Para pelajar Institusi Rendah St. Joseph dan Sekolah Menengah Yusof Ishak muncul juara pertandingan Katapella 2026 (gabungan nyanyian harmoni dan koreografi tersusun) dalam bahasa Melayu.

Pertandingan Katapella 2026 yang dibuka kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah anjuran bersama Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan Mediacorp itu bertujuan memupuk penghayatan yang lebih mendalam terhadap bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan pelajar, melangkaui pembelajaran di bilik darjah.

Sebanyak 50 sekolah rendah dan menengah menyertai pertandingan yang disiarkan di televisyen pada 14 dan 21 Ogos.

Katapella mula diperkenalkan pada 2023 sebagai pertandingan sekolah rendah yang dikenali sebagai ‘Bicara Berirama’.

Ia kemudian diperluaskan kepada penyertaan sekolah menengah pada 2024, sebelum dijenamakan semula sebagai Katapella, pertandingan peringkat nasional yang disiarkan di televisyen, pada 2025.

Ia terbuka kepada murid Darjah 3 hingga 5 bagi kategori sekolah rendah; serta pelajar Menengah 1 hingga 3 bagi kategori sekolah menengah.

Setiap pasukan terdiri daripada 14 hingga 16 peserta, dengan setiap sekolah turut dibenarkan mendaftarkan dua pelajar simpanan – tidak termasuk dalam jumlah peserta utama.

Berita Harian (BH) cuba mendapatkan komen daripada Institusi Rendah St. Joseph dan Sekolah Menengah Yusof Ishak menerusi Kementerian Pendidikan (MOE) namun masih belum menerima respons.

Pertandingan itu berlangsung dalam dua peringkat.

Pada peringkat saringan, setiap pasukan perlu menghantar rakaman persembahan sepanjang tidak lebih seminit.

Pasukan yang berjaya ke peringkat akhir pula membuat persembahan secara langsung selama tidak lebih lima minit di hadapan penonton di studio Mediacorp.

Bagi kategori sekolah rendah, peserta menyampaikan bacaan koral bertema, ‘Bagai Aur dengan Tebing’, yang membawa maksud saling membantu dan bekerjasama antara satu sama lain.

Kategori sekolah menengah pula menyampaikan bacaan koral bertema, ‘Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih’, yang menggambarkan semangat bersatu padu dalam segala hal.

Institusi Rendah St. Joseph dinobatkan sebagai juara ‘Katapella 2026’ bagi kategori sekolah rendah.
Institusi Rendah St. Joseph dinobatkan sebagai juara ‘Katapella 2026’ bagi kategori sekolah rendah. - Foto BERITA MEDIACORP

Menerusi persembahan secara berkumpulan, para pelajar mengetengahkan keupayaan berbahasa serta daya kreativiti mereka dalam bahasa Melayu.

Bagi kategori sekolah rendah, Institusi Rendah St. Joseph dinobatkan sebagai juara, diikuti Sekolah Rendah Seng Kang sebagai naib juara pertama dan Sekolah Rendah Punggol View sebagai naib juara kedua.

Sekolah Rendah Xishan, Sekolah Rendah Xingnan dan Sekolah Rendah Radin Mas pula menerima hadiah sagu hati.

Dalam kategori sekolah menengah, Sekolah Menengah Yusof Ishak muncul juara, manakala Sekolah Menengah Ang Mo Kio dan Sekolah Menengah Yuhua masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Sekolah Menengah Greendale, Sekolah Menengah Yio Chu Kang dan Sekolah Menengah Changkat Changi menerima hadiah sagu hati.

Setiap pasukan yang menang menerima piala dan baucar buku.

Menurut kenyataan MOE, program itu bermula sejak penubuhan MLLPC pada Februari 2006, apabila MOE menubuhkan jawatankuasa itu pada 2006 bagi menghimpunkan sekolah, pemimpin masyarakat, pertubuhan Melayu, media dan badan karyawan dalam usaha menggalakkan pembelajaran bahasa, sastera dan budaya Melayu di luar bilik darjah.

Kini dipengerusikan oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, MLLPC giat menganjurkan pelbagai kegiatan interaktif bagi menyemai minat serta memupuk penghargaan berterusan terhadap bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan pelajar.