Pertandingan nyanyian paduan suara untuk pelajar sekolah rendah dan menengah kembali dengan semangat yang diperbaharui dan penyertaan yang lebih meluas.
Buat julung kalinya, acara bertajuk ‘Katapella’ itu akan disiarkan di Suria pada 15 dan 22 Ogos 2025, memberi peluang istimewa untuk menyaksikan bakat muda mempamerkan kemahiran bahasa Melayu mereka dengan cara yang kreatif dan menghiburkan.
Dilancarkan pada 2023 sebagai sebahagian daripada Fiesta Bahasa, pertandingan Katapella merupakan satu inisiatif unik yang memperkenalkan pendekatan baru dalam penguasaan bahasa Melayu.
Bermula dengan penyertaan daripada hanya pelajar sekolah rendah, Katapella telah diperluas kepada pelajar sekolah menengah pada 2024.
Objektif utama pertandingan tersebut adalah untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar melalui persembahan berkumpulan.
Katapella menekankan tiga elemen penting: kemahiran lisan, pemikiran kritis, dan daya kreativiti.
Setiap persembahan Katapella menggabungkan nyanyian harmoni dan koreografi yang tersusun, membolehkan pelajar meluahkan diri mereka secara berpasukan.
Proses penyediaan persembahan membuka ruang untuk mereka meneroka pelbagai kemahiran baru seperti pengurusan masa, komunikasi dan persembahan pentas.
Selain itu, peserta diberi peluang menyertai bengkel bimbingan yang dianjurkan oleh pihak penganjur.
Bengkel terseubt bukan sahaja membantu memperkemaskan teknik dan penyampaian, malah memberi pendedahan tentang penggunaan bahasa yang lebih mantap dan berkesan.
Tahun ini, dua tema utama dipilih bersesuaian dengan tahap umur dan kurikulum pelajar.
Bagi peringkat sekolah rendah temanya ialah Persahabatan: Siapa Sahabat? yang bertujuan memupuk nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan kerjasama dalam kalangan pelajar muda.
Untuk peringkat sekolah menengah, temanya ialah Ceritera Anak Muda: Siapa Belia? yang memberi peluang kepada pelajar menyuarakan pandangan dan peranan mereka sebagai agen perubahan positif dalam masyarakat.
Menurut Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), maklum balas yang diterima sejak penganjuran Katapella amat memberangsangkan.
Guru-guru mendapati pelajar lebih bersemangat, yakin dan bekerjasama dalam kumpulan.
Pelajar pula lebih selesa menggunakan bahasa Melayu dalam konteks yang menyeronokkan dan tidak formal.
Sementara itu, ibu bapa menunjukkan sokongan padu dengan hadir memberi sorakan dan galakan semasa pusingan akhir.
Lebih membanggakan, penyertaan tahun ini meningkat dengan 776 pelajar dari 50 sekolah mengambil bahagian – bukti kejayaan dan daya tarikan Katapella sebagai wadah bahasa dan seni.
Senarai sekolah-sekolah finalis
Kategori Sekolah Rendah:
1. Sekolah Rendah Changkat
2. Sekolah Rendah Opera Estate
3. Sekolah Rendah Punggol Green
4. Sekolah Rendah Punggol View
5. Sekolah Rendah Seng Kang
6. Sekolah Rendah White Sands
Kategori Sekolah Menengah:
1. Sekolah Menengah Ang Mo Kio
2. Sekolah Menengah Changkat Changi
3. Sekolah Menengah Deyi
4. Sekolah Menengah Perempuan Cedar
5. Sekolah Menengah Yio Chu Kang
6. Sekolah Menengah Yusof Ishak
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg