Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Demi Sesuap Nasi’ rakam pengalaman 18 tahun cari rezeki di lautan

Bekas juruteknik makmal geoteknik luar pesisir kongsi pengalaman merantau, temui masyarakat di pelbagai benua
Jul 28, 2025 | 5:30 AM
Jamal Ali, Demi Sesuap Nasi
Jamal Ali membukukan pengalamannya sebagai Juruteknik Makmal Geoteknik Luar Pesisir dalam buku, ‘Demi Sesuap Nasi’, dengan harapan ramai dapat meraih inspirasi daripada membaca catatan pengalamannya. - Foto HAKIM BAJURI

Sebahagian besar kehidupan Jamal Ali diharungi di lautan, jauh daripada keselesaan hidup di darat.

Dengan kerjaya silamnya yang menjangkau 18 tahun dalam industri tenaga luar pesisir, bapa tiga anak, seorang anak perempuan berusia 19 tahun dan kembar lelaki berusia 17 tahun, itu kini berjaya merakam setiap kenangan tugasnya di rantauan melalui buku berjudul, Demi Sesuap Nasi.

Jamal, 52 tahun, berharap bukunya membolehkan pembaca mengetahui sedikit sebanyak tentang hakikat hidup seseorang yang bekerja di luar pesisir lautan.

Walaupun Demi Sesuap Nasi banyak berkisah tentang pengalaman silam beliau ketika bertugas sebagai juruteknik makmal geoteknik luar pesisir – individu yang bertanggungjawab mengendalikan, menguji, dan memelihara sampel tanah yang dikumpul dari lokasi luar pesisir – beliau berharap buku tersebut boleh dinikmati sesiapa sahaja.

“Segalanya dalam buku ini adalah berdasarkan pengalaman sebenar. Saya tidak mahu tokok tambah,” tegasnya.

“Saya mahu pembaca rasa dekat dengan cerita yang saya kongsi ini, dan mungkin ia akan membuka mata mereka tentang cabaran sebenar pekerja ‘offshore’ atau luar pesisir,” ujarnya.

Menurutnya, cetusan idea untuk menulis buku itu datang daripada rakan baiknya, Anuar Othman, sasterawan Singapura, yang turut menjadi editor bukunya.

“Sebenarnya, saya dipujuk oleh beliau untuk menulis.

“Beliau cadangkan agar saya catatkan pengalaman saya dalam tugasan untuk tujuan warisan,” ujar Jamal, yang kini bertugas sebagai Pengurus Keselamatan Kebakaran.

Diterbitkan oleh syarikat ARS Associates dan Madani Legasi, buku Demi Sesuap Nasi bukan sekadar catatan perjalanan kerja, malah perkongsian jujur dan menyentuh hati tentang kehidupan sebenar di laut terbuka.

Buku tersebut merangkumi kisah suka duka, cabaran budaya, serta nilai yang terbentuk dalam persekitaran kerja berisiko tinggi.

Menurut Jamal, ia juga lebih tertumpu pada pengalaman peribadi dan kemahiran insaniah, berbanding aspek teknikal.

“Ini bukan buku teknikal. Saya ingin kongsi aspek kemanusiaan kehidupan sebagai pekerja luar pesisir – tekanan emosi, cabaran komunikasi serta perbezaan budaya,

“Saya pernah bekerja dengan orang Mexico, Venezuela, Eropah, Amerika Syarikat, semuanya mempunyai pelbagai ragam dan cara,” jelasnya.

“Kita perlu merendah hati kalau nak bertahan. Tak boleh ambil hati sangat,” nasihat beliau.

Buku tersebut juga tambah beliau, mempunyai beberapa catatan pengalaman yang tidak biasa dialami oleh ramai.

Antaranya adalah detik beliau menyambut iftar di Great Yarmouth, sebuah bandar di England, semasa Ramadan.

Beliau sempat menjadi saksi seseorang mengucapkan dua kalimah syahadah dan bergelar mualaf di luar negara, dan cabaran berkomunikasi dengan pekerja daripada pelbagai latar belakang budaya.

“Saya rasa pengalaman ini unik. Tak semua orang dapat lalui. Ada juga cerita semasa pandemik Covid-19, di mana saya melalui tempoh kuarantin selama tiga bulan di pelbagai negara.

“Masa itulah saya mula betul-betul fikirkan tentang kehidupan,” kata Jamal.

Namun, kehidupan di luar pesisir banyak risikonya, dan beliau sendiri menyaksikan rakan sekerjanya, seorang warga Romania, maut ekoran dihempap pelantar (‘rig’), semasa beliau bekerja di kawasan Denmark pada 2021.

“Ia agak menyedihkan, kerana ia berlaku secara tiba-tiba, dan beliau meninggalkan keluarganya juga,” kata Jamal.

Beliau juga berkongsi bahawa kejadian tersebut merupakan antara sebab beliau memutuskan untuk bersara daripada pekerjaan luar pesisir itu.

Antara cabaran menghasilkan buku tersebut adalah dalam mengimbas kembali pengalaman luas yang dijalaninya.

Beliau hanya mula menulis setelah bersara daripada kerjaya luar pesisirnya di Gardline Geosciences Limited pada 2021.

“Alhamdulillah saya dapat kunjungi enam benua dunia, kecuali Antartika.

“Nasib baik juga saya suka petik gambar semasa kerja dulu. Banyak kenangan saya boleh diimbas balik melalui gambar-gambar itu,” katanya.

Beliau harap bukunya itu akan memberi inspirasi bukan sahaja kepada golongan pelaut, bahkan sesiapa sahaja dalam kerjaya lain.

“Kisah nyata ini saya bukukan dengan harapan bukan sahaja ia dapat menjadi satu warisan untuk diri saya secara peribadi, malah kepada semua yang memiliki impian untuk berkelana dan mengembangkan sayap di bumi Allah ini yang luas terbentang,” tambahnya.

Jamal juga berkata bahawa sambutan bagi bukunya cukup baik, dan mendedahkan bahawa ada pelanggan dari beberapa tempat termasuk Australia, Perak dan Kuala Lumpur telah membeli bukunya itu.

Bagi mereka yang ingin membeli buku Demi Sesuap Nasi, hubungi ARS Associates di talian 9082-4337 atau melalui e-mel associates.ars.sg@gmail.com.

Sebanyak 1,000 naskhah dicetak dan buku itu dijual pada harga $22.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg