Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putri Emily mekar sebagai Tok Juara dikir barat Seri Thera

Finalis ‘Juara Mic Junior’ bina kerjaya nyanyian dengan irama tradisional
Nov 24, 2025 | 5:30 AM
Putri Emily, Juara Mic Junior, Seri Thera, dikir barat, Piala Suara Serumpun
Bakat muda, Putri Emily Joehaidi, tidak menyangka bakal cemerlang sebagai Tok Juara dalam seni dikir barat bersama kumpulan, Seri Thera, dari Politeknik Singapura (SP). Sebelum ini, beliau sering membuat persembahan menyanyikan lagu irama tradisional di pelbagai acara budaya. - Foto ihsan PUTRI EMILY JOEHAIDI

Apabila memasuki tahun pertama di Politeknik Singapura (SP), bakat muda, Putri Emily, menyangka dirinya akan meneruskan minat dalam tarian Melayu sebagai kegiatan kokurikulum (CCA).

Tarian Melayu merupakan CCA Putri, atau nama sebenarnya, Putri Emily Joehaidi, sejak dari sekolah rendah. 

Namun, dengan dorongan keluarganya untuk mencuba sesuatu yang baru, Putri memilih menyertai kumpulan dikir barat perempuan, Seri Thera, di SP. 

“Apabila saya menghadiri sesi orientasi dikir barat, saya berhasrat untuk menjadi salah seorang awak-awak.

“Namun, ada daripada pelajar dan tenaga pelatih yang mengingati saya daripada pertandingan nyanyian, Juara Mic Junior (JMJ), yang saya sertai pada 2017. 

“Dari situ, saya seperti sudah ditakdirkan untuk menjadi Tok Juara,” kongsi Putri, 18 tahun, yang merupakan pelajar tahun kedua Diploma Media, Seni dan Reka Bentuk (Bunyi & Muzik). 

Tok Juara merupakan individu yang memulakan persembahan dikir barat dengan nyanyian manakala awak-awak merupakan anggota kumpulan yang mengiringi persembahan dengan nyanyian latar sambil mengikut ragam persembahan. 

Berkat kerja keras dan kesungguhannya, Putri berjaya mengekalkan takhtanya sebagai Juara Terbaik (Wanita) dalam pertandingan dikir barat antara institusi pengajian tinggi, Piala Suara Serumpun (PSS) 2025, yang diadakan pada 12 Oktober di Teater Mediacorp. 

Kali pertama beliau memenangi anugerah itu adalah pada PSS 2024. 

Namun, kemenangan kali ini lebih bermakna buat Putri kerana kumpulan Seri Thera turut berjaya merebut gelaran Johan (Wanita) dan Johan Keseluruhan PSS 2025. 

“Alhamdulillah, kami berjaya memenangi PSS. Tentu sekali latihannya mencabar dan saingannya amat sengit.

“Namun, saya berasa yakin apabila melihat persembahan Seri Thera kerana ragam dan paluan kami lebih bertenaga kali ini,” cerita Putri yang ditemui Berita Harian (BH) di acara Singapura LIVE! 4.0 Plus. 

Selain sibuk dengan dikir barat, Putri turut mempunyai minat mendalam bagi lagu irama tradisional Melayu. 

Baru-baru ini, beliau merupakan antara penyanyi tempatan yang diundang untuk membuat persembahan bagi salah satu episod rancangan hiburan, Singapura LIVE! 4.0, yang mengetengahkan irama tradisional. 

Episod yang diberi nama, Klasik Drip, melihat Putri bergandingan dengan penyanyi berpengalaman, Elfee Ismail, bagi lagu Gurindam Jiwa (nyanyian asal R Ismail dan Rafeah Buang). 

Ditanya mengenai pengalamannya, Putri berkata beliau sangat berbesar hati dipilih untuk menyanyikan lagu ikonik tersebut. 

“Saya rasa peluang sebegini amat baik supaya orang ramai dapat mendengar kebolehan penyanyi muda menyanyikan lagu irama tradisional,” kongsi Putri yang turut tampil dalam acara luar studio, Singapura LIVE! 4.0 Plus, pada 1 November lalu, di Serambi Kampong Gelam yang terletak di Sultan Gate. 

Mengulas mengenai minatnya dalam irama tradisional, Putri berkata beliau bermula dengan menyanyikan lagu, Nirmala (nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza), ketika berusia lapan tahun untuk satu pertandingan karaoke. 

“Saya memang suka dengan irama lagu Melayu tradisional kerana ia amat menyeronokkan, di mana saya boleh menari sambil membuat persembahan. 

“Saya rasa anak muda kini kurang mengenali irama tradisional seperti joget, asli dan banyak lagi. 

“Mereka perlu mendapat pendedahan untuk mempelajari mengenai muzik budaya kita,” jelasnya. 

Putri yang menerima undangan menyanyi di pelbagai acara lain menitikberatkan disiplin dalam dirinya agar beliau boleh membuat yang terbaik bagi setiap persembahan. 

“Saya sering menghabiskan masa perjalanan ke sekolah dengan mendengar lagu-lagu yang saya akan nyanyikan. 

“Saya tidak boleh menghafal lirik lagu pada saat-saat akhir kerana tidak mahu berhadapan dengan situasi yang kecoh,” ceritanya sambil tersenyum. 

Selain mengimbangi masa antara sekolah dengan persembahan nyanyian, Putri turut sibuk menguruskan perniagaan seni karikatur yang dimulakan sejak 2024. 

“Pada mulanya, saya bermula dengan lukisan realistik, namun ia tidak mendapat sambutan.

“Alhamdulillah, kini lebih ramai tertarik dengan seni karikatur yang saya hasilkan. 

“Ia sebenarnya bermula sebagai satu hobi sampingan untuk meraih sedikit pendapatan kerana saya tidak bekerja semasa cuti semester,” tambah Putri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg