Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku ‘Nasi Lemak: Dari Kampung ke Kota’ ketengah nilai kejiranan, gotong-royong

Oct 13, 2025 | 5:30 AM
Penulis Buku kanak-kanak, ‘Nasi Lemak: Dari Kampung ke Kota’, Salbiah Bahri, melancarkan buku tersebut semasa Pesta Buku Melayu Singapura, yang berlangsung dari 18 hingga 21 September. Beliau juga merupakan penulis buku, ‘Raja Singa yang Megah’.
Penulis Buku kanak-kanak, ‘Nasi Lemak: Dari Kampung ke Kota’, Salbiah Bahri, melancarkan buku tersebut semasa Pesta Buku Melayu Singapura, yang berlangsung dari 18 hingga 21 September. Beliau juga merupakan penulis buku, ‘Raja Singa yang Megah’. - Foto ihsan SALBIAH BAHRI

Makanan bukan sekadar sesuatu yang kita makan, malah ia boleh menjadi wadah yang berkesan untuk menyemai nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak. 

Buku, Nasi Lemak: Dari Kampung ke Kota, membawa pembaca cilik menyusuri kisah hidangan ikonik itu – daripada kemesraan hidup berjiran di kampung, hinggalah kepada cabaran hidup di kota moden. 

Diilhamkan daripada pengalaman sebenar penulisnya, Salbiah Bahri, yang pernah menetap di Kampung Padang Terbakar, Tanah Merah, buku itu berkongsi bagaimana hidangan ikonik seperti nasi lemak mampu menyampaikan mesej mendalam tentang nilai kebersamaan, warisan budaya dan ikatan kekeluargaan

Antara nilai yang ingin disemai adalah semangat gotong-royong yang dipamerkan apabila hendak memasak hidangan tersebut. 

“Dulu, setiap kali ibu ingin memasak nasi lemak, kami sekeluarga akan keluar bersama-sama untuk mencari bahan-bahannya,” jelas bekas pensyarah Politeknik Ngee Ann itu.

“Ayah saya akan bawa jala untuk menangkap udang segar di sungai. Sementara itu, untuk mendapatkan santan, pak cik saya pula terpaksa memanjat pokok kelapa.

“Segalanya bermula dari usaha sendiri,” tambahnya.

Beliau juga berkongsi bagaimana dirinya dan adiknya akan ke reban ayam untuk mendapatkan telur dan kemudian ke kebun untuk memetik daun pandan bersama.

Dalam mengenang masa lalu, hatinya sebak apabila teringatkan ayahnya, Allahyarham Bahri Salleh, yang meninggal pada 2021 semasa Covid-19.

“Beliau meninggal dunia kerana barah. Saya dan adik jaga beliau di rumah sampai ke akhir hayatnya,” ceritanya dengan nada duka.

Kisah tersebut lebih menyentuh hati apabila Salbiah turut menyatakan buku tersebut bukan sahaja ditujukan kepada ayahnya, bahkan juga kepada adiknya, Rafeah Bahri, yang dikesan menghidap leukemia pada 2023.

Namun beliau bukan sekadar ingin mengenang masa lalunya melalui buku tersebut.

Terdapat ‘arahan’ di dalam bukunya yang meminta pembaca mengetepikan telefon bimbit mereka sewaktu makan.

“Saya ingin menggalakkan pembaca kita, setiap kali kita makan bersama, kita harus berikan tumpuan kepada mereka yang ada di sekeliling kita dan menjalin silaturahim, bukan pada telefon,” kata penulis berusia 58 tahun itu.

Beliau turut berkongsi bahawa dirinya mengambil masa sekitar setahun untuk menghasilkan buku tersebut.

Dalam proses menulis, beliau meneliti pilihan kosa kata yang digunakan – sehingga beliau menghasilkan anggaran 19 draf sebelum selesa melancarkan bukunya di Pesta Buku Melayu Singapura yang berlangsung dari 18 hingga 21 September lalu di Wisma Geylang Serai.

“Tumpuan kanak-kanak agak pendek. Jadi, cabarannya ialah bagaimana saya ingin menulis dengan perkataan yang begitu terhad, tapi dalam masa yang sama, saya nak sampaikan pengalaman saya serta nilai-nilai yang penting,” ujar Salbiah.

Namun, beliau bukan sekadar meringkaskan kosa kata yang digunakan, malah memilih perkataan yang seimbang agar mudah difahami dan mampu memperkayakan pembelajaran kanak-kanak.

“Saya rasa pendedahan mereka patut lebih tinggi daripada kemampuan semasa mereka,” kata beliau.

“Niat saya dalam penulisan buku ini adalah untuk wujudkan interaksi – antara kanak-kanak sebagai pembaca, dengan ibu bapa mereka,” tambahnya.

Bagi mencapai matlamat tersebut, bukunya disertakan usulan berbentuk rangsangan untuk perbualan bersama.

Salbiah kini dalam proses menerbitkan buku keduanya bertajuk, Durian: Dari Kampung ke Kota, sambungan buku Nasi Lemak: Dari Kampung ke Kota, berdasarkan kisah benar keluarganya yang setiap tahun menerima berbakul-bakul durian.

“Setiap tahun lori durian datang rumah dan kami kongsi dengan jiran.

“Semangat kejiranan seperti ini yang saya mahu tunjukkan dalam buku baru itu,” jelasnya.

“Walaupun sekarang kebanyakan dari kita duduk di flat, kita masih boleh ketuk pintu jiran dan kongsi rezeki,” katanya lagi.

Buku, Durian: Dari Kampung ke Kota, dijangka diterbitkan pada Januari 2026.

Bagi Salbiah, menulis buku kanak-kanak adalah satu cara merakam sejarah sosial keluarga dan menyampaikan nilai kepada generasi baru.

Buku Nasi Lemak: Dari Kampung ke Kota kini boleh didapati di laman web, Little People with Big Words.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg