Topik diikuti
Pergi ke BHkuMampukah saya wariskan bahasa Melayu kepada anak saya kelak?
Bahasa Melayu masih mempunyai nilai dan rasa dekat yang tersendiri bagi saya, sesuatu yang sukar saya rasai apabila menggunakan bahasa Inggeris, khususnya ketika berbual dengan keluarga dan kawan rapat.
Kali pertama saya menyedari perubahan dalam cara saya menggunakan bahasa Melayu adalah ketika di sekolah menengah.
Ketika itu, kelas Bahasa Ibunda merupakan ruang terakhir yang masih memberi saya peluang untuk menggunakan bahasa Melayu secara tersusun dan kerap.
Saya masih ingat agak sukar untuk saya memahami imbuhan dan menjawab soalan kefahaman.
Perkara itu membuatkan saya berasa kurang yakin dengan penguasaan bahasa Melayu saya sendiri.
Kosa kata juga masih menjadi cabaran bagi saya hingga hari ini.
Kadangkala, saya tahu apa yang ingin saya sampaikan, tetapi tidak dapat terus memikirkan perkataan Melayu yang tepat untuk mengungkapkannya.
Apabila melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi, bahasa Melayu pula bukan lagi sesuatu yang perlu saya gunakan secara kerap.
Saya tidak lagi menulis karangan atau membaca petikan dalam bahasa Melayu untuk tugasan.
Hampir segala urusan akademik saya dilakukan dalam bahasa Inggeris.
Antara perubahan paling ketara yang saya sedari ialah apabila saya tahu apa yang ingin saya katakan dalam bahasa Melayu, tetapi mengambil masa untuk mencari perkataan yang tepat.
Dalam keadaan seperti itu, saya biasanya beralih kepada bahasa Inggeris kerana tidak mahu maksud yang ingin disampaikan hilang atau menjadi kurang jelas.
Peralihan antara kedua-dua bahasa ini bukan kerana saya tidak mahu menggunakan bahasa Melayu.
Sebaliknya, bahasa Inggeris membolehkan saya menyampaikan sesuatu dengan lebih tepat dan cepat.
Sejak di sekolah rendah lagi, kebanyakan tugasan, pembentangan dan perbincangan kumpulan saya dilakukan dalam bahasa Inggeris.
Di universiti, rakan sekumpulan saya pula datang daripada pelbagai latar belakang etnik, menjadikan bahasa Inggeris bahasa bersama yang lebih mudah digunakan oleh semua.
Semakin lama saya berada dalam persekitaran sebegini, semakin kurang pula peluang saya menggunakan bahasa Melayu.
Namun, saya perlu sengaja mencari ruang untuk menggunakannya, misalnya ketika bermain futsal bersama rakan Melayu atau semasa bermain permainan video.
Namun begitu, bahasa Melayu masih mempunyai rasa dekat yang tersendiri bagi saya.
Apabila ibu saya bertanya, ‘Dah makan? Nak beli makanan?’, soalan itu terasa lebih mesra dan penuh perhatian berbanding jika dituturkan dalam bahasa Inggeris.
Begitu juga ungkapan seperti ‘merepek lah’, yang mempunyai nada bergurau atau mengusik yang sukar disampaikan dengan cara yang sama dalam bahasa Inggeris.
Ungkapan seperti ini terasa lebih dekat kerana itulah bahasa yang saya dengar daripada ibu bapa dan saudara-mara sejak kecil.
Sebab itu, antara perkara yang sering saya fikirkan ialah sama ada saya mampu mewariskan bahasa Melayu kepada anak-anak saya kelak.
Bagi saya, bahasa bukan sekadar cara untuk berkomunikasi, tetapi turut membawa budaya dan nilai yang menghubungkan saya dengan keluarga, masyarakat serta sejarah Singapura.
Sebagai sebahagian daripada masyarakat Melayu yang merupakan golongan minoriti di Singapura, saya rasa penting untuk terus mengekalkan bahasa ini kerana ia merupakan sebahagian daripada jati diri kita.
Pada masa yang sama, bahasa Melayu juga mempunyai tempat dalam identiti kita sebagai rakyat Singapura.
Setiap kali lagu kebangsaan dinyanyikan, terutama pada sambutan Hari Kebangsaan atau majlis sekolah, seluruh rakyat Singapura menyanyikannya dalam bahasa Melayu tanpa mengira kaum.
Bagi saya, ada sesuatu yang istimewa tentang sebuah bahasa yang pada masa yang sama menghubungkan saya kepada identiti saya sebagai orang Melayu Singapura, dan juga kepada identiti kita bersama sebagai rakyat Singapura.
Sebab itu, saya tidak mahu bahasa Melayu akhirnya menjadi bahasa yang hanya saya fahami tetapi semakin tidak mampu saya tuturkan.
Bagaimanapun, saya tidak fikir seseorang yang kurang fasih patut berasa bahawa dirinya ‘tidak cukup Melayu’.
Yang penting ialah kita terus mencari ruang untuk menggunakan bahasa Melayu pada tahap yang kita mampu.
Penguasaan itu boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa, dan bagi saya, itulah salah satu cara kita membawa bahasa serta jati diri Melayu kepada generasi seterusnya.
– Encik Irsyad Abdul Rahim, 25 tahun, mahasiswa Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
*Artikel ini ditulis oleh wartawan berdasarkan temubual dengan Encik Irsyad Abdul Rahim.
