Topik diikuti
Pergi ke BHkuSebagai durian, pangsa menunjukkan bangsa
Telusuri kekayaan peribahasa, makna ekon dan ketinggian budi masyarakat Melayu berkaitan raja buah
Seronok betul penggemar durian sejak beberapa minggu lalu.
Mereka dapat tebu rebah atau dapat durian runtuh pada musim durian kali ini.
Maksudnya, mereka mendapat sesuatu dengan mudah atau tidak disangka-sangka, atau mendapat keuntungan dengan tidak bersusah payah.
Masakan mereka tidak gembira, raja buah itu berlambak di pasaran sekarang.
Gerai durian bagai cendawan tumbuh selepas hujan, iaitu sangat banyak pada sesuatu masa, di estet-estet HDB di Singapura dan di tepi-tepi jalan di Malaysia.
Saking, atau oleh sebab, berlambaknya buah itu, sekarang ia bukan mahal tak dapat dibeli, murah tak dapat diminta, iaitu sesuatu yang amat susah diperoleh.
Ada penjual tidak menyusun raja buah itu elok-elok di para-para atau rak untuk menarik pembeli, setakat membiarkannya seperti tembatu dibelah, iaitu berserak-serak atau tidak keruan, di lantai.
Tembatu merujuk kepada buah yang keras.
Si penggemar tetap tergoda, bak orang mengantuk disorongkan bantal, iaitu mendapat apa yang diingini.
Mentelah dek banyaknya tuaian musim ini, ia dijual pada harga runtuh, atau harga yang sangat murah atau jauh lebih rendah daripada biasa.
Itulah sebabnya orang tua-tua berkata berbudi kepada tanah, lambat-laun mendapat hasilnya.
Apabila raja buah itu banyak dan dijual pada harga rendah, penggemarnya ibarat hendak air, pancuran terbit atau hendak ulam, pucuk menjulai.
Ia bermaksud yang diperoleh lebih daripada yang dikehendaki.
Menjulai ialah berjuntai ke bawah.
Sedangkan harganya menengah tulang punggung (atau bubungan), iaitu mahal tidak, murah pun tidak, mereka tetap membelinya, inikan pula apabila harganya rendah.
Bubungan ialah bahagian di atas bagi rumah yang atapnya berbentuk V terbalik.
Jika lambat merebut peluang keemasan itu hingga musimnya berakhir, dikhuatiri mata telah rabun, bandar pun terbuka; gigi telah gugur, tebu pun menjadi.
Maksudnya, keinginan datang sesudah tiada kesempatan lagi.
Itu maknanya ‘melepas’, iaitu hampa kerana tidak tercapai maksud atau kecewa tidak tersampai hajat.
Melepas juga bermaksud buang angin, iaitu kentut, dan buang air besar, atau berak.
Namun, jangan pula keliru antara ‘melepas’ dengan ‘kos melepas’.
Tidak, kos melepas bukanlah caj yang dikenakan setiap kali anda kentut atau membuang air besar.
Perbezaan makna kekata ‘melepas’ dengan istilah ‘kos melepas’ bagai bumi dengan langit, iaitu perbezaan yang sangat besar.
Dalam ekonomi, kos melepas ialah nilai faedah atau pulangan terbaik yang dilepaskan atau dikorbankan, apabila anda memilih sesuatu pilihan berbanding pilihan lain.
Bagi pesakit kencing manis, misalnya, antara kos melepas kerana makan terlalu banyak durian pada satu masa ialah paras gula dalam darah naik, keadaan diabetes yang ada menjadi teruk, risiko dilanda penyakit lain meningkat.
Pesakit itu juga terpaksa mengehadkan pengambilan makanan lain yang boleh menjejas penyakit kencing manisnya.
Lambakan juga punya makna khusus dalam ekonomi, iaitu amalan pengeksport asing melambakkan atau menjual dengan banyak (dumping), sesuatu produk di pasaran tempatan pada harga jauh lebih rendah berbanding nilai biasa produk itu atau kos pengeluarannya.
Pengeksport asing melakukan itu untuk mengatasi pesaing tempatan dan menguasai pasaran tempatan.
Amerika Syarikat sering menuduh China melakukan lambakan ekonomi dengan membanjiri pasaran global dengan produk seperti panel solar, kenderaan elektrik, keluli dan aluminium.
Sebagai tindak balas, Washington melaksanakan langkah antilambakan terhadap Beijing, termasuk mengenakan tarif.
China menafikan tuduhan itu, dan sebaliknya menuduh Amerika mengamalkan perlindungan perdagangan, serta menyasarkan syarikat-syarikatnya secara tidak adil.
Beijing lalu mengenakan tarif balasan terhadap Washington, ibarat kata orang tua-tua, alang berjawab, tepuk berbalas.
Maksudnya, baik dibalas dengan baik, jahat dibalas dengan jahat.
Alang ialah pemberian atau hadiah.
Dua negara itu adalah kuasa ekonomi besar dan kuat di dunia, jadi perkelahian antara mereka bermakna bertemu teras dengan beliung atau anjing galak, babi berani, iaitu pertemuan antara lawan yang sepadan, sama-sama berani dan sama-sama keras.
Jika perkelahian itu antara Amerika atau China dengan negara kecil, ia macam timun dengan durian: menggelek pun luka, digelek pun luka, atau menempuh baik, ditempuh istimewa lagi; durian tidak apa-apa, timun juga yang binasa.
Kedua-dua peribahasa itu bermaksud perlawanan tidak sebanding atau pertembungan tidak seimbang (antara orang kecil melawan orang berkuasa).
Ini bermakna negara kecil perlu bijak merangka strategi, menyusun langkah dan bertindak dengan cermat apabila berdepan pertikaian dengan negara yang lebih besar.
Namun, lambakan durian di Singapura tidak dikira sebagai tindakan ‘melambakkan’ buah itu di sini oleh Malaysia.
Ini kerana Singapura tidak menghasilkan produk itu, jadi tidak timbul isu pengeksport Malaysia hendak mengatasi pesaing di sini.
Sebaliknya, lebihan bekalan itu berpunca daripada pokok-pokok durian di seberang Tambak menjadi.
Dalam masyarakat Melayu, perkataan ‘menjadi’ bukan sekadar kata kerja biasa.
Ia turut membawa maksud budaya dan falsafah mendalam, dan dikaitkan dengan konsep kesempurnaan dan kejayaan.
Contohnya, sesuatu usaha atau rancangan yang berhasil atau mencapai matlamat disebut sebagai menjadi.
Tanaman yang hidup subur dan berbuah juga dikatakan menjadi.
Ia juga digunakan dalam konteks pembentukan nilai dan usaha mengasuh atau mendidik.
Apabila seseorang anak itu membesar menjadi insan berakhlak mulia atau berjaya dalam kehidupan, usaha mendidiknya dikatakan menjadi hingga dia menjadi orang.
Simpulan bahasa menjadi orang bermaksud berjaya dalam hidup atau menjadi insan berguna dan dihormati dalam masyarakat.
Cara orang Melayu zaman dahulu membeli dan makan durian – sembunyi-sembunyi, iaitu berahsia – juga memaparkan adab mereka.
Ini kerana bau durian sangat kuat, jadi mereka tidak mahu ia menusuk hidung tetangga yang mungkin tidak mampu membelinya, atau tidak selesa akan baunya.
Membeli durian juga dianggap sebagai satu kemewahan pada zaman dahulu kerana harganya agak tinggi.
Oleh itu, memakannya secara sembunyi-sembunyi dapat mengelakkan daripada dianggap hendak menunjuk-nunjuk kepada tetangga kurang berkemampuan.
Malah apabila membeli durian, ada daripada mereka mesti memberi sebiji dua atau sepinggan kepada jiran terdekat.
Begitu beradab orang Melayu zaman dahulu kerana pujangga mengatakan, sebagai durian, pangsa menunjukkan bangsa.
Maksudnya, daripada kelakuan (perbuatan dan tutur kata) seseorang, dapat dikenal asal usul dan tinggi rendah budi pekertinya.
Pangsa ialah petak-petak atau bahagian-bahagian dalam buah-buahan dan sebagainya.
