Gah dan meriah sungguh sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang ke-59 pada 9 Ogos lalu. Pada sambutan itu terpapar bukan sahaja kegembiraan meraikan kemerdekaan ibu pertiwi, iaitu tanah tempat kelahiran, bahkan rasa bangga dan semangat kuat menjadi rakyat negara merdeka dan berdaulat ini.
Memang patut dan wajar sambutan sedemikian, oleh segenap rakyat dan dengan penuh semangat. Ini kerana kemerdekaan, iaitu bebas daripada penjajahan, kurungan atau naungan negara atau orang lain, dan berdaulat, yang bermaksud berkuasa atau berhak sepenuhnya ke atas urusan atau pemerintah sendiri, adalah antara keperluan semula jadi manusia.
Orang yang dikurung atau dikongkong biasanya bagai jawi terkurung siang, iaitu sangat gelisah kerana tidak bebas, dan tiada orang yang sempurna akalnya mahu menjadi ibarat burung: mata lepas badan terkurung, yang bermaksud tidak ada kemerdekaan.
Dan apabila merdeka, tiada sesiapa yang tidak seperti kuda lepas dari pingitan, iaitu sangat gembira sebab bebas daripada kongkongan.
Orang tua-tua berkata anak orang, anak orang juga, yang bermaksud kalau bukan hak kita, tidaklah ada gunanya. Begitulah juga tiada faedahnya menjadi rakyat tetapi tiada hak merdeka dan punya negara tetapi tiada hak berdaulat.
Sebab itu sejarah manusia kaya dengan kisah masyarakat dan individu yang sanggup berjuang habis-habisan hingga bertemu ajal demi mengelakkan dijajah atau mencapai kemerdekaan.
Dalam sejarah Singapura, contohnya, kita mempunyai wira pada diri Leftenan Adnan Saidi, anggota Rejimen Askar Melayu Pertama yang bersukat darah, bertimbang daging – melawan sampai mati – untuk mengelakkan negara ini dijajah Jepun, walaupun ketika itu ia di bawah penjajahan British.
Bagi pejuang kemerdekaan dan penentang penjajah, biar berputih tulang, jangan berputih mata, yang bermaksud lebih baik mati daripada menanggung malu.
Mereka ibarat kata pujangga badan boleh dimiliki, hati tiada boleh dimiliki, iaitu walaupun orang-orang lemah itu di bawah kuasa orang kuat, hatinya bebas lepas.
Biarpun kemerdekaan Singapura tidak berlatar belakang pertumpahan darah dan perjuangaan hingga ke titisan darah terakhir, rakyat pulau kecil ini bukan umpama yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang, iaitu orang bertuah yang mendapat keuntungan dari mana-mana sahaja.
Generasi perintis Singapura, terutama pemimpin awal negara ini, tetap berdepan banyak rintangan, menghadapi tentangan dan perlu berusaha gigih untuk mencapai kemerdekaan daripada British dengan menyertai Malaysia, sebelum kemudian diusir daripada Malaysia dan diberi berpadang luas, iaitu diberi kebebasan sepenuh-penuhnya, hingga menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Jadi, kemerdekaan Singapura tetap tidak ternilai dan perlu dihargai, sementara ulang tahunnya wajar disambut. Sejarah kemerdekaan itu, yang berkemuncak dengan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos 1965, harus tidak beringsut dari bibir, iaitu tidak habis-habis disebut (beringsut bermakna berpindah perlahan-lahan).
Tidak mengenang sejarah kemerdekaan itu samalah seperti kata jauhari mutiara terkalung ke leher babi, iaitu mendapat sesuatu yang berharga tetapi tidak tahu akan nilainya.
Sekarang, tanggungjawab menjunjung ibu pertiwi, atau membela negara, yang termasuk memelihara dan mengukuhkan kemerdekaan itu, terletak di pundak generasi hari ini dan hari muka Singapura.
Dalam dunia penuh gelora sekarang – dengan ngeri pencerohonan negara besar Russia ke atas jiran kecilnya Ukraine dan pendudukan haram berterusan lagi berdarah Israel ke atas tanah milik rakyat Palestin sebagai pengajaran – kewajipan itu sesukar, jika tidak lebih sukar, usaha mencapai kemerdekaan 59 tahun lalu.
Dalam hal ini, perlu diingat pesan bijak pandai, alpa negeri alah, sia-sia hutang tumbuh, yang bermaksud alpa dan lalai mengakibatkan bencana, dan nasihat orang tua-tua, jangan menyuruh kapak menyelam beliung, iaitu jangan memberi kepercayaan kepada orang yang tidak setia (beliung adalah sejenis kapak bermata melintang yang menjadi perkakas tukang kayu).
Sebagai rakyat pula, ingat kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri, iaitu walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.
Dan usah lupa nasihat pujangga buruk, buruk kayu gaharu, dibakar berbau juga, yang bermaksud orang yang setia itu walau miskin sekalipun namanya tetap disebut orang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg