Dunia ini sebuah rumah sakit
dihuni sarat orang sakit
sakit pelbagai rupa penyakit
sakit hati
sakit cinta
sakit kuasa
sakit harta
sakit jiwa
sakit dendam kesumat
sakit cemburu
sakit khianat
sakit politik
sakit umpat
sakit berontak
sakit derhaka
sakit talam dua muka
sakit goda
sakit perang
sakit tindas
sakit dera
sakit tipu
sakit sombong
sakit otak
sakit maksiat
antara sakit dalam senarai sakit
yang panjang amat
tak akan habis disebut hingga akhir hayat
sampai doktor dan jururawat sendiri sakit tenat
tersenarai pekat dalam sakit yang tersabit berat.
Dan aku di sini
tidak ketinggalan dijarumi sakit
sakit penat menulis puisi pahit
yang dibaca pencinta ralit
sampai sakit mata
terbebat mengusik jiwa
kepala sakit tergenjot minda
mulut sakit tergeliat lidah
masakan ada kesudahannya
kerana ubat sendiri
menjadi sakit yang semakin sakit
siang dan malam mengerang melarat
tangisan pedih disambut serigala
jauh di hutan belantara
dalam raungan yang menyayukan


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg