentingnya ialah Maestro Foo Say Ming, konduktor Orkestra re:mix, yang memimpin keseluruhan persembahan dengan sentuhan yang penuh penjiwaan.
Menyertai barisan orkestra ini ialah pemuzik genderang terkemuka Riduan Zalani, pengasas bersama dan pengarah artistik kumpulan NADI Singapura.
Kehadiran Riduan di atas pentas, dalam konteks persembahan orkestra moden, bukan sahaja memperkaya lapisan bunyi, malah menjadi simbol kejayaan pemuzik muda Melayu dalam menggabungkan tradisi dan inovasi dalam kesenian dengan penuh yakin.
Kesungguhan kesemua seniman ini dalam menjiwai muzik Melayu klasik serta menyampaikan keindahannya dengan jelas dan penuh hormat, membuktikan bahawa apresiasi seni yang tinggi lahir daripada kepedulian yang mendalam, merentas bahasa dan budaya.
Di sinilah letaknya intelektualisme dalam muzik: ketika seni tidak hanya dipersembahkan, tetapi direnung, dihuraikan, dan disampaikan dengan penuh keikhlasan.
Pementasan ini mengingatkan kita bahawa dalam dunia seni, bimbingan daripada mereka yang berpengalaman tetap penting, walaupun kita kini hidup dalam zaman yang serba canggih dan boleh sahaja bergantung kepada teknologi semata-mata.
Sering kali, daripada tangan dan tunjuk ajar mereka yang berpengalaman, lahir bakat-bakat besar yang mewarnai sejarah muzik Melayu kita.
Di sebalik kehebatan seniman seperti P. Ramlee, berdiri tokoh seperti Pak Zubir Said, pencipta lagu kebangsaan Majulah Singapura, yang menjadi pembimbing bukan sahaja kepada P. Ramlee, malah kepada seniwati Mak Nona Asiah.
Malah, anak Mak Nona sendiri, pengarah muzik dan komposer prolifik, Iskandar Ismail, telah belajar muzik secara formal daripada Pak Zubir.
Menariknya, Julian Wong, penyusun muzik dan pengarah muzikal Tunggu Sekejap, pernah berguru dengan Allahyarham Iskandar Ismail, yang juga merupakan penerima Pingat Budaya (Cultural Medallion) 2008.
Lingkaran bimbingan yang menghubungkan Pak Zubir, P. Ramlee, Mak Nona, Iskandar dan Julian ini, menunjukkan bahawa warisan seni yang lestari tidak berlaku secara kebetulan, tetapi melalui pemindahan ilmu, nilai dan kasih terhadap budaya yang mendalam.
Satu lagi contoh lingkaran bimbingan dalam dunia muzik Melayu Singapura terserlah dalam hubungan antara dua tokoh Melayu yang pernah menerajui Pancaragam Polis Singapura: Allahyarham Idris Md Yusoff dan Amri Amin.
Sebagai Pengarah Muzik Kedua dari 1986 hingga 2004, Idris memainkan peranan penting dalam memperkukuh disiplin seni muzik dalam kalangan anggota pasukan Pancaragam Polis.
Sepanjang 18 tahun perkhidmatannya, beliau bukan sahaja mencungkil bakat muda, malah turut membimbing dan membentuk ramai anggota menjadi pemuzik yang versatil, termasuk mereka yang menyumbang secara aktif dalam kumpulan seperti Pancaragam Begpaip dan Dram Wanita Pasukan Polis Singapura.
Peranan itu kemudiannya diteruskan oleh Amri Amin, yang menyambung legasi Idris dengan penuh dedikasi sebagai Pengarah Muzik Pancaragam Polis Singapura yang ketiga dari 2004 hingga 2019.
Dengan semangat yang sama, beliau mengekalkan tradisi kecemerlangan muzik dalam pancaragam tersebut.
Kepimpinan beliau dalam Orkestra Melayu Singapura (OMS) sehingga kini merupakan lanjutan kepada dedikasi terhadap penyampaian warisan muzik Melayu.
Di bawah arahan Amri Amin, OMS bukan sahaja berperanan sebagai badan persembahan, malah sebagai ruang pembelajaran seni muzik Melayu; tempat dengan ramai pemuzik muda Melayu yang berbakat dibimbing dalam muzik tradisional, karya-karya klasik yang membentuk jiwa seni bangsa, serta pendekatan kontemporari yang memberi nafas baharu kepada warisan tersebut.
Sejarah seni sarat dengan kisah seniman agung yang tidak dihargai sewaktu hayat mereka.
Wolfgang Amadeus Mozart (1756–1791), walaupun menghasilkan lebih 600 karya muzik yang kini dianggap agung, meninggal dunia dalam kemiskinan dan dikebumikan di kubur tanpa nama.
Vincent van Gogh (1853–1890) pula hanya menjual satu lukisan sepanjang hidupnya, namun hari ini diiktiraf sebagai salah seorang pelukis paling berpengaruh dalam sejarah kesenian Barat.
Di rantau kita sendiri, Tan Sri P. Ramlee (1929–1973) turut mengharungi detik-detik penuh kesedihan di akhir hayatnya ketika beliau tidak dihargai oleh industri filem dan muzik Melayu, meskipun bakat dan sumbangannya luar biasa.
Hanya selepas pemergiannya, masyarakat benar-benar menyedari besarnya jasa dan ketokohan beliau sebagai seniman serba boleh: pelakon, pengarah, penyanyi, dan komposer yang membentuk jiwa muzik Melayu klasik.
Maka, Tunggu Sekejap: The P.Ramlee Suite, bukan sekadar sebuah penghormatan yang tulus, bahkan satu panggilan kepada kita semua, agar tidak mengulangi kealpaan masa lalu.
Penggiat seni hari ini wajar disokong dan dihargai ketika mereka masih hidup, agar warisan yang mereka cipta bukan sahaja dikenang selepas tiada, malah dipupuk dan diraikan sewaktu masih bernyawa.
Sebagaimana P. Ramlee pernah dibimbing oleh mereka yang mendahuluinya, lalu mewariskan karya-karya agung yang terus menjadi rujukan dan inspirasi, kita juga memikul tanggungjawab untuk menyokong usaha meneruskan lingkaran bimbingan itu, agar generasi pemuzik muda hari ini turut dibentuk dengan kasih, ilmu dan tunjuk ajar yang bermakna.
Ini bukan semata-mata agar lagu-lagu Melayu klasik kekal dikenang kerana melodinya yang indah, tetapi agar nilai, intelek dan kasih terhadap kesenian dan budaya Melayu terus mengalir dalam diri generasi seterusnya.
Jika seni ialah cerminan jiwa bangsa, maka alunan muzik Melayu klasik seperti yang dihasilkan oleh Tan Sri P.Ramlee adalah degup jantungnya.
Selagi ada yang mengkaji, mencipta, mempersembah dan mendengar dengan hati terbuka, daripada para pemuzik dan komposer, hinggalah kepada setiap penonton yang sudi menyelami makna di sebalik susunan melodi, muzik Melayu klasik akan terus hidup.
Bukan hanya melalui irama dan lirik yang menusuk sehingga mengundang air mata, malah melalui semangat kolektif yang merangkulnya sebagai warisan yang harus terus dikongsi dan diraikan bersama.
Nota: Penulis ialah pensyarah di Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE) – Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
“
Ini bukan semata-mata agar lagu-lagu Melayu klasik kekal dikenang kerana melodinya yang indah, tetapi agar nilai, intelek dan kasih terhadap kesenian dan budaya Melayu terus mengalir dalam diri generasi seterusnya. Jika seni ialah cerminan jiwa bangsa, maka alunan muzik Melayu klasik seperti yang dihasilkan oleh Tan Sri P.Ramlee adalah degup jantungnya. Selagi ada yang mengkaji, mencipta, mempersembah dan mendengar dengan hati terbuka, daripada para pemuzik dan komposer, hinggalah kepada setiap penonton yang sudi menyelami makna di sebalik susunan melodi, muzik Melayu klasik akan terus hidup.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg