Penulis dan penerbit tempatan, Maria Mahat, bakal melancarkan buku terbarunya, Mana Satu Pilihan Zara? Batik, Songket atau Pelekat?, karya yang pasti menarik perhatian pembaca cilik.
Melalui karya ini, beliau berharap agar kanak-kanak di Nusantara dapat menikmati serta menghargai warisan budaya mereka, sambil mengembangkan pemikiran analitis dan daya kreativiti melalui jalan cerita yang penuh warna-warni dan menghiburkan.
Buku ini merupakan sebahagian daripada ‘Siri Zara’, yang memperkenalkan watak utama, seorang kanak-kanak perempuan yang bernama Zara, yang penuh dengan sifat ingin tahu dan semangat menimba ilmu.
Buku tersebut ditujukan khas kepada pembaca berusia empat hingga tujuh tahun dengan mengajak mereka menyelami dunia kain tradisional melalui pengalaman si cilik yang mengujakan.
Dalam buku pertama ini, Zara bersama ibu dan ayahnya pergi ke kedai jahitan untuk menempah sepasang baju.
Zara diberi peluang memilih kain sendiri, namun kebingungan timbul apabila dia berdepan dengan pelbagai pilihan kain yang menarik.
Buku ini menonjolkan enam jenis kain tradisional dari seluruh Nusantara bukan sahaja batik, songket dan pelekat, bahkan kain unik yang membawa nilai budaya dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Kain-kain tersebut digambarkan dengan cara yang menarik, diberi suara dan karakter seolah-olah mereka bersembang dan berdebat untuk memujuk Zara supaya memilih mereka.
Pendekatan kreatif ini memberi kelainan kepada pembaca cilik untuk mengenal setiap kain dengan lebih mendalam.
Menurut Maria, inspirasi untuk menulis buku ini datang semasa pandemik Covid-19, yang mendorong beliau memperkenalkan warisan tekstil tradisional dari seluruh Nusantara melalui sebuah cerita yang ringan, menyeronokkan dan mudah difahami kanak-kanak.
“Saya ingin menunjukkan betapa kaya dan pelbagai warisan tekstil di rantau ini.
“Ia adalah satu warisan budaya yang merentas sempadan dan saya percaya ia harus dihargai dan diperkenalkan sejak usia muda,” katanya.
Menurut penulis berusia 53 tahun itu, proses menulis buku tersebut merupakan pengalaman menyeronokkan dan penuh dengan imaginasi.
“Proses penulisan ini sangat menarik kerana saya dapat mencipta watak-watak kain yang hidup dan menyeronokkan.
“Saya ingin memberi kanak-kanak peluang untuk mengenal kain-kain ini melalui pendekatan yang berbeza, dengan jalan cerita yang tidak terlalu formal tetapi penuh dengan aksi dan kejutan.”
Setiap kain dalam buku ini mempamerkan keistimewaan tersendiri, daripada corak bunga yang indah hingga sulaman benang emas.
Melalui pendekatan personifikasi, setiap kain bukan sahaja menceriakan cerita, malah membawa pembaca dalam satu pengembaraan budaya yang menarik.
Sebagai seorang penulis dan penerbit bebas, beliau juga tidak menafikan cabaran yang dihadapi oleh syarikat penerbitan buku kanak-kanak bahasa Melayu.
“Pasaran buku Melayu di Singapura agak kecil, menyebabkan penerbitan buku bergambar kanak-kanak memerlukan kos yang tinggi.
“Namun, saya tetap percaya karya berkualiti dalam bahasa Melayu masih mempunyai tempat di pasaran dan kita perlu mencari cara untuk terus menghasilkannya.”
Dengan harapan untuk membuka minda lebih ramai pembaca dan penulis muda, Maria turut memberi kata-kata semangat kepada sesiapa yang berhasrat untuk menghasilkan karya dalam genre serupa.
“Jangan takut untuk mencuba. Dunia buku kanak-kanak masih luas untuk diterokai dan setiap cerita yang bermakna pasti akan menemui pembacanya,” ujar beliau.
Buku, Mana Satu Pilihan Zara? Batik, Songket atau Pelekat? akan dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 23 Mei hingga 1 Jun 2025.
Dua lagi buku akan turut dilancarkan di PBAKL iaitu, Maybe This Is Love, oleh Maria juga, yang diinspirasikan daripada pengalaman dan pemerhatian beliau sebagai seorang wanita Muslim yang membesar dan menetap di Singapura dan juga antologi, Penglipur Lara Cerita Rakyat Asia Tenggara.
Di samping itu, Maria juga akan mengadakan sesi bertemu pembaca pada 25 Mei semasa PBKL, dari 10 pagi hingga 11 pagi di reruai Karangkraf.
Mereka yang berminat untuk membeli buku-buku tersebut boleh mendapatkannya di PBAKL.
Bagi rakyat Singapura, mereka boleh membuat prapesanan di laman web ungu pen di pautan, https://ungupen.com/shop/mana-satu-pilihan-zara-batik-songket-atau-pelekat/
Penghantaran buku akan dibuat selepas 10 Jun 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg