Dalam sejarah pendidikan Bahasa Melayu di Singapura, hanya segelintir tokoh yang benar-benar meninggalkan kesan melangkaui bilik darjah, tokoh yang jejaknya hidup dalam pemikiran, nilai dan amalan generasi pendidik seterusnya.

Dr Sa’eda Buang ialah antara tokoh tersebut.

Saya mengenali beliau terlebih dahulu sebagai seorang pelajar possiswazah di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Di bilik kuliah, Dr Sa’eda bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah, menyemai kesedaran.

Beliau mencabar kami untuk berfikir secara kritikal, untuk berani menyoal, dan untuk memahami bahawa ilmu yang tidak disandarkan pada tanggungjawab sosial adalah ilmu yang tidak lengkap.

Pada beliau, pendidikan harus sentiasa berpaksikan kemanusiaan.

Falsafah yang beliau pegang ini jelas terpancar dalam karya-karya beliau juga.

Dalam cerpen beliau, Ke Puncak Pun Tidak (2005), watak Rosnah mengingatkan bahawa kelebihan intelek adalah satu amanah, bukan semata untuk disimpan, tetapi dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat, satu prinsip yang menjadi teras perjalanan Dr Sa’eda sebagai pendidik dan pemimpin.

Gagasan ini turut terpancar dalam cerpen beliau bertajuk, Razi (2002), yang mengangkat kisah seorang ibu mempertahankan hak seorang anak dengan autisme, dalam menghadapi tekanan masyarakat dan kepercayaan tradisional.

Melalui naratif yang penuh empati, Dr Sa’eda memperlihatkan bahawa kehidupan tidak sentiasa hitam putih, dan bahawa keberanian sebenar terletak pada keupayaan kita menyoal serta mendahulukan kemanusiaan dalam membuat sebarang keputusan.

Nada yang sama bergema dalam puisinya, Pustakaku dalam Remang Senja (2003), yang menyeru golongan terpelajar agar menghidupkan ilmu melalui tindakan.

Seperti yang beliau sering sampaikan kepada anak-anak didiknya, termasuk saya, seorang intelektual bukan sekadar pencari ilmu, tetapi pemikul tanggungjawab moral terhadap masyarakatnya.

Apabila saya kemudian berpeluang bekerja bersama beliau sebagai seorang pensyarah, saya menyaksikan bagaimana falsafah ini diterjemahkan dalam kepimpinannya.

Dr Sa’eda memimpin dengan tenang tetapi berprinsip.

Beliau tidak perlu meninggikan suara untuk didengari, dan tidak bergantung pada jawatan untuk dihormati.

Sejujurnya, penghormatan ramai terhadap beliau lahir daripada prinsip kepimpinan progresif yang beliau amalkan, bukan semata-mata kerana kedudukan yang disandangnya.

Berbeza dengan kerangka kepimpinan tradisional yang sering membayangkan seorang ketua sebagai tegas, berjarak dan bersifat hierarki, pengalaman bersama Dr Sa’eda terasa jauh berbeza.

Beliau meluangkan masa untuk mendengar, sebelum membuat keputusan, memberi ruang sebelum memberi arahan, dan membimbing tanpa memperkecilkan.

Saya tidak pernah rasa terpaksa atau diheret.

Sebaliknya, beliau berjalan di sisi saya, dengan panduan yang jelas, penuh kepercayaan, dan langkah yang sering diiringi doa beliau yang tidak pernah putus.

Inilah yang menjadikan kepimpinan beliau terasa begitu segar dan relevan.

Dalam dunia yang semakin berubah, Dr Sa’eda menunjukkan bahawa kepimpinan tidak perlu kekerasan untuk berkesan.

Ia boleh berakar pada sifat saling percaya, saling menghormati, dan pada keyakinan bahawa setiap individu mempunyai sesuatu yang boleh disumbangkan.

Namun, yang paling membekas bagi saya, adalah sisi kemanusiaan dalam kepimpinan beliau.

Dr Sa’eda melihat setiap pelajar dan rakan sekerjanya sebagai insan yang penuh dengan pengalaman, cabaran dan harapan masing-masing.

Beliau membimbing dengan empati, menegur dengan hikmah, dan sering menjadi suara yang menguatkan semangat pelajar mahupun pekerja yang mungkin meragui dirinya sendiri.

Malah, beliau, bersama Profesor Emeritus Hadijah Rahmat yang meyakinkan saya untuk tidak meragui kemampuan seorang anak Melayu Singapura melangkah memburu PhD (Doktor Falsafah) di Universiti Cambridge.

Sebagai pemimpin wanita dalam dunia akademik, Dr Sa’eda membawa suara yang penting tentang peranan wanita dalam masyarakat moden.

Beliau menolak batasan sempit yang mengehadkan sumbangan wanita, dan sebaliknya menegaskan bahawa wanita mempunyai peranan luas sebagai pemikir, pendidik dan pembina masyarakat.

Hari ini, ramai dalam kalangan anak didik beliau telah menjadi guru Bahasa Melayu yang disegani, pendidik yang bukan sahaja cemerlang dari segi pedagogi, bahkan, sarat dengan nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial.

Mereka adalah bukti bahawa kepimpinan serta bimbingan Dr Sa’eda bukan sekadar mempengaruhi, malah, membentuk generasi pendidik manusiawi dan bersifat ihsan.

Menjelang persaraan beliau, kita tidak sekadar mengucapkan selamat jalan kepada seorang pensyarah kanan dan tokoh pendidik.

Kita menghargai satu warisan penting yang ditinggalkan Dr Sa’eda iaitu warisan pemikiran yang progresif, kepimpinan yang memanusiakan dan cinta kepada ilmu.

Ketiga-tiga warisan ini mesti terus menyala dalam jiwa pendidik hari ini dan generasi mendatang.

Dr Sa’eda mungkin melangkah keluar daripada arena formal institusi pendidikan, namun pengaruhnya tidak akan pernah pudar.

Ia akan terus hidup dalam setiap pemikiran yang pernah disemainya, dalam setiap jiwa yang pernah disentuhnya, dan dalam setiap usaha kecil ke arah kebaikan yang diilhamkan oleh didikan beliau.

Bagi semua yang beruntung pernah berada di bawah bimbingannya, Dr Sa’eda akan sentiasa dikenang sebagai guru sejati.

Bagi saya, beliau seorang sosok ibu yang telah mendidik saya tentang amanah terhadap anak bangsa dan bahawasanya ilmu yang paling bermakna ialah ilmu yang memanusiakan.

Bondaku Dr Sa’eda,

“Ingin kuserap segala wangianmu dalam cembul tinta lalu kusembahkan ke kaki bangsa.”

Pustakaku dalam Remang Senja, Sa’eda Buang (2003)

Menjelang persaraan beliau, kita tidak sekadar mengucapkan selamat jalan kepada seorang pensyarah kanan dan tokoh pendidik. Kita menghargai satu warisan penting yang ditinggalkan Dr Sa’eda iaitu warisan pemikiran yang progresif, kepimpinan yang memanusiakan dan cinta kepada ilmu. Ketiga-tiga warisan ini mesti terus menyala dalam jiwa pendidik hari ini dan generasi mendatang.
Penulis.