Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Jalan-jalan cari (makna) makan

BERSAMA
Dec 31, 2023 | 05:30 AM



Buku terkenal kisah dua kota, A Tale of Two Cities, oleh Charles Dickens dimulakan dengan petikan terkenal “Ia adalah masa yang paling buruk, ia adalah masa yang terbaik” – menggambarkan suasana yang berlawanan.


Rakyat di banyak negara, termasuk Singapura, menikmati ‘masa baik’ lagi seronok – musim cuti hujung tahun dengan ramai bercuti jalan-jalan makan angin, dan jalan-jalan cari makan.


Jauh di seberang rantau, penduduk Palestin pula meniti masa paling buruk dicengkam perang.

Seluruh 2.3 juta penduduk Gaza berdepan dengan masalah makanan – krisis kelaparan dan risiko kebuluran – krisis makanan serius, terbesar pernah direkodkan di seluruh dunia, menurut laporan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).

Dua suasana bertentangan – satu mungkin tergolong dalam ungkapan ‘hidup untuk makan’ dan satu lagi sekadar ‘makan untuk hidup’.


Soal makan memang penting dan menarik.


Dalam perbendaharaan bahasa Melayu, perkataan makan dibentangkan dengan begitu meluas, merujuk kepada kedua-dua makan yang berkaitan dengan makanan, dan makan yang bukan makanan.


BAHASA MAKAN

Satu daripada definisi makan ialah memasukkan dan menelan makanan – sama ada mengunyah (seperti makan nasi); atau telan tanpa kunyah (seperti makan ubat).


Makan malam dan makan siang ialah makan pada waktu malam atau pada siang hari; makan sahur ialah makan sebelum masuk waktu imsak, biasanya dalam Ramadan.


Makan laut ialah makanan atau hi­dangan yang bahan utamanya ialah hidupan laut seperti ikan, sotong, udang, ketam, kerang dan sebagainya.


Makan ringan ialah makanan yang tidak begitu menge­nyangkan.


Makan segera ialah makanan yang dapat disiapkan dengan cepat dan ringkas.


Makan luar ialah makan di luar rumah, sama ada di kedai, warung, restoran.


Makan dalam bermakna meresap atau menanggung derita kerana menyimpan perasaan sehingga menimbulkan mudarat pada diri.


Namun, makan lebih daripada makan makanan.


Istilah cari makan misalnya menggambarkan usaha mencari rezeki dengan menghasilkan pendapatan dengan bekerja, menjaja atau berniaga.


Makan gaji ialah bekerja dan mendapat mendapat gaji/upah.


Makan pencen hidup dengan mendapat wang pencen atau wang persaraan daripada pemerintah selepas bersara.


Makan tidur ialah gambaran hidup dengan tidak membuat apa-apa pekerjaan.


Makan tuan menggambarkan perbuatan mengenai tuannya sendiri, seperti senjata makan tuan.


Makan masa pula bermakna mengambil masa untuk menghasilkan sesuatu – mengambil masa membina kerjaya, membangun negara; atau perjalanan Singapura ke Jeddah memakan masa sembilan jam.


Dalam keadaan tertentu, tidak makan boleh bermakna tumpul, atau tidak lut (tidak dapat melukai atau menembusi kulit); boleh juga bermakna degil atau tidak dengar kata (seperti tidak makan nasihat); tidak berfungsi dengan betul, misalnya brek tak makan bermakna brek tidak dapat menghentikan kenderaan;


Makan duit boleh bermakna menelan belanja tinggi, misalnya kereta yang kerap rosak dan perlu kerap dibaiki, atau kereta yang gunakan banyak minyak dikatakan ‘makan duit’.


Makan duit juga boleh bermakna menggunakan wang orang lain atau mengambil tanpa izin, termasuk pecah amanah/menggelapkan wang majikan untuk kegunaan atau keperluan sendiri.


Makan/dimakan boleh bermakna musnah atau rosak – misalnya pisau dimakan karat, rumah dimakan api.


Dimakan tua bermakna sudah tua.


Dalam permainan catur dan dam, dimakan atau kena makan bermakna mematikan/dimatikan.


Boleh makan boleh juga bermakna boleh mengalahkan.


Pernah ada satu ungkapan sendaan berbaur sindiran – golongan miskin memikirkan nak makan apa, sementara mereka yang kaya, gila kuasa dan suka menindas memikirkan nak makan siapa.


Salah makan ialah mengambil pemakanan yang mengakibatkan kesukaran seperti sakit perut atau gaut.


Termakan menggambarkan perbuatan tidak sengaja seperti sakit akibat termakan racun.


Namun makan atau termakan budi bermakna menerima pertolongan atau kebaikan seseorang.


Sementara termakan cakap bermakna terpengaruh atau cakap atau hujah dapat diterima.


Pemakan ialah orang yang suka atau kaki makan.


Dari segi kesihatan, jaga makan ialah mengawasi pemakanan dan tidak jaga makan ialah makan sebarangan dan berlebihan yang mempunyai implikasi pada kesihatan.


Dari segi agama, umat Islam bukan sahaja perlu makan makanan yang halal, bahkan juga baik (halalan toyyiban).


PENGGUNAAN DALAM
KONTEKS LEBIH LUAS

Jika digali lebih lanjut, penggunaan perkataan makan menjadi lebih seronok. Pelbagai ungkapan dan peribahasa memperluaskan lagi makna dan penggunaan perkataan makan. Antaranya:


Makan angin ialah bersiar-­siar untuk mendapat udara bersih, berehat-rehat dan melapangkan fikiran.


Makan angkat bermakna suka dipuji-puji.


Makan tanggung ialah gambaran hidup di bawah jagaan orang lain.


Makan rasuah atau makan suap adalah perbuatan menerima rasuah/sogokan.


Makan beradap memakan nasi adap-adap, yang biasanya disajikan kepada pengantin ketika bersanding.


Makan berdamai ialah makan bersama pertama kali bagi pe­ngantin.


Makan besar ialah jamuan makan beramai-­ramai dengan pelbagai hidangan.


Makan budi ialah menerima kebaikan atau pertolongan orang.


Makan bunga atau makan riba ialah mengambil keuntungan atau mengenakan kadar fa­edah bagi pinjaman.


Makan darah, kekadang disebut cekik darah, ialah menanggung rasa sedih, sebal hati terhadap sikap/perangai yang tidak disukai.


Makan/cekik darah boleh juga menggambarkan perbuatan mengambil untung besar daripada orang lain, seperti mengenakan harga atau bunga pinjaman sangat tinggi.


Makan hak bermakna melanggar hak orang.


Makan hati ialah dukacita/rasa kecewa yang amat sangat.


Makan hati berulam jantung menggambarkan perasaan derita kerana perbuatan orang yang menyedihkan hati.


Makan upas berulam racun menggambarkan hidup dalam kesusahan. Upas ialah racun yang berasal daripada pokok.


Makan diri ialah kesengsaraan yang dirasa kerana sebab seperti merana akibat gagal dalam percintaan.


Makan kawan bermakna menyusahkan kawan sendiri dengan menganiaya, memfitnah atau menimbulkan kesukaran ke atas kawan sen­diri.


Makan keringat ialah mengecap kesenangan dengan me­meras orang lain.


Makan sumpah (dimakan sumpah) mendapat kesusahan kerana ingkar akan sumpah.


Makan garam/banyak makan garam menggambarkan banyak peng­alaman dalam hidup.


Makan nasi dengan garam adalah gambaran sangat miskin.


Sudah makan bismillah menggambarkan keadaan terbalik, tidak ikut aturan.


Telah habis maka dimakan bermakna berjimat cermat dalam semua perkara.


Tempat makan jangan diberaki ialah nasihat supaya jangan membuat sesuatu yang tidak baik kepada orang yang pernah memberi perlindungan/pertolongan.


Harapkan pagar, pagar makan padi bermakna meletak harapan pada seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkannya.


Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menggambarkan keadaan hidup yang sukar -- kerja keras pagi petang tetapi masih kekurangan.


Langkah kaki kanan ialah sampai ke rumah orang ketika tuan rumahnya sedang makan atau baru hendak makan, sehingga diajak makan bersama-sama.


Makan nasi kawah ialah hidup memburuh; dalam peliharaan orang tua. Makan masak mentah ialah orang yang tidak menghiraukan halal atau haram.


Makan di luar berak di dalam ialah mengkhianati tempat mendapat perlindungan.


Kalau guru makan berdiri, muridnya makan berlari – perbuatan murid yang mencontohi kelakuan gurunya dalam perkara yang tidak baik (serupa guru kencing berdiri, murid kencing berlari).


Cencaru makan petang ialah pekerjaan yang lambat mendatangkan hasil yang baik.


Malu makan, perut lapar bermakna kalau segan berusaha tidak akan mendapat kemajuan (serupa malu bertanya sesat di jalan, malu berdayung perahu hanyut).


Siapa makan nangka, maka kena getahnya bermakna siapa yang bersalah, harus dihukum, atau berasa tersindir (serupa siapa makan lada, dia rasa pedasnya).


Lain orang yang makan nangka, lain orang yang kena getahnya pula bermakna orang lain yang melakukan kesalahan, orang lain pula yang dituduh.


Senjata makan tuan bermakna berbuat sesuatu dengan maksud untuk mencelakakan orang tetapi berbalik mengenai diri sendiri.


Tengah makan putus suap menggambarkan keadaan yang baru hendak berasa senang, tiba-tiba datang kesusahan lain.


Bagai tuman makan anak ialah berbuat cabul, terutama pada orang yang seharusnya mesti dilindungi.


Sudah biasa makan kerak menggambarkan sudah biasa mengalami kesukaran hidup.


Takkan harimau makan anaknya ialah kemarahan bapa terhadap anaknya tidak sampai membunuh.


Tiada sakit makan ubat bermakna menyusahkan diri sendiri.


Pandai makan, pandai simpan bermakna tahu menyimpan rahsia; sementara pandai makan tak pandai simpan bermakna tidak tahu menyimpan rahsia.


Pancing makan umpan bermakna orang yang dipercayai melakukan khianat.


Api makan sekam ialah perbuatan jahat atau rindu dendam yang tersembunyi.


Jangan diajar anak harimau makan daging bermakna jangan digembirakan anak orang yang berkuasa berbuat zalim.


Jangan diajar orang tua makan kerak bermakna jangan diajar orang yang sudah tahu.


Bagai bajak wangkang makan diangkat gambaran orang yang gemar dipuji.


Seperti anai-anai makan kayu ialah mengerjakan sesuatu pekerjaan dengan tekun dan rajin.


Tidur tak lelap, makan tak kenyang ialah gambaran orang yang bersusah hati atau berasa gelisah.


Dimakan mati emak, diluahkan mati bapa menggambarkan keadaan menghadapi sesuatu masalah yang sangat sulit, serba salah.


PANTUN

Makan juga dirakam dalam pelbagai pantun klasik. Antaranya:

Dengar cakap enggang,
makan buah beluluk;
dengar cakap orang,
terjun masuk lubuk.


Sorong papan tarik papan,
buah keranji dalam perahu;
Suruh makan kami makan,
Suruh mengaji saya tidak tahu.


Makan durian di tepi taman,
Bunga kerindu sangkut di dahan;
Makan tak sedap tidur tak nyaman,
Hatiku rindu manakan tahan.


Ayam hutan terbang ke hutan,
Hinggap di tanah mencari makan;
Hendak memikat burung di hutan,
Burung di sangkar mati tak makan.


Sagu ladang makan dek kuda,
Ramas limau dalam telaga;
Tidak padan dengan kita,
Dia emas kita tembaga.


Serikaya pulut udang,
Mari makan di tepi pangkin;
Orang kaya lagi berhutang,
Ini pula kita miskin.


Orang bersalam di dalam perahu,
Makan ubi dengan kurma;
Orang Islam hendaklah tahu,
Bilangan nabi dua puluh lima.


Hijau-hijau daun keladi,
Mari makan di pagi hari;
Hendak dikesal tak guna lagi,
Cari lain sebagai ganti.


Burung tekukur terbang menuku,
Turun makan padi di laman;
Rasa nak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.


Burung nuri si burung tiung,
Turun makan di tepi pantai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.


Pinang muda gantung di balai,
Taruh makan bulan puasa;
Orang muda jangan dilalai,
Kalau lalai rosak binasa.


Orang darat menganyam kelasah,
Buat kelarai bunga cempaka;
Makan tak kenyang mandi tak basah,
Sudahlah adat orang bercinta.


Daun mengkudu buah kandis,
Buah datang dari Daik;
Makan madu rasanya manis,
Hidup bermadu rasanya pahit.


Redup-redup palu rebana,
Raja berangkat ke Johor Lama;
Makan tak sedap tidur tak lena,
Ingatkan abang duduk di mana.


Anak Cina menjual kesuma,
Mari dijual di Pekan Rabu;
Makan tak lalu tidur tak lena,
Teringat tuan saban waktu.


Air pasang dayung sampan,
Angin turun baik layarkan;
Tahu makan tahu simpan,
Rahsia jangan tuan khabarkan.


Banyak tumbuh pohon di sini,
Encik Anjang orang berbudi;
Silalah makan hidangan ini,
Mana yang kurang jangan dikeji.


Burung merpati terbang sekawan,
Singgah hinggap di pohon sena;
Hati kita sudah tertawan,
Makan tak lalu tidur tak lena.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >