Di persimpangan
Termangu lidahmu kelu liurmu kekeringan akalmu tidak lagi berbunga tidak lagi bistari menanti tumbang kasturinya hilang melukut di tepi gantang tiada siapa memandang
Kau menangis tiada alasan tragis menitis kecurangan pada kelopak-kelopak malang
Di jemalamu gugur menyisih usia di celah dua warna dunia segenggam tidak lagi ada meraung tanpa suara
Kau menangis jenuh mengunyah sesal kau intai lembaran semalam menyingkap di jendela kelam buntu! letih.. menjerit pedih
Kau memintal kehidupan kau meracuninya menjadi bangkai bernyawa pada kepingan-kepingan hati dan kau mengkhianati memperkosa jiwa raga memuntahkan cita dan cinta berderai di kaca syurga
Nyanyian sendu merantai mengikatmu mengheritmu dari sebeban dosa nan berbeza sabda menikam luluh sukma
Rebahmu di pinggir senja membalut kafan duka bau hanyir darah dan nanah berbekas di mana-mana dalam kegetiran rasa melacur di persempangan sekian lama di ganggang memunah harapan Di lorong-lorong malap akhirnya senyap, lenyap
KAMARIA BUANG
Pemotong
Kelmarin dia hanya pemotong rumput di pinggiran jalan kerana berani menyahut cabaran
Kini dia pemotong rambut di tengah para pelakon dan para artis handalan.
ISMAIL HUSSAIN


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg