Buku ajak pembaca cilik teroka dunia melalui pancaindera
Buku ajak pembaca cilik teroka dunia melalui pancaindera
Perkenalkan kanak-kanak kepada dunia keliling melalui pelbagai rangsangan deria yang dekat dengan kehidupan harian
Pembelajaran awal kanak-kanak bukan sekadar tertumpu kepada keupayaan membaca atau mengenal huruf, sebaliknya melibatkan pengalaman menyeluruh yang merangsang perkembangan deria, emosi dan bahasa.
Berlandaskan kefahaman itu, penulis tempatan, Maria Mahat, tampil dengan buku berhalaman tebal (board book) berjudul, Saya Lihat / I See, yang mengetengahkan pendekatan pembelajaran pelbagai sensori bagi pembaca cilik.
Menurut Maria, kanak-kanak kecil belajar dengan lebih berkesan apabila mereka dapat meneroka sesuatu secara langsung menggunakan pancaindera mereka.
“Bagi anak kecil, antara pembelajaran paling berkesan adalah melalui pengalaman deria atau pelbagai sensori.
“Buku Saya Lihat / I See sangat sesuai kerana kanak-kanak boleh pegang, sebut, ulang dan tunjuk dengan sendiri,” kongsinya mengenai buku dwibahasa itu.
Beliau menjelaskan bahawa buku tersebut direka bentuk untuk menggalak interaksi aktif antara kanak-kanak dengan bahan bacaan.
“Ia bukan hanya dibaca, tetapi dialami. Kanak-kanak bukan sekadar mendengar atau melihat, tetapi terlibat secara langsung, dan ini memberikan pengalaman yang seronok apabila berinteraksi dengan buku,” tambah Maria.
Buku, Saya Lihat / I See, memperkenalkan kanak-kanak kepada dunia di sekeliling melalui pelbagai rangsangan deria yang dekat dengan kehidupan harian.
Melalui pengalaman melihat, menghidu, merasa dan menyentuh, kanak-kanak didedahkan kepada konsep asas bahasa dan persekitaran dalam suasana santai dan menyeronokkan.
Maria turut berkongsi bahawa emosi utama yang ingin dibangkitkan melalui buku itu adalah rasa ingin tahu, kegembiraan dan kebanggaan.
“Saya mahu pembaca cilik berasa ingin tahu, gembira dan bangga apabila mereka dapat menyebut atau mengenal sesuatu perkara,” katanya.
Beliau turut memberi contoh pengalaman deria yang diketengahkan dalam buku tersebut.
“Contohnya, bagaimana bau ayam goreng atau roti yang baru dibakar, rasa jus limau, atau sentuhan bulu kucing dan batu, sama ada lembut atau keras?” jelasnya.
Menurut Maria, pendedahan sentuhan seperti itu mungkin kelihatan kecil, namun ia memainkan peranan sangat penting dalam perkembangan awal kanak-kanak.
Selain merangsang pancaindera, buku itu juga bertujuan menjadikan kanak-kanak peserta aktif dalam proses pembelajaran mereka sendiri.
“Saya mahu mereka menjadi ‘ejen aktif’ dalam pembelajaran.
“Apabila anak berkata, ‘Saya nampak kapal terbang di langit biru’, ibu bapa atau pendidik boleh bertanya kembali, ‘Apa lagi yang kamu nampak?’,” ujarnya.
Soalan terbuka sebegitu memberi ruang kepada kanak-kanak untuk meneroka bahasa dengan lebih luas.
“Ia membuka peluang kepada kanak-kanak membina dan mengembangkan kosa kata, keyakinan diri serta rasa seronok ketika berinteraksi dengan buku,” tambahnya.
Maria turut menekankan peranan penting ibu bapa dan pendidik sebagai pemudah cara dalam pengalaman membaca kanak-kanak.
Melalui galakan dan perbualan berterusan, sesi membaca dapat berkembang menjadi kegiatan pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan, bukan sekadar rutin harian.
Memberi nasihatnya kepada pembaca cilik, beliau menggalakkan mereka agar terus meneroka dunia sekeliling dengan penuh rasa ingin tahu.
“Teruslah belajar tentang dunia sekeliling. Tanyakan soalan, perhatikan dan gunakan seluruh deria anda kerana dunia ini penuh dengan perkara menarik yang sedang menunggu untuk diterokai,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendedahan kepada lebih daripada satu bahasa sejak usia awal.
“Kanak-kanak tidak perlu takut untuk belajar lebih daripada satu bahasa kerana ia dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran dan kefahaman mereka terhadap dunia,” ujarnya.
Buku, Saya Lihat / I See, boleh didapati melalui wadah Ungu Pen di pautan, https://ungupen.com/shop/bilingual-saya-lihat-i-see/, selain dijual di acara terpilih di Suntec City, Singapore Expo, serta festival buku kanak-kanak.

