Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Begitulah harapan penganjur pertandingan tarian Mutiara Tari bagi anak muda menghargai dan mencintai budaya Melayu dengan lebih mendalam selepas melibatkan diri dalam tarian tradisional Melayu.
Lebih 100 penari muda dari 13 sekolah rendah telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan pada 19 Julai di Persada Budaya, Wisma Geylang Serai (WGS).
Acara anjuran WGS bersama Sri Warisan Som Said Performing Arts itu merupakan sebahagian daripada SG60Bersama, satu inisiatif sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60).
Mutiara Tari merupakan satu usaha untuk memelihara dan melestarikan warisan budaya Melayu bagi generasi akan datang.
Ia juga berfungsi sebagai wadah utama untuk sekolah mengetengahkan pencapaian kegiatan kokurikulum (CCA) tarian Melayu di bawah bimbingan tenaga pengajar profesional.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Pengarah Kreatif Sri Warisan Som Said Performing Arts, Marina Yusoff, berkata pertandingan tersebut memberi peluang kepada belia untuk menghayati tradisi, budaya dan seni Melayu melalui tarian.
“Idea menganjurkan Mutiara Tari adalah untuk menyediakan wadah bagi belia mendalami seni tarian tradisional Melayu dengan cara yang menyeronokkan dan bermanfaat.
“Bagi saya, tarian Melayu lebih daripada sebuah persembahan. Ia mencerminkan nilai, tatasusila, bahasa dan asal usul kita.
“Apabila mereka mempelajari sesebuah koreografi atau lenggok tarian, mereka juga dididik mengenai kesantunan dan adab Melayu sambil memahami bahasa puisi dalam lagu tradisional kita.
“Tarian turut menjadi cara untuk merapatkan jurang antara generasi muda dengan budaya Melayu,” ujar Marina.
Diadakan buat kali ketiga, pertandingan pada 2025 memberi tumpuan kepada murid sekolah rendah dengan kededua edisi sebelum ini hanya dibuka kepada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Antara cabaran utama yang dihadapi pihak penganjur adalah dari segi logistik dan menyusun jadual raptai persembahan bagi setiap sekolah.
Setiap sekolah mempersembahkan tarian selama tiga hingga lima minit berdasarkan salah satu jenis tarian Melayu iaitu zapin, joget, inang, asli dan masri.
Persiapan bagi persembahan itu mengambil masa hampir empat bulan.
Mereka dinilai dari aspek teknikal, persembahan, keaslian dan tafsiran kreatif.
Panel juri terdiri daripada penggiat seni tarian tempatan termasuk, Abdul Yazid Juhuri, Zairin Abdul Latif, Zahidah Qurratuaini Kamsari dan Fathurrahman Said selaku ketua juri.
Sekolah Rendah Xishan di Yishun yang mempersembahkan tarian, Mekar Kasih, menjuarai pertandingan tersebut manakala Sekolah Rendah Qifa di West Coast Avenue, mendapat tempat kedua dengan persembahan tarian, Tandak Temasya.
Tempat ketiga menjadi milik Sekolah Rendah Yishun yang mempersembahkan tarian, Dakdu Ronggeng Hatiku.
Bagi Fathurrahman, beliau berpendapat bahawa kunci utama bagi kumpulan tarian itu menyerlah di atas pentas adalah apabila mereka memaparkan sifat perpaduan dan bersatu.
“Mereka bukan hanya menari bahkan juga menjiwai inti pati persembahan itu dan seakan bercerita kepada penonton.
“Sebagai penonton anda boleh rasakan keserasian penari di atas pentas dan persembahan itu memberi impak yang mendalam,” kongsinya yang merupakan pereka tari berpengalaman.
Kededua Marina dan Fathurrahman berharap peluang tersebut membuka minda anak muda yang terlibat agar terus bergiat aktif dalam seni tarian Melayu sambil memupuk rasa bangga terhadap budaya dan tradisi Melayu.
“Saya berharap para peserta berasa lebih yakin dan mempunyai pemahaman lebih mendalam mengenai budaya mereka,” kata Fathurrahman.
Di samping itu, mereka turut berharap persahabatan yang terjalin dan semangat kebersamaan yang dibina akan terus mekar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg