Topik diikuti
Pergi ke BHkuPensyarah kanan NIE Sa’eda Buang bakal bersara 1 Mei
Pensyarah kanan NIE Sa’eda Buang bakal bersara 1 Mei
Roszalina Rawi ambil alih tugas sebagai Penolong Ketua (Bahasa Melayu)
Pensyarah kanan NIE Sa’eda Buang bakal bersara 1 Mei
Penolong Ketua (Bahasa Melayu) bagi Jabatan Bahasa dan Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Sa’eda Buang, bakal menamatkan khidmat pada 1 Mei ini, selepas lebih dua dekad mencurah bakti dalam bidang pendidikan guru dan kesusasteraan Melayu.
Tokoh yang turut dikenali sebagai penyair serta penulis cerpen dan sajak yang telah memenangi pelbagai anugerah sastera dan persuratan itu akan digantikan oleh Pensyarah Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia di NIE-NTU, Dr Roszalina Rawi.
Keputusan bersara itu telah lama tertangguh sejak 2020, selepas Dr Sa’eda, kini 69 tahun, beberapa kali diminta melanjutkan khidmatnya sebelum akhirnya memilih untuk bersara pada 2026.
Mengulas keputusan tersebut, beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pembaharuan dalam bidang pendidikan.
“Sudah sampai masanya saya berikan laluan untuk generasi seterusnya mengambil tempat saya ini.
“Kita perlukan pensyarah yang lebih dinamis, yang lebih punya tenaga untuk banyak buat kajian dan menyampaikan pengajaran dengan penuh semangat.
“Kalau kita berlama-lama di situ, seolah-olah kita tidak berikan laluan, dan kita akan memberikan gambaran seolah-olah generasi muda ini ‘kelabu’ nasibnya.
“Dengan pandangan mereka (generasi pelapis) yang penuh dengan pembaharuan, mungkin kita sebagai golongan ‘old school’ (orang lama) ini tidak nampak sesuatu yang perlu kita lakukan sebagai perubahan,” kata ibu tiga anak, yang juga mempunyai dua cucu.
Dr Roszalina, 47 tahun, yang juga Ketua Program Sarjana Muda Sastera (BA) di Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, berkata:
“Saya amat bersyukur atas kepercayaan ini (menggalas amanah baharu menggantikan Dr Sa’eda).
“Bagi saya, tiada siapa yang dapat menggantikan Dr Sa’eda Buang...legasi beliau menjadi asas yang kukuh bagi jabatan ini.
“Peranan saya adalah meneruskan dan memperkukuh usaha tersebut, berlandaskan kepimpinan progresif yang telah beliau contohkan.
“Ke hadapan, saya berharap dapat mengangkat Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu NIE sebagai peneraju dalam pendidikan dan penyelidikan bahasa, sastera dan budaya Melayu, bukan sahaja di peringkat serantau malah juga di persada sejagat.”
Sepanjang kerjayanya, Dr Sa’eda menampilkan kepakaran luas dalam bidang kesusasteraan dan kajian budaya, khususnya berkaitan manuskrip Jawi serta pembaharuan kurikulum.
Beliau mula berkhidmat di NIE pada 2001 sebagai pensyarah pinjaman sebelum dilantik secara sepenuh masa beberapa tahun kemudian.
Beliau kemudian menyandang jawatan Penolong Ketua (Bahasa Melayu) bagi Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia dari 2016 hingga 2019, dan dari 2021 hingga 2026, selain turut berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Melayu.
Minat mendalam itu mendorong penglibatannya dalam beberapa projek penyelidikan yang dibiayai, termasuk menerajui satu kajian perintis selama tiga bulan bertajuk ‘Multiculturalism through Literature’ (Kepelbagaian Budaya Melalui Sastera).
Kajian itu membuka laluan bagi pengenalan kursus elektif ‘Appreciating Multiculturalism through Story’ (Menghargai Kepelbagaian Budaya Menerusi Cerita) di NIE dan NTU, pada 2022.
Projek yang melibatkan 38 guru pelatih daripada tiga kepakaran bahasa itu disifatkan sebagai “salah satu detik paling bermakna” dalam kerjayanya.
“Projek itu memberi saya satu keyakinan bahawa cerita mempunyai kuasa untuk mendekatkan manusia. Apabila pelajar daripada latar bahasa yang berbeza mula melihat dunia melalui perspektif satu sama lain, saya rasa usaha itu sangat bermakna.
“Ia bukan sekadar hasil kajian, tetapi satu pengalaman yang membuka jalan kepada kursus Appreciating Multiculturalism through Story, supaya nilai itu dapat terus hidup dalam kalangan generasi seterusnya,” katanya.
Pada 2018 juga, beliau turut menerajui amanah sebagai Penyelidik Utama bagi projek yang bertujuan menghidupkan semula manuskrip Melayu sebagai warisan budaya, di samping terlibat sebagai penyelidik bersama dalam beberapa projek lain termasuk sebutan baku dalam pertuturan pelajar serta kajian antarabangsa mengenai hubungan Sriwijaya-Temasek.
Mengimbas hasil didikan beliau, Dr Sa’eda melahirkan rasa syukur melihat perkembangan anak didiknya dalam dunia penulisan.
“Saya sangat gembira kerana di antara pelajar saya, terdapat ramai yang sudah mula bertatih-tatih untuk menulis, dan ada di antaranya kini sudah menjadi penulis yang menempa nama di Singapura.
“Mereka bukan sahaja menulis, tetapi menulis dengan kesedaran – berfikir secara dewasa, menulis untuk membentuk masyarakat.
“Saya tidak takut kita tidak ada pelapis penulis. Kita sebenarnya ada, dan ini sangat menggembirakan saya,” ujarnya lagi.
Menjelang persaraannya, Dr Sa’eda berhasrat untuk terus berkarya serta mempergiat usaha transliterasi manuskrip Jawi ke tulisan Rumi agar khazanah tersebut lebih mudah diakses generasi masa kini.
“Saya akan terus menulis kerana dalam fikiran saya masih banyak cerita yang tersimpan. Selama ini, mungkin kekangan masa membataskan saya, tetapi selepas ini, saya harap dapat menghasilkan lebih banyak karya termasuk cerpen dan puisi.
“Selain itu, saya juga ingin terus melakukan transliterasi manuskrip Jawi ke tulisan Rumi supaya masyarakat dapat membaca dan memahami khazanah lama kita yang mempunyai nilai sejarah dan penceritaan yang sangat kuat,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bagi terus menyumbang dalam bidang pengajaran secara sambilan selepas bersara, selagi kesihatan mengizinkan.
