Ramai tersentuh di malam pembukaan ‘Tunggu Sekejap:The P. Ramlee Suite’ pada 15 Mei, dalam sebuah pertunjukan penghormatan yang menghidupkan kembali legenda tersohor itu melalui alunan muzik dari sentuhan dan susunan komposer Julian Wong.
Ruang Wild Rice Theatre di Funan yang intim – diisi dengan 30 pemuzik kumpulan orkestra re:mix serta diketuai konduktor muzik Foo Say Ming – membawa penonton mengembara dalam satu perjalanan muzik dan hidup P. Ramlee.
Komposer Wong memberitahu Berita Harian kali pertama beliau didedahkan dengan seniman agung itu melalui teman sekolah dari Pulau Pinang, yang sering menyanyikan lagu ‘Getaran Jiwa’.
“Saya terasa kagum dengan betapa banyaknya karya muzik P. Ramlee yang wujud dan bagaimana karya-karya ini telah menjadi khazanah yang sangat berharga, disayangi dan dihormati oleh begitu ramai orang.
“Dari situ saya ingin lebih tahu tentang siapakah P. Ramlee dan semakin saya mendalaminya, semakin saya berminat mengetahui tentang orangnya dan hidupnya,” kata Wong yang juga dengan jayanya telah mementaskan kisah mentor muzik P. Ramlee sendiri iaitu Pak Zubir Said dalam pementasan ‘Don’t Call Him Mr. Mari Kita’ pada 2022 dan 2024.
Wong memilih lagu ‘Azizah’, ‘Getaran Jiwa’ dan ‘Tunggu Sekejap’ antaranya, untuk ditelaah dan dipersembahkan dalam ‘Suite’ itu, tanpa mengubah ciri-ciri dan melodinya.
Ramai penggiat seni, teater dan hiburan hadir pada malam pembukaan termasuk pengarah dan pelakon veteran Rafaat Hamzah yang menganggap proses pengkaryaan pementasan malam itu terserlah dari sudut falsafah, kepekaan dan kekuatan pencernaan emosi.
“Pendekatan seperti ini jarang kita dapat lihat. Ia menyelami dengan mendalam proses kreatif karya P. Ramlee. Selalunya apabila orang bercakap atau mempersembahkan tentangnya, ia hanya tertumpu pada perkara-perkara remeh dalam kehidupannya sahaja,” kata Rafaat.
Aura P. Ramlee ‘dihidupkan’ di pentas apabila pelakon, penyanyi dan pemuzik Fadhli Ramlee melangkah ke atas pentas, dalam sut serba putih persis seperti P. Ramlee dalam filem Tiga Abdul.
“Saya perlu mendengar semula lagu P. Ramlee, mencari, membentuk semula dan memperhalus suara saya agar sesuai dan seiring dengan orkestra. Untuk melatih pendengaran dan ketepatan nada (pitching), saya akan berlatih dengan piano dan memastikan bahawa saya menyanyikan nada yang betul mengikut nota muzik,” kata Fadhli yang wajah dan suaranya mirip legenda itu.
Tambah Fadhli, ini adalah kali pertama beliau terlibat dalam persembahan berbahasa Inggeris.
Wong pula, yang merupakan lulusan Sarjana Muda dalam Muzik dari Maktab Muzik Berklee dengan tajaan Biasiswa Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) juga pernah mementaskan ‘Don’t Call Him Mr Mari Kita’ tentang komposer lagu kebangsaaan Zubir Said, pada 2022 dan 2024 dengan sambutan hangat hingga semua tiket habis dijual.
“Satu-satunya cara yang saya rasa dapat memberi sumbangan landskap unik buat konsert tribute P. Ramlee ialah dengan mempersembahkan muzik beliau dalam cara yang sangat berbeza. Di sinilah re:mix, sebuah kumpulan orkestra 30 anggota kami yang begitu hebat, memainkan peranannya,” kata Wong yang mengaku tidak mudah menyusun karya yang sudah ada pengaruhnya tersendiri.
Wong berkata menghormati warisan sebesar P. Ramlee adalah satu cabaran besar.
Beliau juga berkongsi bahawa idea ini diilhamkan oleh mentornya sendiri, Allahyarham Iskandar Ismail yang turut mengagumi muzik P. Ramlee.
“Saya tahu saya tidak mampu menyampaikan muzik beliau hanya dengan suara saya sendiri. Saya selalu bertanya diri saya – jika P. Ramlee ada akses kepada orkestra besar, apakah dia akan lakukan perkara yang sama?” kata Wong.
Menggunakan elemen pementasan teater untuk menyampaikan cerita dari segi dialog dan perbualan antara Wong dengan watak P. Ramlee, pengarah kreatif Ivan Heng berkata pendekatan gabungan teater, muzik dan cebisan filem ini sebagai satu perbualan antara bentuk seni.
“Saya membiarkan setiap satu (elemen) berbicara, memberi tindak balas dan mengangkat taraf antara satu sama lain. Hasilnya adalah sesuatu yang magis: bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu perayaan teaterikal, dan semangat P. Ramlee yang terus hidup,” kata Heng yang menganggap P. Ramlee bukan sekadar menghasilkan seni malah meninggalkan legasi.
Kata Heng lagi, yang mempunyai darah Baba Peranakan, masa untuk mementaskan ‘Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite’ adalah tepat, sedang rakyat merenung isu kenegaraan dan warisan.
“P. Ramlee mengingatkan kita tentang kuasa seni untuk menyatukan, memberi inspirasi, dan membangkitkan impian. Beliau milik kita semua, dan karyanya menghubungkan generasi merentasi sempadan,” kata Heng.
Dengan penggunaan klip filem yang disusun oleh pereka multimedia He Shuming, persembahan ini menambah lapisan emosi dan konteks visual yang menguatkan naratif, menjadi nadi penceritaan yang menghubungkan masa lalu dengan masa kini.
Akhir kata, ‘Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite’ adalah satu usaha menghidupkan semula semangat, jiwa dan karya beliau dalam bentuk yang mengangkat muzik tempatan ke pentas seni dan mengingatkan tanggungjawab kita untuk memastikan beliau terus ‘hidup’ dalam jiwa rakyat.
Bak kata Allahyarham P. Ramlee sendiri ‘Aku akan hidup 1,000 tahun lagi’.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg