Penulis mapan tempatan, Hamed Ismail, menekankan bahawa karya sastera melangkaui sekadar hiburan; ia adalah wadah penting untuk merakam perubahan zaman dan mencerminkan realiti kehidupan masyarakat Singapura.

Dengan latar belakang pengalaman yang luas merentasi skrip televisyen, teater, puisi dan cerpen, beliau kini muncul dengan naskhah terbaharu, Hendak Bunuh Cemburu, antologi cerpen menghimpunkan suara, pengalaman, serta pemerhatian beliau terhadap masyarakat dari era terdahulu hingga ke masa kini.

Buku tersebut memuatkan 15 cerpen yang dihasilkan dalam tempoh masa berbeza, bermula sekitar 1980-an hingga kini.

Menurut Hamed, meskipun setiap cerpen menampilkan watak dan alur cerita tersendiri, kesemuanya berkongsi satu inti yang sama, berlatarkan peristiwa sosial dan politik yang pernah membentuk sejarah Singapura.

“Cerpen-cerpen saya ini mewakili zaman-zaman penting yang pernah dilalui oleh Singapura dahulu,” ujar beliau.

“Buku ini sekali gus memberikan gambaran jelas tentang bagaimana masyarakat bertindak terhadap sesuatu yang berlaku pada masa itu.”

Antara kisah yang diangkat termasuk cerita yang bersandarkan zaman Konfrontasi, satu tempoh yang memberikan kesan mendalam kepada kehidupan masyarakat di Singapura ketika itu.

“Sebagai contoh, ada cerpen yang merujuk kepada zaman Konfrontasi, apabila anasir dari Indonesia masuk ke Singapura dan mencetuskan ketegangan,” jelasnya.

Selain itu, karya beliau turut menyentuh isu semasa seperti jerebu, perubahan sosial, serta pengalaman bersama semasa pandemik Covid-19.

“Cerpen saya lazimnya mempunyai sandaran sosial dan politik yang berakar dalam sejarah Singapura,” tambah beliau.

Hamed menjelaskan bahawa kebanyakan cerpennya berpaksikan fakta sejarah sosial, namun, turut disulam kemas dengan pengalaman dan pemerhatian peribadi.

“Gabungan ini bertujuan memberi nilai tambah yang lebih kaya kepada pembaca.

“Saya berharap pembaca, terutamanya golongan muda yang tidak melalui zaman tersebut, dapat sedikit sebanyak memahami apa yang berlaku dalam masyarakat kita,” katanya.

Dari segi susunan, cerpen-cerpen dalam buku itu disusun mengikut kronologi masa, satu aturan yang membolehkan pembaca mengikuti perkembangan masyarakat dari satu era ke era yang lain, dengan lancar.

“Saya susun mengikut tahun, dari sekitar 1980-an sehingga ke masa sekarang,” ujarnya.

Hamed turut berkongsi pandangannya tentang pembaca sastera yang menurutnya boleh dibahagikan kepada tiga kelompok.

Menurutnya, terdapat pembaca yang sekadar membaca sambil lalu; ada yang berusaha mendalami makna di sebalik naratif; dan segelintir yang menganalisis serta mengaitkan karya dengan konteks masyarakat.

Namun, beliau menekankan bahawa tiada cara tafsiran tertentu yang ditetapkan untuk karyanya.

“Terpulang kepada pembaca bagaimana mereka melihat cerpen itu dari pelbagai sudut,” katanya.

Mengenai proses penulisan pula, Hamed menjelaskan beliau tidak terikat pada jangka masa khusus.

“Apabila ada idea, saya akan simpan dahulu.

“Kadang-kadang saya tidak produktif, tetapi apabila ilham datang, saya akan tulis dan simpan,” ujarnya.

Kebanyakan karya tersebut sebenarnya telah lama tersimpan dalam bentuk digital sebelum dikumpulkan semula.

Dorongan kuat untuk membukukan karya itu datang daripada pihak penerbit, Ombak Skrip House Production.

“Penerbit yang menggesa saya untuk kumpulkan semula cerpen-cerpen tersebut, dan itu menjadi dorongan kuat untuk saya siapkan buku ini,” jelasnya.

Proses penerbitan, yang merangkumi penyuntingan dan reka letak, mengambil masa kira-kira tiga bulan.

Beliau memuji profesionalisme pihak penerbit dalam memastikan hasil akhir yang kemas dan menarik.

Sepanjang kerjayanya, Hamed telah meraih pelbagai pengiktirafan dalam sastera Melayu Singapura, termasuk Anugerah Tun Seri Lanang (Anugerah Persuratan 2020/2021), selain beberapa kemenangan dalam Anugerah Persuratan dan Hadiah Sastera Singapura.

Kejayaan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai penulis yang tekal menyumbang kepada perkembangan sastera Melayu di Singapura.

Walaupun karyanya berpotensi dimanfaatkan dalam pendidikan, Hamed menegaskan tujuan utamanya bukan untuk dijadikan bahan teks sekolah.

“Saya tidak menulis khusus untuk sekolah, tetapi untuk umum dan untuk menyumbang kepada perkembangan sastera Melayu Singapura,” katanya.

Mengulas pemilihan tajuk, Hendak Bunuh Cemburu, beliau menjelaskan bahawa unsur dramatik itu sengaja dipilih bagi merangsang rasa ingin tahu pembaca.

“Tajuk itu ada unsur dramatik yang boleh menarik minat dan menimbulkan persoalan dalam kalangan pembaca,” ujarnya.

Menurut Hamed, Hendak Bunuh Cemburu, bukan sekadar buku kumpulan cerpen, malah, ia juga sebuah dokumentasi sastera yang merakam denyut nadi masyarakat Singapura merentas zaman.

“Saya ingin menyumbang kepada perkembangan dan kelestarian karya cerpen Melayu di Singapura,” tambah beliau.

Cerpen-cerpen saya ini mewakili zaman-zaman penting yang pernah dilalui oleh Singapura dahulu... Buku ini sekali gus memberikan gambaran jelas tentang bagaimana masyarakat bertindak terhadap sesuatu yang berlaku pada masa itu... Cerpen saya lazimnya mempunyai sandaran sosial dan politik yang berakar dalam sejarah Singapura.
Hamed Ismail.