GENEVA: Penduduk Palestin di Gaza berada dalam “bahaya besar”, kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sambil memetik kebuluran teruk dan keadaan terdesak di seluruh wilayah yang masih dilanda perang.
Sejajar dengan itu, Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengambil “langkah segera untuk mengurangkan bahaya besar yang dihadapi penduduk Gaza dan menjejas keupayaan pekerja kemanusiaan untuk membantu penduduk yang cedera, kelaparan dan berisiko penyakit yang teruk”.
Dalam satu kenyataan pada 27 Disember, WHO berkata:
“Keupayaan WHO untuk membekalkan ubat-ubatan, bekalan perubatan dan bahan api kepada hospital semakin terkekang oleh masalah kelaparan dan keputusasaan orang ramai yang dalam perjalanan ke, dan di dalam hospital yang kami tuju.
Perang bermula apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober yang mengakibatkan lebih 1,400 terbunuh dan 240 orang ditahan sebagai tebusan.
Israel bertindak balas dengan melancarkan pengeboman udara dan serangan darat secara berterusan yang sehingga kini telah membunuh lebih 21,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.
“Keselamatan kakitangan kami dan kesinambungan operasi bergantung kepada lebih banyak makanan yang tiba di seluruh Gaza, kata Dr Ghebreyesus.
Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 Disember menyeru “penyaluran bantuan kemanusiaan secara selamat dan tanpa halangan” – tetapi tidak menyeru agar pertempuran segera dihentikan.
Dr Ghebreyesus berkata resolusi itu “nampaknya memberi harapan untuk penambahbaikan dalam pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza.
Pasukan WHO telah melawat dua buah hospital pada 26 Disember – Al-Shifa di utara dan hospital Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin Al-Amal di selatan – untuk menghantar bekalan dan menilai keperluan di lapangan.
Ia berkata 50,000 orang dilaporkan mencari perlindungan di Al-Shifa dan lagi 14,000 berlindung di Al-Amal.
“Di Al-Amal, rakan sekerja melihat kesan daripada serangan baru-baru ini yang melumpuhkan menara radio hospital dan menjejas sistem penghantaran ambulans pusat untuk seluruh kawasan Khan Yunis yang menjejas lebih 1.5 juta orang,” kata WHO.
Hanya lima daripada sembilan ambulansnya masih beroperasi, manakala kakitangan WHO berkata adalah “mustahil” untuk berjalan melalui hospital “tanpa melangkahi pesakit dan mereka yang mencari perlindungan”.
Menurut penilaian WHO terkini, Gaza mempunyai 13 hospital yang separuh berfungsi, dua secara minimum dan 21 yang lain tidak berfungsi sama sekali. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg