Baru sembilan bulan membuka pintunya, Pomegranate sudah bersedia memasuki lembaran baharu.

Kafe dan bistro halal di Duo Galleria yang pada awalnya dikenali dengan sajian minum petang, pastri dan sarapan itu kini mahu menawarkan pengalaman menjamu selera yang lebih menyeluruh, selepas mengambil kira maklum balas dan jangkaan pelanggan.

Menurut pengasas Pomegranate, Cik Najihah Salim, perubahan itu lahir daripada kesediaan perniagaan untuk menilai semula konsep asal dan menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran.

“Pada awalnya, kami bermula sebagai kafe dan bistro dengan tumpuan kepada afternoon tea (minum petang), pencuci mulut dan sarapan, dengan sedikit menu makan tengah hari.

“Tetapi daripada maklum balas yang diterima, kami dapati ramai yang datang dengan tanggapan bahawa kami sebuah restoran.

“Jadi, kami juga dinilai berdasarkan standard dan jangkaan yang lazimnya dikenakan terhadap sesebuah restoran,” katanya.

Daripada mempertahankan konsep asal, Pomegranate, memilih untuk berubah.

Ia kini bergerak secara berperingkat ke arah konsep restoran dengan sajian lebih sofistikated, tanpa meninggalkan sepenuhnya identiti asal yang dibina sejak dibuka pada November 2025.

Pomegranate merupakan lanjutan perjalanan The Wonderment Collective (TWC), yang bermula sejak 2004 dalam industri perkahwinan.

Ketika itu, syarikat yang dikenali sebagai The Wedding Chateau, menumpukan kepada bidang penganjuran majlis, rekaan berkat atau ‘doorgift’, serta makanan seperti makaron dan kek bertingkat.

Bagi Cik Najihah, keupayaan untuk membuat perubahan penting dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang sentiasa berubah.

“Kami mahu menunjukkan kepelbagaian kami dan bagaimana, sebagai sebuah perniagaan F&B, kami perlu kekal relevan dan dinamik untuk berubah apabila diperlukan,” katanya.

Membantu mengemudi arah baharu itu ialah Cef Nazrin Shah, yang tampil sebagai perunding bagi pembangunan menu dan hala tuju makanan Pomegranate.

Berbekalkan sekitar 15 tahun pengalaman, Cef Nazrin pernah menimba pengalaman di beberapa restoran terkenal termasuk Candlenut, Burnt Ends, The Coconut Club, Restaurant Fiz dan ASAP & Co.

Beliau melihat potensi untuk meningkatkan lagi mutu sajian Pomegranate sambil memastikan makanan kekal mudah didekati pelanggan.

“Bagi saya, ini satu lagi perniagaan milik Islam yang boleh kita tingkatkan dari segi apa yang dihasilkan dan dipersembahkan kepada pelanggan.

“Visinya adalah untuk memperhalusi mutu makanan.

“Walaupun kami perniagaan milik Islam, kami masih boleh menghasilkan makanan yang hebat dan memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Antara hidangan baharu yang diperkenalkan ialah Caprese Burrata Salad, menggabungkan tomato heirloom, keju burrata dan pesto selasih serta pudina dengan balsamic glaze, atau sos cuka yang pekat dan manis.

Bagi sajian pasta, Vongole Linguine menampilkan kepah bersama herba dan keju Grana Padano.

Turut menyerlah ialah Duck à l’Orange, menggunakan dada itik Ireland yang dipadankan dengan sos oren dan puri bunga kubis.

Pengalaman itu diakhiri dengan pencuci mulut Chocolate Mousse, yang disajikan di meja bersama karamel balsamic, minyak zaitun dan krim Chantilly berperisa oren.

Cef Nazrin menggambarkan pendekatan baharu itu sebagai makanan yang “bersih dan segar”, tetapi menggunakan teknik serta persembahan yang dipertingkat.

Cabaran utama, katanya, bukan sekadar menghasilkan hidangan baharu malah, membimbing pasukan dapur mempelajari teknik dan kaedah berbeza supaya mutu dapat dikekalkan.

Namun, beliau tidak mahu perubahan itu menjadikan Pomegranate terlalu eksklusif.

“Pastikan menu kekal berpatutan, ringkas dan tidak terlalu rumit,” katanya.

Pomegranate turut merancang memperluaskan pengalaman restorannya secara bertahap, termasuk memperkenalkan khidmat makan malam dan pengalaman jamuan privet dalam beberapa bulan mendatang.

Bagi Cik Najihah, perubahan tersebut bukan bermakna meninggalkan identiti Pomegranate, sebaliknya mengembangkannya, daripada sebuah kafe yang dikenali dengan minum petang kepada ruang makan yang mampu menawarkan lebih banyak pengalaman kepada pelanggan.

Pomegranate
Alamat: 7 Fraser Street, #01-34/35, Duo Galleria (berdekatan Beach Road), Singapura 189356
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Khamis, 9.30 pagi hingga 6 petang; Jumaat dan Sabtu, 9.30 pagi hingga 8 malam; Ahad, 9 pagi hingga 5.30 petang

Get therelocation-icon