Suasana rumah saya jarang sunyi daripada celoteh dua anak lelaki saya yang berusia empat dan sembilan tahun.

Ada sahaja topik mereka, sama ada tentang kegiatan di sekolah atau sekadar menyakat dan ketawa bersama.

Dalam keriuhan itu, jelas mereka menggunakan dua bahasa – Melayu atau Inggeris – yang ditetapkan saya dan isteri saya, Nur Fajrina Abdul Rashid.

Secara spontan, kededua bahasa berselang-seli seperti yang dilakukan kebanyakan keluarga muda Melayu di Singapura.

Namun, terdapat detik yang membuatkan saya termenung sejenak.

Pada satu ketika, anak kedua saya, Muhammad Hulaif Muhammad Hydil, pernah teragak-agak dan kurang lancar menyusun ayat dalam bahasa Melayu.

Kami boleh membantunya membina ayat yang diinginkan itu, tetapi di celah kesibukan harian saya bersama isteri, seorang ejen rumah, terbit satu kesedaran.

Sebenarnya, bukan mudah untuk memupuk kefahaman bahasa ibunda dalam diri anak-anak.

Pasangan suami isteri, Encik Muhammad Hydil Jamil, dan Cik Nur Fajrina Abdul Rashid, mengakui cabaran dalam memupuk kefahaman bahasa ibunda dalam diri anak-anak.
Pasangan suami isteri, Encik Muhammad Hydil Jamil, dan Cik Nur Fajrina Abdul Rashid, mengakui cabaran dalam memupuk kefahaman bahasa ibunda dalam diri anak-anak. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Dahulu, apabila mereka menanyakan maksud sesuatu perkataan, jalan paling mudah buat kami adalah dengan memberi jawapan atau padanannya dalam bahasa Inggeris.

Namun, kami sedar bahawa jalan pintas sebegitu tidak akan memperkukuh penguasaan bahasa mereka.

Kini, kami mengambil pendekatan untuk menerangkan maksud sesuatu perkataan itu dalam bahasa Melayu agar mereka benar-benar memahami konteks dan maknanya.

Inilah antara langkah kecil yang kami usahakan demi memperkasa bahasa Melayu dalam diri kededua anak kami, di tengah-tengah dunia dan persekitaran yang didominasi bahasa Inggeris.

Pendedahan kedua-dua anak saya terhadap bahasa Melayu ada jalannya yang tersendiri.

Si abang, Muhammad Hafiy Muhammad Hydil, bernasib baik kerana zaman awalnya disirami kasih arwah nenek moyangnya, Allahyarhamha Rosna Roslan, atau lebih mesra dipanggilnya ‘Yut’ –singkatan bagi ‘Buyut’, yang merupakan arwah nenek isteri saya.

Hampir lima tahun berkongsi bumbung dan menjadi ‘sahabat karib’ kepada arwah Yut sebelum beliau meninggal dunia pada 2022, perbualan harian antara mereka dalam bahasa Melayu telah menyuburkan penggunaan bahasa itu dalam diri Hafiy secara semula jadi.

Berbeza pula dengan si adik, Muhammad Hulaif, yang tidak berpeluang berjumpa dengan arwah Yut.

Walaupun dia peka dan faham perkataan Melayu yang kami gunakan, lidahnya kadangkala secara spontan akan menjawab dalam bahasa Inggeris.

Sebelum ini, dia kerap menterjemah perkataan Inggeris secara langsung ke bahasa Melayu.

Antaranya, ayat ‘my eyes’ akan diterjemahnya sebagai ‘saya mata’!

Ia memang perkara yang comel dan lucu, tetapi kami tetap perlu membetulkannya.

Encik Muhammad Hydil Jamil (kiri) bersama isteri, Cik Nur Fajrina Abdul Rashid (kanan), dan anak-anak mereka,  Muhammad Hafiy Muhammad Hydil (tengah) dan Muhammad Hulaif Muhammad Hydil.
Encik Muhammad Hydil Jamil (kiri) bersama isteri, Cik Nur Fajrina Abdul Rashid (kanan), dan anak-anak mereka, Muhammad Hafiy Muhammad Hydil (tengah) dan Muhammad Hulaif Muhammad Hydil. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Bagi membantu Hulaif bertutur dalam bahasa Melayu, kami membelikannya pelbagai buku cerita serta mendedahkannya kepada cerita animasi, Upin & Ipin.

Isteri saya mendapati animasi tersebut banyak membantu perkembangan bahasanya kerana dialog yang santai dan mudah difahami.

Selain itu, persekitaran tadikanya di Masjid Al-Ansar yang menggunakan bahasa Melayu turut memainkan peranan penting.

Sementara itu, untuk si abang, pendekatan kami seperti kebanyakan ibu bapa lain di Singapura – membelikannya buku latihan bagi mengasah kemahiran dan kosa katanya.

Pasangan suami isteri, Encik Muhammad Hydil Jamil, dan Cik Nur Fajrina Abdul Rashid, membelikan buku latihan bahasa Melayu buat anaknya, Muhammad Hafiy Muhammad Hydil, bagi mengasah kemahiran dan kosa katanya.
Pasangan suami isteri, Encik Muhammad Hydil Jamil, dan Cik Nur Fajrina Abdul Rashid, membelikan buku latihan bahasa Melayu buat anaknya, Muhammad Hafiy Muhammad Hydil, bagi mengasah kemahiran dan kosa katanya. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Kami enggan menjadikan bahasa Melayu satu bebanan akademik buat anak-anak kami.

Sebagai seorang jurubahasa bahasa Melayu, saya pernah mencuba peraturan ketat sehari suntuk berbahasa Melayu setiap minggu.

Namun, ia hanya mengundang tekanan buat mereka.

Sebaliknya, kami membuka pintu bahasa melalui keindahan seni dan budaya.

Memandangkan saya juga merupakan Presiden bagi Persekutuan Dikir Barat Singapura dan sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya mendedahkan anak-anak, terutamanya anak sulung saya, Hafiy, kepada seni tersebut.

Saya melihat usaha ini berjaya mencungkil minat dalam dirinya, kerana dia kerap mendengar lagu dikir barat secara sendiri.

Bukan itu sahaja, lebih membanggakan ialah apabila dia sendiri mencatat seni kata lagu dikir barat dan menterjemahkannya ke bahasa Inggeris.

Kami juga membawa anak-anak kami ke acara budaya, termasuk Pesta Raya, simposium bahasa di Suntec City dan Singapore Expo, dan acara yang mengandungi sesi penceritaan interaktif.

Semua pendedahan ini berjaya mencetus rasa ingin tahu dalam diri mereka, membuatkan mereka tertanya-tanya dan ingin meneroka lebih mendalam.

Walaupun mereka secara perlahan sedang cuba bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu di rumah, usaha sebegini memastikan mereka tidak terasing daripada budaya sendiri, sekali gus mengekalkan jati diri kemelayuan dalam jiwa mereka.

– Encik Muhammad Hydil Jamil, 37 tahun,
Presiden Persekutuan Dikir Barat Singapura.

*Artikel ini ditulis oleh wartawan berdasarkan wawancara dengan Encik Muhammad Hydil Jamil.