Topik diikuti
Pergi ke BHkuKarya dua penulis S’pura diiktiraf di peraduan bertema Puteri Gunung Ledang
Acara Pertandingan Menulis Puisi dan Cerpen bertema Puteri Gunung Ledang himpun sasterawan, penulis dan pencinta sastera dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei
Karya dua penulis S’pura diiktiraf di peraduan bertema Puteri Gunung Ledang
Dua penulis Singapura meraih pengiktirafan dalam Pertandingan Menulis Puisi dan Cerpen bertema Puteri Gunung Ledang yang berlangsung di Johor baru-baru ini.
Ahmad Md Tahir dinobatkan sebagai juara kategori puisi menerusi karya, Cindai Keluhuran di Puncak Ledang, manakala Pasidah Rahmat, meraih tempat keempat dalam kategori cerpen menerusi karya, Syarat Ke Tujuh.
Majlis penyampaian hadiah dan pelancaran Buku Antologi Puisi dan Cerpen Puteri Gunung Ledang Peringkat ASEAN diadakan pada 22 Ogos 2026 di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, Johor.
Acara itu menghimpunkan sasterawan, penulis dan pencinta sastera dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.
Pertandingan yang berlangsung dari 1 Februari hingga 10 Mei itu menerima penyertaan daripada 124 peserta bagi kategori puisi dan 48 peserta bagi kategori cerpen.
Angkat maruah dan kebijaksanaan puteri
Puisi, Cindai Keluhuran di Puncak Ledang, mengangkat legenda Puteri Gunung Ledang daripada penceritaan mitos konvensional kepada wacana tentang kebijaksanaan, maruah dan kebebasan menentukan nasib diri.
Karya tersebut tidak menumpukan kecantikan fizikal puteri sebagai objek yang ingin dimiliki, sebaliknya menonjolkan keluhuran peribadi, keteguhan prinsip dan keberaniannya menolak keangkuhan kuasa.
Tujuh syarat pinangan pula ditafsirkan sebagai strategi yang sarat dengan hikmah serta penegasan bahawa harga diri tidak boleh dibeli dengan harta atau kedudukan.
Melalui pendekatan itu, puteri dipaparkan sebagai lambang penentangan intelektual terhadap kuasa feudal dan patriarki yang melampau, sekali gus menjadikan legenda lama tersebut relevan dengan persoalan keadilan dan autonomi wanita masa kini.
Ahmad, yang bertugas sebagai tenaga pengajar bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) (Makmal) di Sekolah Rendah Angsana, di Tampines, merupakan seorang penulis puisi, penyair dan penulis esei.
Beliau juga anggota Kumpulan Angkatan Muda Sastera (KAMUS).
Mengulas penganjuran acara tersebut, Ahmad merakamkan penghargaan kepada Komunitas Galeri Sastera (KGS), Persatuan Penulis Johor dan seluruh rakan kerjasama atas usaha menjayakan program berkenaan.
“Inisiatif luar biasa ini bukan sahaja berjaya mengangkat martabat warisan sastera serumpun, malah menjadi jambatan kukuh yang menyatukan para penggiat dan pencinta sastera dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan penulis yang karya mereka dimuatkan dalam antologi tersebut, serta berharap usaha itu terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama melibatkan sastera serantau.
Tujuh syarat sebagai perlambangan
Sementara itu, cerpen, Syarat Ke Tujuh, menelusuri makna simbolik di sebalik tujuh syarat yang dikemukakan Puteri Gunung Ledang dalam legenda tersebut.
Cerpen itu mengajak pembaca melihat syarat berkenaan bukan sekadar permintaan mustahil, bahkan sebagai perlambangan yang mengandungi kebijaksanaan, harga diri dan kritikan terhadap keinginan manusia yang tidak mengenal batas.
Kisah ini bukan sekadar tentang lamaran seorang raja kepada seorang puteri, malah sebuah naskhah tentang bagaimana kuasa diuji oleh batas.
Di sebaliknya, dipapar negeri yang hampir tenggelam akibat kehendak yang disangka cinta, menyaksikan rakyat biasa menjadi mangsa terawal yang menanggung akibat impian orang atasan.
Melalui syarat-syarat yang kelihatan mustahil pula, seorang wanita akhirnya berjaya memaksa sebuah kerajaan mencermin wajah.
Antara ungkapan yang menjadi teras pemikiran cerpen tersebut ialah:
“Beta tidak pernah membenci baginda. Beta hanya tidak mahu dunia terus percaya bahawa setiap yang berkuasa berhak memiliki apa sahaja yang diingini.”
Penulisnya, Pasidah, ialah seorang pesara dan penulis cerpen serta puisi moden.
Beliau merupakan anggota KAMUS dan Setiausaha Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS ’50).
Beliau turut menganggotai Divisi Hubungan Masyarakat Luar Negeri/Internasional KGS.
Menurut Pasidah, pengiktirafan tersebut amat bermakna kerana beliau tidak menyangka karyanya akan meraih tempat keempat daripada 48 penyertaan cerpen.
“Alhamdulillah, tidak disangka akan mendapat tempat keempat daripada 48 penulis cerpen. Amat teruja sekali.
“Semoga apa yang hendak saya sampaikan, iaitu makna simbolik di sebalik tujuh syarat, dapat difahami ramai.
“Saya mengucapkan tahniah kepada para penganjur dan para pemenang, 10 penulis setiap kategori,” katanya.
Karya penulis Singapura turut dibuku
Selain dua penulis yang meraih pengiktirafan tersebut, beberapa penulis Singapura turut mencatat kejayaan apabila karya mereka terpilih untuk dimuatkan dalam antologi, Gelanggang Sastera 2026.
Dalam bahagian cerpen, karya Amanah Mustafi berjudul, Maruah Tercalar, Dendam Teranyam, turut dibukukan.
Bagi bahagian puisi pula, karya penulis Singapura yang dimuatkan ialah Aku Gimana, oleh Djohan A Rahman; Gemersik Dalaman Seorang Perempuan, oleh Zakiah Muhamad; dan Cinta Tak Tertakluk, oleh Siti Aisha Ahmad Yusop.
Kehadiran karya tersebut memperluas penyertaan suara penulis Singapura dalam antologi serantau yang menghimpunkan pelbagai tafsiran dan pengolahan terhadap legenda Puteri Gunung Ledang.
Antologi puisi, ‘Puteri Gunung Ledang’, menghimpunkan karya 120 penyair, sementara antologi cerpen, ‘Pesona Sang Puteri’,menghimpunkan karya 40 penulis dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.
Jambatan persahabatan empat negara
Menurut Pasidah, jaringan sastera serantau itu turut diperkukuh melalui kumpulan WhatsApp Galeria Sastra yang menggabungkan penulis dari empat negara.
“Setiap negara akan mengadakan gelanggang peraduan bertema, sama ada cerpen mahupun puisi. Gelanggang Sastera 1 mengangkat tema Puteri Gunung Ledang dalam bentuk peraduan,” katanya.
Penglibatan Pasidah dalam Divisi Hubungan Masyarakat Luar Negeri/Internasional KGS turut memperlihatkan peranan penulis Singapura dalam membina hubungan dan kerjasama sastera merentas sempadan.
Acara Gelanggang Sastera 1 menyaksikan pelancaran kedua-dua antologi tersebut, selain persembahan puisi dan monolog cerpen oleh penulis yang terlibat.
Program itu dianjurkan bersama KGS dengan kerjasama Persatun Penulis Johor (PPJ), Aradea Enterprise (AE), penerbit Pena Padu, serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia sebagai juri.
Pencapaian Ahmad dan Pasidah, seiring penyertaan karya penulis Singapura yang lain, memperlihatkan sumbangan penulis tempatan dalam memperkaya sastera Melayu serantau serta mengukuhkan hubungan kreatif antara penggiat sastera Nusantara.