Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harapan ‘Wan Jerung’ agar dikir barat jadi penyebar budaya, pemikiran dan jati diri Melayu

Safuan Maswan dari Makyong Kedek labuh tirai persembahan di pentas lepas raih tiga anugerah Tukang Karut Terbaik, pertama dalam sejarah dikir setempat
Dec 26, 2025 | 3:10 PM
Encik Safuan Maswan, atau lebih dikenali sebagai Wan Jerung, dinobatkan sebagai Tukang Karut Terbaik pada 2016 dan 2019. Kejayaan yang sama pada 2025 menjadikan beliau satu-satunya Tukang Karut di Singapura yang merangkul anugerah tersebut sebanyak tiga kali.
Encik Safuan Maswan, atau lebih dikenali sebagai Wan Jerung, dinobatkan sebagai Tukang Karut Terbaik pada 2016 dan 2019. Kejayaan yang sama pada 2025 menjadikan beliau satu-satunya Tukang Karut di Singapura yang merangkul anugerah tersebut sebanyak tiga kali. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Apabila tirai Peringkat Akhir Mega Perdana 2025 dilabuhkan, bahang kehangatannya masih terasa dalam kalangan masyarakat pendikir di Singapura.

Kembalinya pertandingan ini selepas enam tahun menyepi bukan sahaja menyemarakkan semula pentas dikir barat, malah menghidupkan perbincangan tentang peranan seni ini sebagai cerminan budaya dan pemikiran masyarakat.

Dalam sesebuah persembahan dikir barat, kekuatan tidak hanya terletak pada alunan lagu atau rentak paluan, tetapi pada mesej yang disampaikan.

Di sinilah peranan Tukang Karut menjadi tunjang utama – sebagai penyampai cerita, pemegang inti pati persembahan dan suara yang menjambatani seni dengan realiti masyarakat.

Tahun ini (2025), Mega Perdana mencatat satu lagi sejarah apabila Encik Safuan Maswan, atau lebih dikenali sebagai Wan Jerung, dinobatkan sebagai Tukang Karut Terbaik buat kali ketiga berturut-turut, selepas kejayaan yang diraih pada 2016 dan 2019.

Kemenangan ini menjadikan beliau satu-satunya Tukang Karut di Singapura yang merangkul anugerah tersebut sebanyak tiga kali.

Bagi Encik Safuan, 35 tahun, daripada kumpulan Makyong Kedek, pencapaian ini bukan hasil kebetulan.

Lebih 15 tahun beliau menempuh latihan, pengalaman dan proses pembelajaran yang panjang untuk memantapkan dirinya sebagai Tukang Karut.

Berkongsi ‘rahsianya’, beliau berkata: “Antara asas terpenting bagi Tukang Karut ini ialah keberanian dan keupayaan berkarut secara spontan, yang menuntut penguasaan bahasa serta kefahaman mendalam terhadap tema dan mesej.”

Namun, beliau menegaskan bahawa bahasa sahaja tidak mencukupi tanpa intonasi yang tepat. Cara sesuatu perkataan dilafazkan boleh menentukan sama ada mesej itu difahami atau sebaliknya.

Pengalaman beliau menimba ilmu di Kelantan pada 2012 menjadi antara titik perubahan penting.

Sepanjang hampir sebulan di sana, Encik Safuan memerhati dan belajar daripada tokoh-tokoh dikir barat tempatan. Mengimbas kembali pengalaman itu, beliau, seorang teknisyen dan sudah berumahtangga, berkata:

“Semasa saya berada di Kelantan, ada seorang tokoh yang berpendapat bahawa tukang karut di Singapura itu lebih kepada bernyanyi dan bukan berbual seperti dalam segmen Karut Kelantan untuk menyampaikan mesej.”

Menurut beliau, perbezaan ini berpunca daripada gaya pertuturan masyarakat Kelantan yang secara semula jadi sudah berlagu dalam percakapan seharian.

Kesedaran itu membuka matanya tentang keperluan menyesuaikan persembahan dengan konteks tempatan.

“Apabila saya berkarut spontan ataupun menyampaikan lirik yang dihafal, saya cuba sesuaikan lenggok penyampaian saya kepada gaya percakapan masyarakat di Singapura,” ujar beliau.

“Dengan gaya sebegini, penonton lebih mudah rasa dekat dan faham apa yang ingin disampaikan.”

Pendekatan itu kini menjadi kekuatan Encik Safuan.

Setiap persembahan dirancang dengan rapi – bermula dengan perbincangan bersama penulis lirik, disusuli ‘homework’ (tugasan) peribadi untuk memahami tema dan mencadangkan gaya penyampaian.

Malah, beliau akan menguji penyampaiannya kepada rakan sekumpulan sebelum persembahan penuh, bagi memastikan mesej yang dibawa jelas dari sudut pandang penonton.

Encik Safuan Maswan menerima anugerahnya di Mega Perdana 2025. Mesej yang dibawanya di pentas Mega Perdana mencerminkan keprihatinan terhadap isu masyarakat – daripada kepentingan bahasa dalam interaksi sesama manusia, keperluan mengawal sifat amarah, hingga kepada usaha menangkis stereotaip terhadap masyarakat Melayu.
Encik Safuan Maswan menerima anugerahnya di Mega Perdana 2025. Mesej yang dibawanya di pentas Mega Perdana mencerminkan keprihatinan terhadap isu masyarakat – daripada kepentingan bahasa dalam interaksi sesama manusia, keperluan mengawal sifat amarah, hingga kepada usaha menangkis stereotaip terhadap masyarakat Melayu. - Foto GABUNGAN DIKIR BARAT SINGAPURA

Selain lirik dan penyampaian, pemilihan melodi turut diberi perhatian.

Bagi Encik Safuan, lagu bukan sekadar iringan, tetapi alat penting untuk mendukung isi.

Lagu penutup khususnya dianggap elemen yang signifikan kerana sering merumuskan mesej teras persembahan – sama ada sebagai penegasan, permohonan maaf atau pernyataan perdamaian.

Dalam tiga persembahan kemenangan beliau, Encik Safuan telah mendendangkan lagu penutup berirama Wau Bulan, Tok Naneng dan Kasih Dewa.

Lebih daripada sekadar pertandingan, Encik Safuan melihat dikir barat sebagai wadah seni yang berpaksikan masyarakat.

Seorang Tukang Karut, katanya, memikul tanggungjawab menyampaikan panduan moral dan pemikiran yang relevan, namun dalam bentuk yang menghiburkan dan mudah diterima.

Mesej yang dibawanya di pentas Mega Perdana juga mencerminkan keprihatinan terhadap isu masyarakat – daripada kepentingan bahasa dalam interaksi sesama manusia, keperluan mengawal sifat amarah, hingga kepada usaha menangkis stereotaip terhadap masyarakat Melayu.

Walaupun Mega Perdana 2025 menandakan penampilan terakhir beliau sebagai Tukang Karut di pentas pertandingan, Encik Safuan berharap generasi baru tidak sekadar mengejar kemenangan dan anugerah.

“Saya harap mereka akan digalakkan untuk terus relevan dengan kembali berpaksikan kepada masyarakat, kerana di situlah terletaknya nilai sebenar seni dikir barat – sebagai penyebar budaya, pemikiran dan jati diri,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg