Kalau pergi bawa kebaya
Bawa juga kain selendangnya
Hanya tuan di hati hamba
Ke akhir zaman buat selamanya
Kain songket diikat rapi
Dipakai bersama kebaya merah
Jika berkasih saling mengerti
Kasih sayang takkan berubah
Kebaya dipakai warnanya cantik
Anak dara ranggi berseri
Budi baik bertambah tertarik
Pandailah pula membawa diri.
Hari ini kebaya semakin mendapat sambutan, bukan saja dilihat sebagai pilihan fesyen tetapi juga dianggap sebagai warisan budaya yang dibangga sama.
Paling ketara ia sudah terakur sebagai lambang budaya Nusantara, yang mana masyarakat Jawa, Sunda, Melayu, Betawi, Batak, Bali dan lain-lain suku sudah menganggapnya sebagai salah satu busana tradisional untuk kaum perempuannya.
Sekiranya saree dikait rapat dengan budaya India, ceongsam pada budaya Cina dan kimono dengan Jepun, begitulah juga tempatnya pada kebaya.
Ia menjadi kebanggaan masyarakat Nusantara, khasnya orang Jawa.
Di Bali, setiap kali ada acara keagamaan di pura, perempuannya memakai kebaya.
Bagi mereka yang membesar pada 1960-an sampai 1980-an pasti akan ingat bagaimana nenek, ibu dan saudara perempuan mereka yang mengenakan kebaya.
Ia sering dipakai pada jemputan perkahwinan, ataupun acara rasmi.
Ia cantik dipakai dengan kain sarung batik wiron, bersama pula hiasan untuk sanggul dan kerongsang.
Bagi kebaya yang berfabrik jarang, dipakaikan pula korset.
Kebaya dipakai di merata tempat dan keadaan, daripada lapisan atasan sampailah ke rakyat biasa.
Malah pembantu jururawat di klinik dan hospital pemerintah mengenakan kebaya dan kain sarung serba putih.
Begitulah juga Orkes El-Suraya, sebuah kumpulan nasyid asal Medan, penyanyinya sering tampil dengan kebaya dan sarung batik, serta berselendang.
Pakaian pramugari untuk syarikat penerbangan nasional untuk tiga negara yakni Singapore Airlines (SIA), Malaysia Airlines (MAS) dan Garuda juga menggunakan kebaya.
Pastinya kebaya membuana sebagai suatu gaya fesyen yang khas mewakili rantau ini.
Jelasnya, kebaya dipakai di mana-mana. Ia dipakai bukan saja oleh perempuan Melayu, tetapi juga oleh perempuan Cina, India dan Serani.
Malah dalam khazanah budaya pada abad ke-20, imejan kebaya terakam dalam bermacam puisi, lagu dan pantun.
Penulis terkenal Indonesia sebelum perang, yakni Armijn Pane menguntumkan puisi berjudul Kebaya Biru yang keratannya berbunyi begini:
“Terkenang aku waktu malam,
Lama sudah terselang waktu,
Kebaya adik warna biru,
Permintaan aku dituruti,
Sedih tak terkalam penuh di hati,
Akan bercerai sudahlah musti.”
Begitu juga dari lagu Cik Ainon Janda Muda, nyanyian S. Jibeng, yang terpegun dengan janda yang berkebaya anggun:
“… Oh che Ainon
Janda muda cukup lawa
Oh che Ainon
Janda muda cukup lawa
… Berkain batik kebaya
Baju kebaya
Berkain batik kebaya
Baju kebaya
… Che Ainon hidung mancung
Rambut panjang bergulung gulung
Cakap sedikit mudah tersenyum
Bikin pemuda menjadi bingung.”
Itulah tergambar idaman kecantikan bagi perempuan pada suatu ketika dulu.
Pastinya berkebaya seorang perempuan itu terletak bukan saja pada potongan yang mengikut bentuk badannya, tetapi diranggikan dengan kain sarung.
Sentuhannya boleh sahaja moden dan boleh saja klasik dengan berkerongsong dan bersanggul.
Dalam dunia busana Nusantara, kebaya dipakai di kebanyakan daerah sehingga menjadi salah satu pakaian tradisional untuk kaum perempuannya.
Dari Jawa ke Sunda dan Madura. Dari Sumatera ke Kalimantan. Dari Sulawesi ke Bali.
Begitulah di Semenanjung Malaysia, Sabah Sarawak dan Singapura.
Ia sudah tidak asing lagi. Ia dipakai untuk pelbagai acara dan tempat.
Pastinya ia juga tersedia dalam pelbagai potongan, gaya dan fabrik.
Banyak yang telah disebut tentang asal usul kebaya. Ada yang menyebut namanya dari Timur Tengah, ataupun potongannya dari Asia Timur dan sebagainya.
Kekata kebaya masih didebatkan, begitu juga dengan asal-usulnya.
Ada mengaitkan kekata kebaya dari perkataan habaya dalam bahasa Arab.
Ada pula mengaitkannya dengan perkataan Turki, ‘Al Akibiya Al Turkiyya’ sementara yang lain berandaian kebaya dibawa masuk oleh Portugis.
Namun yang wajar kita simpulkan bahawa bentuk yang sedia ada sudah terpakai dan tersebar di rantau ini sejak ratusan tahun.
Kini, Indonesia menjadi peneraju utama dalam menampilkan kebaya baik dalam dunia fesyen dan warisan.
Ia bukan saja dipakai dalam kalangan perempuan pribumi, tetapi juga di kalangan perempuan Cina Peranakan, Arab Peranakan, India Peranakan, termasuk Belanda.
Dalam buku tulisan Mejar Muhammad Said Sulaiman, berjudul Pakai Patut Melayu (1931) yang menjadi rujukan bagi pakaian tertib dan elok untuk Melayu Johor, ada menyebut tentang baju belah, ataupun kebaya labuh. Ditulisnya begini:
“Adapun baju belah itu kaedahnya seperti baju kurung jua sekadarnya tebuk lehernya dilangsungkan terus ke bawah di sebelah hadapan baju itu dan pesak baju ini tidak di sebelah rusuk ialah diletakkan pada sebelah menyebelah belahan hadapan itu.
“Maka labuh baju itu lazimnya singkat daripada baju kurung perempuan tetapi tidak lebih tinggi daripada punggung.”
Kebaya sangat sesuai dipadankan dengan kain sarung batik, malah juga dengan kain songket.
Ada berbagai jenis kebaya di merata Nusantara. Ada kebaya panjang dan ada pula kebaya pendek.
Kebaya panjang atau kebaya labuh, lebih sesuai untuk acara yang lebih formal.
Perhatikan para perempuan bangsawan mengenakan kebaya panjang.
Malah antara pakaian rasmi Raja Permaisuri Agong Malaysia ialah kebaya panjang.
Kebaya pendek, kadang dalam versi kebaya kuta baru (kota baru) adalah pakaian yang lebih ringkas dan memudahkan gerakan.
Menurut Khatijah Sidek (1918-1982), yang pernah bergiat dalam politik Malaysia, segolongan perempuan Melayu memilih kebaya pendek sebagai perakuan simbolik dengan rakyat marhaen.
Ini mengingatkan kita pada sebuah puisi berjudul Kebaya oleh Wina Armada Sukardi dari Indonesia.
Terbayang dalam puisi ini, perempuan yang bertekad untuk tidak tunduk kepada keserakahan kolonial, patriaki dan kapitalisme.
Bergaung nadanya bertabik pada perempuan berani yang berkebaya dalam sejarah:
“Di balik keelokan tubuh kebaya membara kedahsyatan asa
Kebaya saksi perlawanan kebatilan.
Berapa banyak nyai berkebaya bertahan mengelak berkedudukan bini tuan-tuan penjajah
Berapa banyak gadis berkebaya berupaya menolak dikahwin paksa juragan tanah.
Berapa banyak buruh berkebaya melawan diperkosa para majikan
Berapa banyak di balik tubuh montok berkebaya memberontak jadi bancakan para bedebah.
Kebaya ialah sikap keberanian
Kebaya ialah kemenangan
Kebaya ialah ketabahan kaum perempuan
Kebaya ialah keluhuran cita-cita
Kebaya ialah jati diri.”
Lagu dari Iwan Fals, berjudul Kebaya Merah, pernah mendapat perhatian di Indonesia kerana terkandung perlambangan yang signifikan. Bacalah liriknya:
“Kebaya merah kau kenakan
Anggun walau nampak kusam
Kerudung putih terurai
Ujung yang koyak tak kurangi cintaku
Wajahmu seperti menyimpan duka
Padahal kursimu dilapisi beludru
Ada apakah?
Ibu
Ceritalah seperti dulu
Duka suka yang terasa
Percaya pada anakmu
Tak terfikir tuk tinggalkan dirimu.”
Lagu ini ditutup dengan barisan kalimat yang sekaligus membayangkan inti dari lagu ini:
“Ibuku, darahku, tanah airku/Tak rela kulihat kau seperti itu/ Ada apakah?/ Ibu.”
Ibu yang berkebaya merah itu adalah ibu pertiwi. Kebaya lambang budaya bangsa.
Ibu yang memakainya adalah obor maruah dan keteguhan anak bangsa yang berlindung di bawahnya.
Di kalangan Cina Peranakan wacana membicarakan kebaya giat berlangsung seiringan dengan keghairahan tentang batik.
Malah Datin Seri Endon Mahmood telah menyusun buku The Nyonya Kebaya: A Century of Straits Chinese Costume (2004).
Dari hal busana Melayu telah banyak dikupas oleh Puan Azah Aziz (Rupa dan Gaya: Busana Melayu, 2006) dan Profesor Siti Zainon Ismail (Pakaian Cara Melayu, 2009).
Kebaya menjadi salah satu tumpuan mereka.
Puan Azah menjejaki pelbagai gaya kebaya seperti berikut:
“Kebaya labuh Melayu ini dibuat sedondon daripada kain tenunan benang kapas bercorak petak yang pada suatu masa dulu popular di kalangan wanita Melayu.
“Kebaya ini dipakai dengan kain yang diikat kuncup dengan kepala kain diletak di depan. Bajunya dibuat labuh hingga ke paras lutut dengan pesak yang dikenakan dari tengkuk hingga ke kaki baju yang boleh dibuat pepat ataupun diserongkan.
“Pada pangkal lengan digunakan kekek. Busana ini diserikan dengan sehelai selendang limar.”
Manakala kebaya labuh Cina Peranakan, digambarkan begini:
“Kebaya labuh atau baju panjang Nyonya Cina Peranakan pula dibuat daripada kain broked Cina, labuh sampai ke bawah paras lutut dan dipakai dengan kain songket.
“Baju ini berpesak dan berkekek, serupa seperti kebaya Melayu.
“Bagaimanapun ada beberapa kelainan iaitu dibuat lebih labuh, lengan baju dibuat beransur kecil di pergelangan tangan dan kebaya ini dipakai dengan anak baju atau baju dalam berleher cekak musang daripada kain putih.
“Pada jari kelingking kiri tergantung setangan hiasan.”
Sempat dihuraikan tentang kebaya pendek Kelantan yang unik berkocek:
“Kebaya pendek Kelantan adalah suatu lagi busana yang berpotongan kebaya berpesak, berkekek dan dipakai dengan tiga kerongsang atau peniti.
“Suatu kelainannya ialah baju ini dibuat lebih pendek daripada kebaya pendek. Lengan bajunya pula dibuat lebar dan pendek sedikit, sampai ke tengah lengan saja.
“Potongan ini hampir serupa dengan potongan lengan baju Kedah yang tidak menggunakan kekek persegi di bawah pangkal lengan baju.
“Suatu keistimewaan kebaya ini ialah kocek tampal yang dikenakan di sebelah kiri depan baju.
“Kebaya ini disifatkan sebagai busana santai kerana potongannya yang pendek dan biasanya dipakai dengan kain batik ikat kuncup.
“Kebaya ini masih dipakai oleh wanita Kelantan sebagai pakaian seharian – di rumah, di pasar, di bendang dan sebagainya.”
Sekiranya kita telusuri foto-foto dan filem-filem lama, akan kita ketemukan merata perempuan dari rantau ini memperagakan kebaya dalam pelbagai gaya.
Kita terkenang pada foto-foto lama apabila Puan Noor Aishah memakai kebaya dan sarung batik yang cantik.
Beleklah foto pada pertabalan Yang Dipertuan Agong Malaysia yang pertama, Raja Permaisurinya juga memakai dengan kebaya panjang.
Begitu juga Ibu Tien Suharto yang memakai kebaya dengan gaya khas Jawa sangat ranggi dan rapi.
Hari ini, Wanita Pertama Singapura, yakni Puan Jane Ittogi, juga sering kelihatan memakai pakaian kebaya dengan gaya kontemporari.
Barisan seniwati kita anggun bila memakai kebaya, sehingga kelak menjadi ikutan dalam masyarakat.
Pada persembahan Orkestra RTM 1973 Biduanita Saloma menyanyikan lagu Perwira dengan memakai kebaya ketat dengan sarong batik, siap dengan siput sanggul dan bunga sekuntum diselit di telinga kanan.
Malah jenis kebaya yang dikenakan oleh Saloma masih popular sehinggalah pada awal 1990-an.
Semenjak itu kebaya semakin kurang mendapat sambut, beriringan dengan proses Islamisasi di beberapa daerah di rantau ini, sehingga kebaya bukan lagi menjadi pilihan utama.
Pada Disember 2024, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) telah memasukkan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara.
Pengiktirafan ini hasil daripada sepakatan dalam pengajuan oleh Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan Thailand.
Ini adalah petanda yang sangat istimewa kerana ia memberi isyarat betapa budaya menjadi pengikat antara negara kerana banyak segi budaya yang sebenarnya tidak memiliki sempadan politik.
Dengan kebaya mendapat pengiktirafan maka masing-masing negara akan memastikan keberlangsungan dan keberlanjutannya. Hanya bernostalgia bahawa kebaya pernah popular di tempat kita tidak akan membawa ke mana. Lepaskan nostalgia dan bangunkan pula rencana agar kebaya terus terkedepan.
Berkembangnya minat pada kebaya lewat-lewat ini harus dapat mengembalikan kesedaran kita mengulit dan memulihara warisan bangsa.
Pernah Puan Azah Aziz mengeluh betapa generasi muda sudah tidak mengenali busana tradisionalnya sendiri. Ini sangat mengecewakan dan sesuatu harus dilakukan.
Kalau kita menganggap kebaya sebagai fesyen musiman, ini adalah kesimpulan yang tidak tepat. Ini kerana, baginya:
“…pakaian tradisional sesuatu bangsa kerana ia bukan fesyen, maka itu ia tidak berubah dan di dalamnya terkandung intisari seni budaya dan peradaban bangsa itu.
“Ia boleh berkekalan sehingga menjadi klasik dengan mengabdikan segala keindahannya, jikalau yang empunya pakaian itu menyayangi, menghargai dan memeliharanya.
“Dan apakala ia berkekalan, bererti ia telah dibelai dan dipelihara dengan segala rasa kasih sayang, penghargaan dan penghormatan.”
Syukur hari ini kebaya semakin membuana.
Kita harus tangkas membicara, memelihara dan membangunkannya.
Sekadar mengatakan itu ‘empunya’ kita tidak mencukupi.
Kita harus menghidupkannya dengan segala sentuhan kreatif, yakin dan bangga.
Pada setiap 24 Julai, Hari Kebaya Nasional diraikan di Indonesia, yang mana kebaya sudah sebati dalam kehidupan budaya di sana.
Itulah suatu pengiktirafan kepada sebuah warisan yang telah dipakai oleh nenek ibu dan kakak adik kita, dulu dan kini.
Kita yang di sini juga harus mempunyai sikap kebanggaan seperti itu. Kebaya sebagai pakaian juga mengandung perlambangan warisan yang harus subur dalam cakerawala kita hidup berbudaya. Laksana sekuntum pantun yang berbunyi:
“Rumah besar digoncang bayu
Atap ijuk dindingnya papan
Tuan umpama kain baju
Tidaklah luput dari badan”
Dengan berbusana kebaya hiduplah budaya. Jangan sampai ia tersudut dilupa zaman.”
Keanggunan mereka yang berkebaya adalah kesaksian sejarah budaya yang akan menentukan betapa warisan kita terus akan berkekalan di masa depan. Itulah kebaya yang akan memperagakan keyakinan dan harapan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg