Usaha kembalikan minat tonton, bincang tentang filem Melayu klasik pascamerdeka
Usaha kembalikan minat tonton, bincang tentang filem Melayu klasik pascamerdeka
Wayang@Bedok di Perpustakaan Bedok saji filem Malay Film Productions, Cathay-Keris dari 1965 hingga 1972
Usaha menghidupkan kembali kenangan dunia perfileman Melayu klasik bukan sekadar nostalgia, tetapi juga satu bentuk pemeliharaan warisan budaya.
Inisiatif Wayang@Bedok yang diperkenalkan di Perpustakaan Bedok hadir sebagai ruang pertemuan antara generasi, mempertemukan penonton yang sama-sama mencintai filem Melayu klasik, yang pernah membentuk landskap seni perfileman Singapura pasca kemerdekaan.
Menurut pustakawan kanan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Encik Shahril Shaik Abdullah, inisiatif Wayang@Bedok bertujuan menghidupkan semula minat masyarakat terhadap filem Melayu lama di Singapura, di samping menyediakan platform perbincangan dan pertukaran maklumat berkaitan filem-filem tersebut.
Beliau berkata, program ini juga membuka ruang kepada masyarakat untuk menilai dan menghargai semula karya filem Melayu klasik yang pernah menjadi cerminan masyarakat dahulu.
Inisiatif ini berkait rapat dengan Malay World Collection (MWC), sebuah koleksi khas yang ditempatkan di Perpustakaan Bedok.
Koleksi ini menghimpunkan bahan bacaan mengenai dunia Melayu, termasuk bahasa, sastera, seni dan budaya, yang diterbitkan dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Cina dan Tamil.
MWC diwujudkan bagi mendekatkan masyarakat pelbagai latar dengan khazanah budaya Melayu melalui pendekatan yang terangkum.
Selain itu, Wayang@Bedok dirancang sebagai satu koleksi ‘signature’ atau ciri khas dalam MWC, dengan tumpuan khusus kepada bahan berkaitan penerbitan filem Melayu.
“Apabila jumlah bahan mencukupi, barulah kita boleh merasmikannya sebagai satu koleksi khas dalam Malay World Collection,” katanya, sambil menambah usaha ini dijalankan secara berperingkat dengan kerjasama rakan media dan institusi berkaitan.
Idea menganjurkan tayangan filem pula tercetus sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura (SG60) pada 2025.
Encik Shahril berkata pasukannya mencari pendekatan yang bermakna untuk mendekati masyarakat, lalu memilih tayangan filem Melayu klasik sebagai wadah atau pelantar.
Filem yang dipilih adalah filem Melayu terbitan Singapura, antara 1965 dengan 1972, khususnya sebelum penutupan Malay Film Productions (MFP) di Jalan Ampas, di bawah naungan Shaw Organisation/Shaw Brothers, pada 1967 dan Cathay-Keris pada 1972.
“Tayangan ini juga bergantung kepada koleksi yang dimiliki oleh Arkib Filem Asia,” jelasnya.
Tayangan pertama Wayang@Bedok diadakan pada 19 September 2025 , diikuti sesi kedua pada 29 November 2025.
Tayangan seterusnya masih dalam perancangan.
Walaupun masih di peringkat percubaan, sambutan yang diterima dianggap menggalakkan, dengan sekitar 60 hingga 70 penonton hadir bagi setiap sesi.
Menurut Encik Shahril, maklum balas yang diterima secara umum adalah positif, dengan ramai berharap agar lebih banyak tayangan diadakan pada masa hadapan.
Namun begitu, antara cabaran utama yang dikenal pasti adalah untuk menarik keluarga muda sebagai khalayak sasaran utama.
Kebanyakan penonton yang hadir setakat ini terdiri daripada golongan lebih berusia yang kebetulan berada di kawasan kejiranan Bedok.
“Kami gembira dengan kehadiran mereka, tetapi matlamat kami adalah untuk menarik keluarga muda supaya generasi baru dapat mengenali filem Melayu pascakemerdekaan,” katanya.
Beliau menambah dalam era media sosial dan platform seperti TikTok, inisiatif ini diharap dapat mengimbangi perhatian generasi muda dengan kandungan tempatan yang mempunyai nilai sejarah dan budaya, serta menggalakkan perbincangan yang lebih mendalam berbanding sekadar tontonan sekilas pandang.
Antara detik yang paling bermakna bagi Encik Shahril ialah sesi perbincangan selepas tayangan, apabila seorang penonton berkongsi bagaimana beliau diperkenalkan kepada filem P. Ramlee oleh bapanya, dan kini hadir bersama anak kecilnya untuk menonton filem yang sama.
“Saat-saat seperti ini mengingatkan kita bagaimana filem boleh menjadi jambatan antara generasi,” katanya.
Melalui inisiatif seperti Wayang@Bedok, Encik Shahril berharap kenangan menonton wayang bersama-sama dapat dihidupkan semula, sambil menyemai kesedaran Singapura memiliki khazanah filem Melayu yang wajar dihargai, dibincangkan dan diwarisi generasi akan datang.

