Bagi Nur Munawwarah Rohaizad, 13 tahun, mempelajari tarian Melayu setiap hujung minggu bukan sekadar hobi.
Malah, ia telah menjadi satu cara untuknya mendekati akar budaya sendiri, sambil mengeratkan silaturahim dengan rakan baru.
Minat anak muda itu, yang lebih mesra dikenali sebagai Muna, terhadap tarian Melayu berputik sejak di tadika lagi apabila ibunya mendaftarkannya ke kelas tarian di Kelab Masyarakat Punggol.
Dia kemudian didorong oleh ibu kepada temannya di tadika untuk menyertai salah satu kumpulan tarian Melayu tertua di Singapura, Sriwana, pada 2017 ketika berusia lima tahun.
“Semakin usia saya meningkat, saya dapat mempelajari lebih banyak mengenai tarian Melayu.
“Apa yang membuat saya berminat dengan seni ini adalah saya dapat memaparkan keindahan seni tarian ini, yang mana saya boleh mengekspresikan emosi melalui pergerakan,” jelasnya, kini merupakan pelajar Menengah 1 di Sekolah Menengah Serangoon Garden.
Bagi Muna, tarian Melayu membolehkannya untuk mendekati budaya Melayu bukan sahaja menerusi apa yang dilihatnya, bahkan mengalaminya sendiri melalui pakaian yang dikenakan semasa membuat persembahan serta muzik dan pergerakan yang berkaitan.
“Dengan melibatkan diri dalam tarian Melayu, ia membangkitkan rasa bangga dalam diri saya dan ia membuat saya lebih menghargai seni ini,” tambahnya.
Sejak kebelakangan ini, beberapa kumpulan seni Melayu di sini akur kesukaran yang dihadapi untuk menarik minat penggiat muda menyertai mereka.
Faktor seperti keutamaan terhadap kegiatan berasaskan insentif, ekonomi gig, pilihan hiburan moden serta kurang minat dalam budaya sendiri menyumbang kepada penurunan penyertaan anak muda.
Justeru, kumpulan seni tersebut memberitahu Berita Minggu (BM) bahawa mereka perlu menyesuaikan persembahan dan penampilan masing-masing agar lebih relevan dengan zaman.
Presiden Sriwana, Cik Fauziah Hanom Yusuf, berkata pihaknya sentiasa berusaha memastikan seni tarian Melayu kekal dekat di hati generasi muda.
Menurutnya, terdapat kira-kira 40 anggota berusia antara 13 dengan 45 tahun yang aktif dalam kumpulannya setakat ini.
Walaupun kumpulannya tidak membuat banyak perubahan atau adaptasi demi mengekalkan seni tarian, namun beliau akur ia perlu dilakukan bagi menarik minat anak muda.
“Apa yang kumpulan kami lakukan ialah menggunakan lagu tradisional yang diberi sentuhan moden sebagai lagu latar kepada tarian tradisional, seperti lagu Tari Tualang Tiga dendangan Dayang Nurfaizah.
“Dengan cara ini, kami dapat mengekalkan ragam tradisional dengan sentuhan moden dari segi muzik,” jelas Cik Fauziah.
Menurut ahli jawatankuasa Persatuan Hadrah dan Kompang Singapura (Pehaks), Encik Muhammad Shahid Haron, beberapa kumpulan hadrah dan kompang giat bereksperimen dengan pelbagai pendekatan bagi menarik minat golongan muda.
Beliau berkata, antara usaha yang dijalankan termasuk menggabungkan unsur budaya Barat seperti muzik hip-hop dengan paluan hadrah.
Encik Shahid, juga bekas pengurus kumpulan Firqatul Wannazam 1921 sebelum menubuhkan kumpulan hadrah, Wauu, pada 2023.
Menurutnya, Firqatul Wannazam 1921 pernah mempersembahkan gabungan irama hip-hop dan hadrah dalam persembahan berjudul CakTungTang! pada 2017.
Selain itu, kumpulan kompang Ukiran Rentak juga pernah tampil dengan kostum berinspirasikan budaya Afrika semasa satu pertandingan kompang yang dipanggil Piala Hayunan Irama Kompang 2025.
Mereka berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan itu yang diadakan di Politeknik Ngee Ann pada 29 Jun.
“Pendekatan ini semata-mata untuk tarik perhatian anak muda yang mungkin lebih terdedah dan cenderung pada muzik budaya lain.
“Sebaik sahaja usaha menarik minat mereka, kami juga cuba ‘kembalikan’ mereka pada asas dan sejarah seni.
“Kita boleh bereksperimen, tapi asas seni jangan diabaikan. Tak ada akar, tak ada pokok,” tegasnya.
Tambahnya, usaha sedemikian bukan bertujuan mengubah identiti hadrah dan kompang, tetapi untuk menunjukkan bahawa seni Melayu juga boleh berkembang seiring dengan masa tanpa kehilangan jati dirinya.
Ketua kumpulan dikir barat Andika Kencana, Encik Mohammad Soffian Haron, pula berkata beliau akan cuba menggabungkan lirik dikir barat tradisional dengan lirik lagu yang sedang tular dan ‘trending’ di media sosial apabila melatih kumpulan dikir barat di sekolah-sekolah.
“Melalui cara inilah kami akan mendapatkan perhatian daripada anak muda ini kerana minat mereka kini berbeza,” katanya.
Selaras dengan pendekatan itu, kumpulan irama tradisional, Orkestra Sri Temasek (OrST), menyuntik sentuhan moden dalam karya muzik mereka dengan menggabungkan muzik klasik Barat dengan tradisional Melayu.
Menurut pengasas bersama dan pengarah muzik OrST, Encik Megat Muhammad Firdaus Mohd, antaranya ialah gabungan lagu Symphony No. 5 oleh Beethoven dan Joget Hitam Manis yang dipersembahkan di Esplanade Outdoor Theatre pada 2020.
Selain itu, Encik Megat juga pernah membuat persembahan sambil berpakaian tuksedo yang diperbuat daripada kain songket.
Pengasas bersama OrST, Encik Hanafi Idrus, yang mesra dengan panggilan Afi Hanafi, turut melakukan sama semasa konsert bersama Encik Megat dan penyanyi Hong Kong, Adia Chan, pada Julai 2024.
“Ini semua demi jadikan muzik tradisional Melayu lebih menarik, terutamanya kepada generasi muda yang gemarkan kerencaman dalam muzik.
“Tapi ada risikonya juga. Jika kami teruskan sentuhan moden ini, ada kemungkinan orang ramai akan lupa asas muzik Melayu.
“Kami lakukannya untuk tarik minat orang kembali ke rentak asas Melayu dan kekalkan asas muzik Melayu,” akui Encik Megat, menekankan pentingnya keseimbangan.
Encik Soffian berkata antara cabaran yang dihadapi kumpulannya adalah kurangnya program kesenian yang mendedahkan seni tersebut kepada lebih ramai anak muda.
“Berbanding kumpulan seni lain seperti tarian Melayu, misalnya, tidak banyak acara yang diadakan untuk menonjolkan seni dikir barat kepada orang ramai.
“Tetapi baru-baru ini, Festival Dikir Barat yang berlangsung telah membantu mendidik orang ramai mengenai seni tradisional ini dengan adanya acara dialog dengan barisan panelis yang pakar dalam bidang ini,” jelas Encik Soffian.
Namun, bagi seni seperti hadrah dan kompang, cabarannya lebih ketara.
Menurut Encik Shahid, kini hanya terdapat lima kumpulan hadrah yang aktif di Singapura, berbanding 50 hingga 60 kumpulan kompang.
“Tak ramai anak muda dalam hadrah. Susah nak tarik minat mereka. Sekarang ramai yang ikut ekonomi gig, lebih utamakan duit daripada minat,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan belia mahukan ganjaran segera, dan tidak lagi melihat seni sebagai satu kecintaan atau perjuangan budaya.
Tambahnya, setiap kumpulan kompang secara purata membayar $50 untuk setiap anggotanya bagi satu majlis atau persembahan.
“Kalau ada 10 orang, dah cecah $500... dan ini belum termasuk kos pengangkutan. Selain itu, takkan kita tak nak ‘makan untung’ sikit untuk penyelenggaraan pakaian dan peralatan.
“Hakikatnya, kita perlu duit untuk terus menghidupkan seni,” kongsi Encik Shahid.
Encik Megat pula berpendapat bahawa sokongan terhadap seni Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri semakin berkurangan.
Beliau berharap lebih ramai orang Melayu akan tampil menyokong dan menonton persembahan seni Melayu walaupun ia tidak menampilkan selebriti terkenal.
“Kalau ada konsert yang menampilkan artis Malaysia atau Singapura, dewan konsert pasti penuh... walaupun harga tiket mencecah lebih $300, masih ada yang sanggup beli.
“Tapi untuk konsert budaya Melayu yang menampilkan muzik atau tarian tradisional, walaupun tiket berharga $5 atau percuma, dewan tetap sukar dipenuhi.
“Sebagai contoh, bila kami buat persembahan di Esplanade, ramai penonton yang menyaksikannya terdiri daripada warga asing yang pelbagai bangsa. Bilangan penonton Melayu boleh dikira dengan jari,” luah Encik Megat.
Cik Fauziah turut menyuarakan sentimen yang serupa.
Menurut beliau, kumpulannya adakalanya terpaksa menurunkan harga tiket bagi persembahan mereka untuk menarik lebih ramai penonton. Meskipun begitu, usaha tersebut tidak selalunya berjaya.
“Pada pendapat saya, agak sukar bagi orang kita untuk memberi sokongan kepada acara dan program seni dan kebudayaan Melayu.
“Walaupun tiket kami dijual pada harga kurang daripada $50, ia dianggap mahal dan tidak ramai yang akan membelinya. Jadi adakalanya kami terpaksa menjualnya pada harga diskaun menjelang tarikh persembahan.
“Pun begitu, ia tidak bermakna kami dapat menjual kesemua tiket yang dikeluarkan,” katanya.
Encik Hanafi, yang juga pengasas kumpulan persembahan syair Melayu klasik, Syairpura, berkata perlu ada lebih banyak kumpulan seni di Singapura untuk menarik perhatian anak muda.
Bagi beliau, tempoh lima hingga 10 tahun akan datang adalah masa untuk meletakkan asas kewujudan kumpulan seperti ini di Singapura.
Kegiatan seperti persembahan di sekolah dan jemputan ke luar negara menjadi cara untuk menunjukkan bahawa seni Melayu benar-benar wujud dan mempunyai tempatnya.
“Bagi saya dan Megat, apa yang kami lakukan sekarang bukanlah untuk segera mendapat perhatian atau meningkatkan penyertaan anak muda.
“Kami tidak fikir begitu, kerana kami faham bahawa ia mengambil masa untuk masyarakat benar-benar memahami kewujudan seni ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg