Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua tiga kucing berlari, mengapa si belang pilihan hati?
Dua tiga kucing berlari, mengapa si belang pilihan hati?
Pantun klasik singkap simbolisme halus menerusi hubungan indah pembayang dengan maksud
Dua tiga kucing berlari, mengapa si belang pilihan hati?
Sambutan Hari Raya 2026 menyaksikan rekod baharu dengan penghasilan lebih 200 lagu Raya di Malaysia, lapor stesen radio Sinar FM.
Dalam gelombang lagu-lagu baharu Lebaran ini, Jodoh Lebaran nyanyian Aisha Retno paling berjaya memikat hati pendengar.
Selain melodi yang membuai, liriknya mudah diingati dengan bertemakan mencari pasangan hidup, terutamanya pada rangkap berikut:
âDua tiga kucing berlari
Mana nak sama dengan si kucing belang
Dua tiga baju raya dah dibeli
Jodoh di hari raya dah dapat ke sayang?â
Dua baris terawal jelas diambil inspirasi daripada pantun klasik Melayu yang sering kita dengari:
âDua tiga kucing berlari,
Manakan sama si kucing belang;
Dua tiga bolehku cari,
Manakan sama Tuan seorang.â
Menariknya, pantun ini kembali menjadi bahan perbualan dalam kalangan warganet terutama di wadah Threads.
Ada yang bertanya, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan âkucing belangâ?
âMengapa pula kucing belang dijadikan perbandingan?â
Ada warganet yang sempat juga berseloroh:
âKenapa bukan oyen, tompok atau tuxedo (gelaran kucing peliharaan)?â
Soalan seperti ini mungkin nampak remeh, tetapi sebenarnya membuka ruang kepada perbincangan yang cukup menarik tentang keindahan bahasa dalam pantun Melayu.
Ciri pantun klasik Melayu
Dari sudut bentuk, pemilihan perkataan âbelangâ berfungsi melengkapkan struktur rima a-b-a-b, sejajar dengan bunyi hujung perkataan âseorangâ di baris akhir.
Pun begitu, ungkapan âkucing belangâ dipilih bukan sekadar memenuhi struktur rima.
Dalam pantun Melayu empat kerat, dua baris pertama dikenali sebagai pembayang, manakala dua baris terakhir disebut maksud.
Keindahan pantun Melayu terletak pada kebijaksanaan pengarang mengaitkan pembayang dengan maksud, sehingga kedua-duanya membentuk satu kesinambungan idea yang utuh.
Pembayang lazimnya diambil daripada pemerhatian masyarakat Melayu tradisional terhadap alam, haiwan dan lingkungan hidup, lalu dikaitkan secara halus dengan maksud yang tersirat dalam dua baris terakhir.
Maksud dalam dua baris terakhir pantun pula sering menyentuh tentang hubungan sosial, perasaan dan kehidupan, yang sarat dengan mesej.
Tafsiran ungkapan âkucing belangâ
Besar kemungkinan, masyarakat Melayu dahulu mentafsirkan âkucing belangâ sebagai seekor haiwan yang jauh lebih besar, gagah, dan menonjol daripada kucing biasa.
Dalam erti kata lain, âkucing belangâ boleh ditafsirkan sebagai merujuk kepada seekor harimau.
Tafsiran ini logik kerana harimau, anggota keluarga kucing yang bertubuh besar dan berjalur, sering dikaitkan dengan sifat keberanian.
Bunyi hentakan larian dua atau tiga ekor kucing tentulah tidak setanding dengan bunyi hentakan seekor harimau.
Disebabkan saiz tubuhnya, langkah harimau lebih berat dan kuat, berbeza dengan langkah kucing biasa yang ringan dan perlahan.
Justeru, gegaran langkah harimau tidak akan dapat ditandingi oleh hentakan larian dua atau tiga ekor kucing.
Di sinilah pembayang ini dikaitkan secara halus dengan maksud pantun.
Dalam urusan hati dan perasaan, seseorang mungkin bertemu dan berkenalan dengan ramai orang, tetapi hanya seorang yang akhirnya meraih tempat paling istimewa di ruang hati.
Dalam kamus
Namun begitu, perlu juga ditekankan, tiada rekod ungkapan âkucing belangâ sebagai subentri khusus dalam Kamus Dewan.
Dalam kamus, ungkapan yang merujuk kepada harimau ialah âPak Belangâ.
Percubaan mentafsir pantun klasik bukan sesuatu yang mudah dalam memahami apa yang cuba disampaikan si pengarang.
Ungkapan âkucing belangâ, misalnya, boleh sahaja ditafsirkan secara literal sebagai kucing biasa yang berbelang, tetapi mungkin memiliki bulu yang lebih cantik dan menonjol daripada kucing lain.
Oleh itu, untuk memahami maksud sebenar ungkapan tersebut, kita perlu meneliti hubungan antara pembayang dengan maksud pantun, di samping menyelami latar kehidupan masyarakat pada zaman pengarang, agar konteks yang ingin disampaikan dapat difahami dengan lebih jelas.
Kesimpulan
Walau apa pun tafsirannya, intipati utamanya kekal sama, iaitu seekor âkucing belangâ merujuk kepada haiwan seakan-akan kucing, yang istimewa, unik dan berbeza daripada kucing biasa.
Di samping itu, dengan hanya gambaran mudah seekor kucing yang sedang berlari, pengarang berjaya menyampaikan makna tersirat dengan mendalam.
Maka tidak hairanlah pembayang klasik ini masih segar dan terus hidup, malah diangkat semula dalam lagu Raya moden seperti Jodoh Lebaran.
â
Keindahan pantun Melayu terletak pada kebijaksanaan pengarang mengaitkan pembayang dengan maksud, sehingga kedua-duanya membentuk satu kesinambungan idea yang utuh.