Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuru nyanyi dan menari bersama murid dorong penguasaan Bahasa Melayu
Guru nyanyi dan menari bersama murid dorong penguasaan Bahasa Melayu
Walau berpeluh dan letih, strategi tawan hati anak didik murid rapatkan hubungan agar pelajaran ‘lekat’ dalam minda
Guru nyanyi dan menari bersama murid dorong penguasaan Bahasa Melayu
Selepas selesai kelas Bahasa Melayu dengan murid Darjah 2, Cik Azirah Mohd Nor, 31 tahun, sering mendapati dirinya dalam keadaan berpeluh dan keletihan.
Hal itu disebabkan beliau tidak boleh “duduk diam” ketika mengajar murid Darjah 2 di Sekolah Rendah Cantonment.
Oleh kerana sifat kanak-kanak yang bertenaga dan lebih tertarik kepada kegiatan nyanyian dan gerakan, beliau turut menyanyi dan menari bersama-sama muridnya sebagai elemen pembelajaran di dalam kelas.
“Bagi murid Darjah 2, mereka lebih aktif dan gemar belajar menggunakan lagu.
“Jadi, saya akan gunakan lagu dan bahan daripada sukatan pelajaran di buku teks untuk menyanyi dan menari bersama-sama mereka.
“Selepas selesai kelas, memang berpeluh dan letih saya dibuatnya.
“Apabila saya menari di hadapan kelas bersama-sama mereka, mereka terhibur. Pada masa yang sama, cara itu juga membantu membuat pelajaran melekat dalam minda mereka.
“Kadang-kadang di luar kelas, mereka akan dengan sendirinya bercakap dan bernyanyi dalam bahasa Melayu sebagai mengulangi pelajaran mereka,” kata Cik Azirah.
Namun, di sebalik rasa penat itu, beliau sedar, hal itu juga membantu menjalin hubungan yang rapat lagi selesa antara dirinya dengan anak didiknya.
“Melalui cara menyanyi dan menari bersama-sama, mereka akan melihat diri saya sebagai seorang guru yang boleh didekati.
“Jadi, mereka dengan sendirinya akan datang kepada saya untuk berkongsi cerita tentang diri mereka dan ini akan membuat saya mengenali mereka dengan lebih rapat,” tambah beliau, salah seorang finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2026.
Cik Azirah, yang telah menjadi guru Bahasa Melayu sejak akhir 2022, berpendapat, hubungan baik pelajar dengan sesuatu mata pelajaran bergantung pada hubungan baik mereka dengan guru yang mengajarkannya.
Lebih-lebih lagi sekiranya pelajar tersebut jarang menggunakan bahasa ibunda itu di luar bilik darjah.
Menurutnya, pelajar akan melihat Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran positif jika mereka mempunyai hubungan yang positif bersama guru.
Menyedari hal tersebut, Cik Azirah akan sentiasa mengambil langkah untuk beramah mesra dan mengenali setiap muridnya demi membina hubungan baik dengan mereka.
Berdasarkan pemerhatiannya, tatkala pelajar menyedari seseorang guru itu cuba mengenali mereka dengan lebih rapat, mereka akan lebih terdorong untuk belajar dengan hati yang terbuka.
“Mungkin saya salah seorang daripada hanya segelintir sahaja individu yang berbicara dengan mereka dalam bahasa Melayu, jika mereka tidak menggunakannya di luar bilik darjah atau di rumah.
“Maka, hubungan saya dengan mereka harus positif supaya hubungan mereka dengan subjek Bahasa Melayu juga positif.
“Jika hubungan pelajar dengan guru positif, lebih senang untuk mereka belajar dan akan lebih senang untuk kita mengajar,” jelas ibu seorang anak itu.
Setelah membina hubungan baik bersama pelajar, beliau turut percaya keyakinan diri pelajar harus sering diberi perhatian agar mereka sentiasa terdorong untuk menguasai Bahasa Melayu.
Mendapat inspirasi daripada kaedah yang digunakan oleh guru penyelianya, beliau akan memastikan setiap kemajuan kecil pelajarnya tidak akan dilupakan begitu sahaja.
Bagi Cik Azirah, selemah mana sekalipun penguasaan muridnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, beliau akan tetap meraikan setiap kemajuan kecil mereka tatkala mempelajari sesuatu yang baharu.
“Apa sahaja peningkatan kecil yang mereka tunjukkan dalam kelas, saya akan tetap meraikannya dengan berkongsi kepada seluruh kelas.
“Melalui cara ini, mereka akan terdorong untuk terus mempertingkatkan diri dan mereka akan sedar bahawa jika mereka tidak mengetahui sesuatu pada awalnya, itu bukan satu masalah,” kongsi beliau.
