Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuru suntik jiwa dalam Bahasa Melayu guna video, masyarakat sebagai wadah
Guru suntik jiwa dalam Bahasa Melayu guna video, masyarakat sebagai wadah
Buktikan pengajaran bahasa ibunda amali dan asli mampu lahirkan penutur muda yang yakin
Guru suntik jiwa dalam Bahasa Melayu guna video, masyarakat sebagai wadah
Seorang ibu bertanya kepada guru Bahasa Melayu, Encik Azhar Abdul Rashid, sewaktu sesi pertemuan ibu bapa dengan guru:
“Cikgu, apa yang Cikgu dah buat pada anak saya hingga dia boleh bercakap dalam bahasa Melayu dengan mudah di rumah?”
Pertanyaan itu lahir daripada rasa hairan si ibu tentang apakah yang diajarkan Encik Azhar di bilik darjah.
Peningkatan penggunaan bahasa Melayu yang semula jadi dalam diri pelajar, ternyata, berakar daripada pendekatan pengajaran Encik Azhar, 42 tahun, yang lebih terkait dengan kehidupan harian.
Malah, dalam kelas, beliau menggunakan teknik bercerita serta menggunakan video yang memaparkan kisah kehidupan seharian masyarakat.
Baginya, cara itu dapat melatih anak didiknya di Darjah 5 mengungkapkan kosa kata yang lebih “alami” dan dekat dengan diri mereka.
“Saya akan gunakan video sebagai bahan pengajaran berinteraksi.
“Contohnya, baru-baru ini, saya gunakan video yang menunjukkan tentang perjalanan hidup seorang guru dan tentang seseorang yang menjaga ibu bapa.
“Video-video ini memberi gambaran sebenar tentang masyarakat dan dapat diselami oleh pelajar.
“Jadi, apabila para pelajar boleh kaitkan diri dengan situasi sebenar, mereka boleh garap konsep yang berkaitan dalam Bahasa Melayu dengan lebih baik,” katanya.
Encik Azhar, salah seorang finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2026 bagi Kategori Teladan, menyedari penguasaan mata pelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar kini kian merosot.
Namun begitu, beliau percaya bagi mengatasi hal tersebut, pengajaran bahasa itu harus melangkaui hal-hal yang berkaitan dengan subjek itu semata-mata.
Malah, Encik Azhar, yang masih bujang berpendapat, pengajaran bahasa itu harus bersifat kemasyarakatan dan berpusatkan pelajar.
“Fokus telah diperluaskan melampaui latihan tatabahasa dan prestasi peperiksaan untuk merangkumi kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, dan penggunaan bahasa yang asli.
“Contohnya, pengajaran berdasarkan perbincangan yang bermakna seperti yang berkaitan isu masyarakat, dikendalikan dengan menggunakan kosa kata Bahasa Melayu.
“Cara tersebut dapat membina kemahiran berbahasa sambil melahirkan penutur yang yakin dan berfikiran matang,” tambahnya, yang bertugas sebagai guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Horizon, di kawasan Punggol, sejak 2023.
Ternyata, pendekatan tersebut membuahkan hasil tatkala pelajarnya dapat menggunakan bahasa Melayu secara semula jadi di rumah seperti yang diperhatikan oleh ibu bapa mereka.
Selain daripada tugasnya sebagai guru Bahasa Melayu, beliau juga berperanan sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Murid dalam mengawasi disiplin pelajar di sekolah berkenaan.
Dalam bidang tugas tersebut, Encik Azhar bertanggungjawab menyelami kehidupan pelajar yang menghadapi masalah serta membantu dalam membentuk disiplin mereka.
Malah, dalam menjalankan peranan itu pun, beliau turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa interaksi bersama pelajar Melayu.
Yakin bahawa penggunaan bahasa Melayu itu harus asli dan praktikal, anak bongsu dua beradik itu melihat penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa interaksi yang dapat membentuk hubungan lebih jujur.
Encik Azhar, yang juga merupakan penerima Anugerah Agab Kategori Perangsang pada 2016, menjelaskan:
“Menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa interaksi dapat mencerminkan keikhlasan dan kesantunan.
“Apabila keikhlasan itu terpancar melalui interaksi menggunakan bahasa Melayu, kejujuran dan kepercayaan akan terbina dalam hubungan antara guru dengan murid.
“Ini akan membantu dalam proses memahami dan mendisiplinkan pelajar.”
Justeru, Encik Azhar memerhatikan apabila beliau bertutur dalam bahasa Melayu dengan pelajar Melayu yang mempunyai masalah disiplin, mereka lazimnya akan lebih terbuka untuk berkongsi masalah yang dihadapi.
Dengan penggunaan bahasa Melayu yang lebih semula jadi dan penuh kesantunan, Encik Azhar dapat juga memanfaatkannya sebagai bahasa asuhan yang boleh membentuk budi pekerti pelajar.
CALON ANUGERAH GURU ARIF BUDIMAN 2026
Kategori Perangsang (kurang 10 tahun dalam perkhidmatan)
– Cik Diana Mohamed Mazlan (Sekolah Rendah First Toa Payoh)
– Cik Nur Azirah Mohd Nor (Sekolah Rendah Cantonment)
– Cik Nasuha Rahmat (Sekolah Menengah Outram)
– Cik Syafiqah Md Anuar (Sekolah Menengah Meridian)
Kategori Teladan (10 tahun atau lebih dalam perkhidmatan)
– Cik Aidah Hosni (Sekolah Rendah Fern Green)
– Encik Azhar Abdul Rashid (Sekolah Rendah Horizon)
– Cik Julaiha Haron (Sekolah Menengah Punggol)
– Cik Nur Maizurah Rosle (Sekolah Tinggi Nan Chiau)
