Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru asah keyakinan diri, pemikiran kritis pelajar menerusi debat

Finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Perangsang) tekan kesantunan bahasa, adab bagi mencorak penghayatan kekayaan Bahasa Melayu
Oct 6, 2025 | 5:30 AM
Cik Filzatul Azreen Gazali
Cik Filzatul Azreen Gazali merupakan finalis Anugerah Guru Arif Budiman 2025 (Perangsang), yang menyanjung usaha guru Bahasa Melayu mendidik di luar persekitaran kelas bagi memperkukuh penghargaan terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Cik Filzatul Azreen Gazali, 33 tahun, mengutamakan keyakinan diri dan komunikasi berhemah di dalam bilik darjah, dengan menggalakkan murid-murid menyuarakan pandangan mereka sambil mengekalkan adab. 

Berbekalkan pengalamannya di Sekolah Menengah Anderson, di mana guru-guru memupuk budaya perbincangan secara terbuka dan pemikiran kritis, beliau menyediakan ruang untuk murid-muridnya bertanya, berdebat dan menyelami isu kemasyarakatan dengan penuh teliti. 

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), yang diadakan di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE) di Buona Vista, sifat tegas dan yakin beliau jelas terserlah, dan itulah keperibadian yang dibawa ke dalam bilik darjah ketika merancang sukatan pengajaran. 

Beliau menekankan pentingnya membimbing murid membezakan antara fakta dengan salah tanggapan, misalnya, bagi membantu mereka memahami bahawa cabaran seperti ketagihan alat digital adalah nyata dan memerlukan kesedaran seimbang. 

Usaha gigih Cik Filzatul, anak bongsu dalam empat beradik, telah membuka ruang baginya dicalonkan sebagai antara finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Kategori Perangsang) 2025.

Kategori ‘Perangsang’ adalah bagi pendidik dengan kurang 10 tahun dalam perkhidmatan, manakala kategori ‘Teladan’ bagi mereka yang berpengalaman 10 tahun atau lebih dalam tugas guru.

Sebagai finalis Anugerah Guru Arif Budiman, beliau melihat platform itu sebagai wadah untuk menyerlahkan usaha secara diam-diam para guru yang komited menabur jasa tanpa mengharapkan pengiktirafan.

Anugerah tersebut mengiktiraf guru Bahasa Melayu cemerlang di sekolah aliran utama, yang berusaha meneroka kaedah pembelajaran di luar bilik darjah untuk menyemai penghargaan lebih mendalam terhadap mata pelajaran tersebut.

Ia merupakan anjuran bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru-Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

“Secara umum, saya sehaluan dengan pandangan guru-guru yang menekankan kesantunan berbahasa dan keyakinan dalam menyuarakan pendapat.

“Itulah cogan kata yang dijadikan sandaran dalam penyampaian lisan. Justeru, apabila saya mengajar, saya terdorong mengikuti pendekatan sebegini.

“Apabila berbahasa, pelajar yang bijak bukan sahaja menerapkan kesantunan demi matlamat yang ditetapkan atau melakukannya sebagai satu formaliti, bahkan juga menonjolkan keyakinan diri. Mereka tidak takut bersuara.

“Di Sekolah Menengah Anderson, guru-guru melontarkan apa sahaja idea yang mereka miliki.

“Mereka menyediakan garis panduan dan ruang untuk membincangkan isu-isu masyarakat pada tahap yang tinggi.

“Pelajar bertanya soalan dan digalakkan mencabar kenyataan kami sebagai pendidik. Ini memberi mereka peluang untuk lebih yakin bertanya.

“Sekolah Menengah Anderson juga mempunyai Program Pilihan Bahasa Melayu (MLEP) yang benar-benar menerapkan budaya sebegitu.

“Dalam kelas, saya akan membetulkan pandangan pelajar yang silap,” katanya.

Mengajar bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi apa yang membuatkan Cik Filzatul terus bersemangat pada hari-hari mencabar adalah kemampuannya memisahkan urusan kerja daripada tanggungjawab di rumah.

 “Cara yang membantu saya adalah dengan memisahkan pekerjaan daripada kehidupan di rumah.

“Saya juga bergantung pada rakan sekerja yang dapat memahami emosi saya. Bagi saya, saya sentiasa cuba berfikiran positif. 

“Kalau ada kejadian yang memberi kesan buruk kepada saya, saya akan ingatkan diri sendiri, setiap kesilapan adalah detik untuk kita belajar daripadanya, seumpama kanvas kosong yang boleh kita isi semula,” ujar Cik Filzatul yang telah tujuh tahun bergelar guru.

Sepanjang tempoh itu, beliau berkongsi bahawa para pelajarnya, yang datang daripada latar belakang serta pengalaman berbeza, telah memperdalam pemahamannya tentang betapa setiap insan adalah unik.

Perkara ini telah membentuk pendekatan pengajarannya yang lebih fleksibel, penuh empati dan memberi tindak balas terhadap keperluan pelajar yang berbeza-beza.

Antara cabaran yang pernah dihadapinya adalah mengenal pasti potensi pelajar yang berdepan kesukaran peribadi atau sosioekonomi, selain menguruskan pelbagai perspektif dalam bilik darjah, khususnya ketika membincangkan kesusasteraan Melayu.

“Walaupun ia mencabar, pengalaman sebegini memperkaya perbincangan kami dan mengingatkan saya tentang tujuan sebenar mengajar.

“Saya menganggap setiap kemajuan kecil sebagai satu kejayaan yang memperkukuh nilai empati, kesantunan, dan pada peringkat peribadi, ketabahan dalam kerjaya saya,” tambahnya.

Beliau turut berkongsi: “mengajar bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga membentuk perwatakan, keyakinan serta ketahanan diri pelajar”.

“Semasa di Universiti Malaya (UM), semua orang berbahasa Melayu sebagai bahasa pertama mereka.

“Hal itu mendorong saya mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dan mula bertutur menggunakan bahasa ibunda saya ini dengan lebih kerap,” katanya.

Beliau turut berkongsi bagaimana pengalamannya di UM telah membentuk dirinya dan juga telah memberi erti baginya sebagai seorang guru Bahasa Melayu. 

“Saya sedar saya mampu memberi inspirasi kepada generasi muda dan membantu mereka melihat Bahasa Melayu bukan sekadar satu mata pelajaran, tetapi sebagai asas identiti dan pandangan hidup mereka,” jelasnya.

Bagi menyemarakkan minat pelajar terhadap Bahasa Melayu, ia perlu diajar dengan cara yang bersifat peribadi, bermakna dan bagi memperkasa pengguna.

“Saya sering menggunakan debat bukan hanya sebagai pertandingan, tetapi juga sebagai cara untuk membina pemikiran kritis dan keyakinan dalam diri pelajar.

“Saya juga menggalakkan pelajar berlatih menyuarakan pandangan mereka.

“Pendekatan ini menjadikan Bahasa Melayu lebih hidup, menyeronokkan dan relevan bagi mereka,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg