Tokoh seni tembikar, Dr Iskandar Jalil, berharap generasi muda tidak sekadar mengikut jejak orang lain, malah berfikir dengan lebih mendalam, terus menimba ilmu dan membentuk identiti sendiri.

Harapan itu dikongsi beliau dalam satu wawancara bersama Berita Minggu (BM) pada 6 Ogos, di mana pakar tembikar veteran itu berterus terang dan tegas dalam menyampaikan pandangan – termasuk mengenai Anugerah Hari Kebangsaan 2026 yang diterimanya.

Dr Iskandar, 86 tahun, merupakan antara 7,491 penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2026, di mana beliau dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.

Berkongsi pandangannya mengenai anugerah yang diterimanya itu, Dr Iskandar berkata setiap bentuk pengiktirafan hanyalah satu bentuk pengakuan terhadap usaha seseorang dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Pengiktirafan semua sama, cuma tarafnya berlainan,” katanya ringkas.

Beberapa kali, beliau mencabar soalan yang dianggapnya terlalu umum atau kurang tepat, malah menuntut persoalan diperjelas sebelum memberikan jawapan, mencerminkan pendiriannya bahawa ketelitian bahasa dan pemikiran tidak boleh dipandang ringan.

Bagi Dr Iskandar, pengiktirafan tidak pernah menjadi matlamat utama.

Bagi tokoh seni tembikar, Dr Iskandar Jalil, pengiktirafan tidak pernah menjadi matlamat utamanya menghasilkan karya.
Bagi tokoh seni tembikar, Dr Iskandar Jalil, pengiktirafan tidak pernah menjadi matlamat utamanya menghasilkan karya. - Foto BM oleh KHALID BABA

Sebaliknya, yang lebih penting ialah bagaimana masyarakat belajar menghargai sesuatu dengan memahami pemikiran, proses dan disiplin di sebalik hasil yang dilihat.

Sepanjang sesi wawancara, beliau berkali-kali kembali kepada satu tema yang sama: penghargaan.

“Masyarakat hari ini terlalu cepat membuat penilaian berdasarkan hasil yang dilihat tanpa memahami proses yang dilalui.

Beliau memberikan contoh bola sepak.

“Orang tengok bola masuk gol sahaja.

“Tetapi mereka tidak faham bagaimana gol itu dihasilkan, bagaimana permainannya, bagaimana strateginya.” Ujarnya.

“Begitu juga dengan dunia seni.

“Karya tembikar tidak wajar dinilai pada rupa semata-mata, tetapi juga pada bahan, teknik, pemikiran dan pengalaman untuk menghasilkannya,” katanya.

Falsafah itu yang ditekankan Dr Iskandar dalam kehidupannya sendiri.

Menyentuh tentang seni tembikarnya, Dr Iskandar berkata beliau memilih untuk menggunakan tanah liat mentah yang diproses sendiri berbanding tanah liat komersial yang lebih mudah digunakan.

Baginya, bahan itu sendiri mempunyai cerita dan jiwa yang perlu dihormati.

Karya-karyanya yang kini menghiasi muzium dan koleksi peribadi di seluruh dunia juga lahir daripada disiplin yang dibentuk sejak menjalani latihan di Tajimi, Jepun, sedikit masa dahulu.

Menurut beliau, puluhan tembikar yang dihasilkannya setiap minggu pernah dipecahkan oleh guru sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.

“Pengalaman itu membentuk pandangan saya bahawa kemahiran bukan sekadar menghasilkan sesuatu objek, tetapi turut membentuk cara seseorang berfikir,” tambahnya.

Semangat itu juga menyebabkan beliau menolak sikap mudah berputus asa.

“Saya tak pernah ‘give up’. Saya sentiasa lawan,” katanya apabila ditanya sama ada pernah terfikir untuk meninggalkan bidang seni tembikar.

Menyentuh tentang generasi muda Melayu, Dr Iskandar berpendapat mereka perlu sentiasa membandingkan pencapaian dengan masyarakat lain supaya tidak ketinggalan.

Namun, perbandingan itu perlu dilakukan mengikut kemampuan dan bakat diri sendiri, katanya.

Dalam aspek agama pula, beliau berharap masyarakat tidak hanya menumpukan kepada aspek ibadah semata-mata, tetapi turut memelihara warisan ilmu seperti tulisan Jawi yang disifatkannya semakin kurang dikuasai generasi muda.

Apabila ditanya tentang harapannya terhadap bidang kesenian Singapura, beliau mengingatkan agar masyarakat tidak terlalu ghairah meniru apa yang dilakukan negara lain.

“Apa yang berlaku di Amerika, apa yang berlaku di Jepun, kita nak tiru macam mana? Mereka lain, kita lain,” katanya.

Sebaliknya, beliau percaya Singapura perlu mempunyai pendirian dan identitinya sendiri dalam berkarya.

Meskipun sudah menghabiskan lebih enam dekad menghasilkan karya tembikar, Dr Iskandar berkata falsafahnya tetap sama.

“Yang pasti penghargaan perlu diberi terhadap proses untuk mendapatkan hasil yang diingini daripada kerja yang dilakukan, tidak kira apa jua sektor yang diceburi,” kata beliau.

Senarai penuh penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2026 boleh diperoleh di https://www.pmo.gov.sg/national-awards.