Topik diikuti
Pergi ke BHkuKepimpinan dalam adat Melayu
Garis ciri mulia yang harus dimiliki pemimpin, di samping galak masyarakat agar berani nilai serta kritik kepimpinan
Dalam banyak masyarakat dan peradaban dunia, soal kepimpinan sering mendapat perhatian besar.
Kepimpinan adalah antara faktor penting yang menentukan kejayaan sesebuah masyarakat atau sebaliknya.
Tidak dinafikan bahawa pembangunan masyarakat juga bergantung kepada faktor-faktor yang lain.
Namun tanpa kepimpinan yang berwibawa, faktor-faktor yang lain sukar digembleng dan dimanfaatkan ke arah pembangunan produktif.
Dalam cakerawala adat Melayu, soal kepimpinan sangat dititikberatkan, dan banyak ungkapan yang menganjur ciri dan nilai mulia yang harus ada pada pemimpin, selain mengingatkan sifat buruk yang perlu dijadikan sempadan.
Kepimpinan dilihat dalam pelbagai lapangan dan peringkat adat Melayu.
Pemimpin itu ialah tokoh yang mengepalai masyarakat ataupun kumpulan mereka, seperti dalam ungkapan adat yang sering kita dengar:
“Yang disebut pemimpin banyak ragamnya, ada kecil ada besarnya, ada rendah ada tingginya, ada pula letak tempatnya, ada pula susun aturnya, ada pula alur parutnya.”
Pemimpin itu dilantik kerana kewibawaannya dalam mengurus, memberi arah dan merencana masa hadapan.
Mereka ini diberikan keistimewaan, sekali gus diamanahkan pertanggungjawaban seperti ungkapan berikut:
“Yang disebut pemimpin ialah orang yang didahulukan selangkah ditinggikan seranting, bagaikan pohon di tengah ladang, yang jauh mula nampak, yang dekat mula bersua. Rimbun daunnya tempat berteduh, kuat dahannya tempat bergantung, besar batangnya tempat bersandar, kokoh akarnya tempat bersila.”
Semua anjuran dan peringatan ini hanyalah dalam ungkapan tradisional, dan kita belum pasti sama ada semua ini benar-benar diaplikasikan dalam cara masyarakat dan pemerintah disusun.
Tenas Effendy, budayawan ulung dari Riau, Indonesia, telah menyusun buku, Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu (2000).
Beliau membutirkan 194 jenis pemimpin, dari yang mulia sampailah yang terkeji sifatnya.
Kepimpinan, Peradaban Dunia
Dalam peradaban Tamil, seorang pujangga tersohor Tiruvalluvar, yang terkenal dengan karyanya Tirukkural, juga banyak menyebut hal kepimpinan, termasuk ketatanegaraan.
Menurut beliau, tiang kepimpinan itu harus ada sikap berani, bermurah hati, bijak dan bertenaga.
Namun Tiruvalluvar juga ada menyebut tentang ciri awas atau bersiap siaga, yakni pandai menilik ancaman atau risiko dan cekal menghadapinya.
Ini hampir sama dengan apa yang disebut sebagai ‘pemimpin awas’ dalam ungkapan Melayu.
Disebut leluhur kita: “Apa tanda pemimpin awas, waspada menghadapi hujan dan panas.”
Disambung lagi begini:
“Menjadi pemimpin awas waspada
Telinganya nyaring dan tajam mata
Tekun menyemak isyarat dan tanda
Rajin mendengar banyak membaca
Bekerja tidak mengada-ada
Bertugas tidak sambil lewa
Berkata menurut alur patutnya.”
Awas akan ancaman luar, turut bermaksud awas pada anasir yang mahu merosakkan kepimpinan yang sedia ada.
Kenaifan dalam hal ini akan membawa banyak kerosakan.
Dalam ungkapan Melayu lama, sebagaimana yang disusun Tenas dalam bukunya, kepimpinan digambarkan secara umum dalam dua bentuk yang bertentangan iaitu kepimpinan yang adil dan cekap, serta kepimpinan yang zalim dan haprak.
Apabila menyebut tentang peranan pemimpin, sering dapat kita bayangkan ketokohan yang memiliki sifat-sifat berikut:
Pertama, ia mesti bertindak adil.
Kedua, menegakkan akal.
Ketiga, kuat memegang amanah.
Keempat, amalnya membawa kebaikan dan teladan kepada yang lain.
Empat ciri pemimpin yang disebut di atas tadi diperturunkan seperti berikut:
Bagi pemimpin adil,
“Tuah negeri adil berdiri,
Tuah bangsa adil merata.”
“Menjadi pemimpin adil dan benar
Tidak memilih kecil dan besar
Petua diingat amanah didengar
Terhadap yang buruk ia tak gemar
Pada yang baik ia mengakar
Fikiran panjang hati penyabar.”
Pemimpin akal adalah tokoh yang:
“Pantang kehilangan akal” dan “Ilmunya dalam tiada dangkal.”
Sama pentingnya:
“Ilmunya banyak menjadi bekal
Menjalankan tugas hatinya pukal
Memikul beban ianya kekal
Fikiran bulat imannya tebal
Memimpin selalu menuruti bakal
Tahukan diri sedar ke asal.”
Pemimpin yang amanah, atau mempunyai integriti, dapat memacu tatakelola pemerintahan dan institusi dengan cekap.
Apabila ada pemimpin yang amanah, “negeri makmur rakyat semenggah”.
Tokoh sebegini akan:
“Taat memegang janji dan sumpah
Terhadap rakyat ia peramah
Terhadap sahabat ia pemurah
Dalam bekerja ia semenggah
Dalam bercakap berhalus lidah.”
Pemimpin beramal pula mencurahkan bakti kerjanya untuk kebaikan mereka yang dipimpinnya.
Jenis sebegini disebut:
“Hatinya ikhlas sempurna akal
Membela rakyat hatinya pukal
Membantu orang tiada menyesal
Hidupnya lurus makannya halal
Orang sayang nama terkenal
Kerjanya elok manfaatnya kekal.”
Kepimpinan Cerminan Kemasyarakatan
Perlu diingat bahawa ungkapan atau petitih (pepatah yang mengandungi nasihat) sebegini bukan sahaja ditujukan langsung kepada kepimpinan.
Ungkapan tersebut turut menjadi pesanan kepada rakyat umum agar sentiasa tahu apa yang dikehendaki serta ikut kata hati dengan penuh pertimbangan, berhemah dan bijaksana.
Dalam Tambo Minangkabau, karya sejarah dan sastera tradisional orang Minangkabau di Sumatera, ada pesanan berharga berbunyi begini:
“...bahawa setiap orang manusia harus mengetahui yang dikehendakinya atau mengikut kata hatinya, jangan mengikuti kata hati orang yang kurang kesedaran dan akalnya. Orang yang tahu mengikuti kata hatinya akan berlaku baik terhadap dirinya dan juga terhadap orang lain. Apabila terlalu jahat terhadap dirinya dan juga terhadap orang lain… Sedangkan orang yang hanya boleh mengikuti kata orang tanpa dapat mengikuti kata hatinya, biasanya sering mencela orang tanpa mahu dicela dan selalu ingin marah. Keadaan demikian itu tidak baik. Seharusnya ia harus tahu mengikuti kata hatinya, dan kalau mengikuti kata hati orang harus tahu betul apa yang diperbuat orang tersebut.”
Yang Merosak Jadikan Sempadan
Pastinya, masih banyak tabiat buruk dan sifat tercela dalam kalangan pemimpin yang menyebabkan segala urusan menjadi ‘sangkak’, yakni tersekat-sekat dan bermutu rendah.
Bahaya kepimpinan sedemikian turut banyak diperingatkan dalam petitih adat.
Pemimpin sebegini mempunyai sifat yang zalim, licik, bebal, serakah, suka makan rasuah, hasad dan banyak lagi.
Ini semua menghambat kesejahteraan masyarakat.
Ini kerana: “Bila pemimpin tak tahu diri, umat binasa rosaklah negeri.”
Ungkapan adat barang tentu suatu titipan leluhur kita yang boleh memperkaya khazanah cakerawala nilai dan pemikiran kita.
Ianya baik tetapi tidak mencukupi.
Dalam konteks hari ini, pemahaman kita tentang kepimpinan mesti dilengkapi dengan ilmu kemasyarakatan dan kemanusiaan.
Wacana ilmiah yang seperti sosiologi elit, yang meneliti kelompok berkuasa serta pengaruh mereka dalam masyarakat, wajar dipelajari dan disampaikan kepada umum, agar idea kritis dan reformis dapat berakar dalam masyarakat.
Negarawan serta ilmuwan Indonesia seperti Mohammad Hatta, menyebut tentang tanggungjawab moral yang ada di pundak para cerdik pandai.
Merekalah yang membentuk salah satu barisan kepimpinan dalam masyarakat.
Inti pemikiran yang ada dimensi kemanusiaan harus ada pada mereka.
Beliau menegaskan: “Apakah ia duduk di dalam pimpinan negara dan masyarakat atau tidak, ia tidak akan terlepas dari tanggungjawab itu. Sekalipun berdiri di luar pimpinan, sebagai rakyat-demokrat ia harus menegur dan menentang perbuatan yang salah, dengan menunjukkan perbaikan menurut keyakinannya. Cara demikianlah ia menyatakan rasa tanggungjawabnya sebagai manusia susila dan demokratis. Berdiam diri melihat kesalahan dan keruntuhan masyarakat atau negara bererti mengkhianat kepada dasar kemanusiaan, yang seharusnya menjadi pedoman hidup bagi kaum inteligensia umumnya.”
Cita Kepimpinan Sempurna
Dalam beberapa ceramah dan rencana Syed Hussein Alatas, beliau meneroka perbincangan tentang kepimpinan yang memiliki ‘cita sempurna’ atau ‘cita bencana’.
Kepimpinan yang diperteguhkan dengan cita sempurna memiliki sifat malu, sikap pertanggunjawaban, bersungguh dan tangkas berdepan dengan tantangan yang dihadapi, serta berani menolak apa jua bentuk keruntuhan moral, kecurangan dan kejahatan yang ada dalam masyarakat.
Ini semua memberi landasan kuat untuk mereka bertindak sebagai pemimpin.
Kepimpinan cita bencana pula bersifat tidak berwibawa kerana ditandai dengan “unsur korup dan jenayah”.
Kepimpinan ini juga tidak mementingkan ilmu, justeru menghalang rakyat daripada memburunya (ilmu).
Kesannya kepada masyarakat menurut Syed Hussein Alatas sangat dahsyat.
“Ia akan melemahkan disiplin sosial masyarakat. Masyarakat tidak akan mengutamakan disiplin dalam menjalankan tugas.”
Syed Hussein Alatas beranggapan bahawa kepimpinan menentukan kejayaan pada proses pembangunan yang sedang ditempuh dalam masyarakat.
Celik Kepimpinan
Masyarakat sentiasa mendambakan kepimpinan yang adil, berwibawa, demokratik dan berwawasan untuk memimpin mereka ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dan maju.
Namun, masyarakat tidak seharusnya sekadar menaruh harapan.
Mereka (masyarakat) juga perlu ambil peduli terhadap isu berkaitan kepimpinan dengan menilai, mengemukakan saranan, serta mengkritik pada tempat dan masa yang sepatutnya.
Peduli kepada persoalan kepimpinan bukanlah untuk mengampu atau mendewakan yang berkuasa.
Kepedulian ini harus terarah kepada menghargai kepimpinan yang mesti wujud dalam masyarakat atau sesebuah kumpulan.
Masyarakat yang tidak menilai kepimpinan secara kritis, adalah masyarakat yang kurang bijak merancang masa depannya.
Maka dunia ilmu, termasuk ranah kebudayaan, harus memberi tumpuan kepada pelbagai isu yang berkaitan dengan hal kepimpinan.
Pada generasi terdahulu, kepedulian masyarakat terhadap kepimpinan tercermin melalui ungkapan adat yang digubal dan diturunkan secara lisan.
Jika disusun dan dikupas, pandangan adat tentang kepimpinan boleh ditafsir secara kreatif dan dimanfaatkan untuk membina masyarakat yang lebih baik.
Moga ia menjadi inspirasi kita untuk terus cermat dalam memantau dan menghargai kepimpinan yang lalu, hari ini dan di hari muka.
Kita sudahi dengan kiasan adat yang cantik tentang kepimpinan:
“Apabila rumah tidak bertua, apabila dusun tidak berinduk, apabila kampung tidak berpenghulu, apabila negeri tidak beraja, bagaikan ayam tidak berinduk, bagaikan serai tidak berumpun, bagaikan sungai tidak berguguk, bagaikan perahu tidak berkemudi, lambat laun ditimpa bencana. Kalau di darat akan sesat, kalau di laut akan hanyut, kalau di hulu akan haru biru, kalau dihilir akan tersingkir.”
Itulah pentingnya kepimpinan.
Dalam bahasa hari ini, kita mesti merancang ke arah pemupukan kepimpinan hari esok.
Ia bermula pastinya hari ini.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.
“
Mereka (masyarakat) juga perlu ambil peduli terhadap isu berkaitan kepimpinan dengan menilai, mengemukakan saranan, serta mengkritik pada tempat dan masa yang sepatutnya. Masyarakat yang tidak menilai kepimpinan secara kritis, adalah masyarakat yang kurang bijak merancang masa depannya. Maka dunia ilmu, termasuk ranah kebudayaan, harus memberi tumpuan kepada pelbagai isu yang berkaitan dengan hal kepimpinan.