Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Memilih pelbagai pilihan... termasuk dalam menyemarakkan bahasa

Sep 3, 2023 | 5:30 AM
TAMPILKAN DIRI SEBAGAI CALON: Tiga calon presiden, Encik Ng Kok Song (kiri), Encik Tharman Shanmugaratnam dan Encik Tan Kin Lian memberi pandangan mengenai pelbagai isu dalam satu forum untuk membolehkan para pengundi menilai dan membuat pilihan memilih calon bagi Presiden kesembilan Singapura.
TAMPILKAN DIRI SEBAGAI CALON: Tiga calon presiden, Encik Ng Kok Song (kiri), Encik Tharman Shanmugaratnam dan Encik Tan Kin Lian memberi pandangan mengenai pelbagai isu dalam satu forum untuk membolehkan para pengundi menilai dan membuat pilihan memilih calon bagi Presiden kesembilan Singapura. - Foto ST

Rakyat Singapura telah membuat pilihan dengan memilih mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, 66 tahun, dengan undi yang meyakinkan, sebagai presiden kesembilan negara ini pada Jumaat.

Dengan pemilihan itu, Singapura akan diterajui Encik Tharman sebagai ketua negara untuk enam tahun akan datang sebelum ke kotak undi lagi enam tahun dari sekarang, jika perlu, untuk membuat pilihan bagi penggal enam tahun selanjutnya.

Perkataan pilih ini menarik. Daripada perkataan ini, terbit perkataan memilih dan pilihan – memilih calon dalam Pilihan Raya Presiden.

Selain Pilihan Raya Presiden, Singapura juga ada Pilihan Raya Umum untuk memilih wakil rakyat sebagai Anggota Parlimen (AP) setiap sekitar lima tahun atau lebih awal.

Pilihan raya adalah satu daripada ciri negara yang mengamalkan sistem demokrasi dalam pembentukan pemerintah – memberi hak kepada rakyat membuat pilihan parti mana, atau pemimpin mana yang akan menerajui negara.

Setiap warga yang berusia 21 tahun ke atas diberi hak mengundi untuk memilih wakil mereka.

Banyak negara yang mengamalkan demokrasi melaksanakan sistem serupa, dengan beberapa variasi.

Di negara jiran Malaysia misalnya, di samping ada Pilihan Raya Umum memilih wakil rakyat atau Anggota Parlimen, terdapat juga pilihan raya peringkat negeri, memilih wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) – seperti yang baru berlalu di enam negeri, dan akan diadakan lagi di dua pilihan raya bagi Parlimen kawasan Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor, pada 9 September.

BUAT PILIHAN

Namun, soal membuat pilihan ini tidak terbatas pada memilih pemimpin sahaja.

Setiap kita buat pelbagai pilihan penting dalam kehidupan, dari masa ke masa – pilihan kecil, sederhana dan besar.

Malah, sedar atau tidak, ramai daripada kita membuat pilihan setiap hari dalam banyak perkara; pilihan kecil seperti pilih baju apa ke pejabat, warna apa; pilih mahu makan apa, di mana; pilih nak tengok program televisyen apa dan pelbagai perkara yang perlukan diri membuat pilihan, walau kecil.

Para pelajar juga buat banyak pilihan di pelbagai proses pembelajaran – pilih mata pelajaran apa yang mahu diambil semasa di sekolah menengah; pilih mahu ke mana selepas sekolah – ke politeknik, maktab rendah, atau kerja; mahu pilih jurusan apa jika dapat masuk ke pusat pengajian tinggi; mahu pilih kerja apa kelak, dan sebagainya.

Pilihan besar, antara lain termasuk dalam soal pilih kerja yang sesuai; pilih pasangan hidup; pilih lokasi, saiz dan harga rumah; pilih nama sesuai semasa dapat anak; pilih barang dan kenderaan yang mahu dibeli; dan pilih pelbagai pilihan dalam kelangsungan hidup.

Semua pilihan yang dibuat di pelbagai peringkat kehidupan mempunyai implikasi lanjut.

Dan sama ada pilihan yang dibuat itu mendatangkan kebaikan atau sebaliknya bergantung pada banyak perkara – antaranya bergantung pada faktor yang dipertimbangkan dalam membuat pilihan dan langkah yang diambil berkaitan dengan pilihan yang dibuat.

Misalnya, dalam pemilihan pasangan hidup, apakah yang menjadi pertimbangan – paras rupa, akhlak dan keperibadian, pegangan agama, kedudukan atau pertimbangan lain, dan sebagainya – dan setiap pilihan itu mempunyai implikasi tersendiri.

Contoh lain ialah bagaimana cara kita buat pilihan menjalankan kehidupan – mahu sihat atau tidak; mahu senang dan selesa atau tidak; mahu berjaya atau tidak. Walaupun jawapan agak jelas – semua orang mahu sihat, senang dan selesa, dan berjaya -- ia bergantung pada tindakan atau langkah susulan terhadap pilihan yang dibuat.

Misalnya, kalau kita memilih untuk sihat, ia perlukan penjagaan makanan, senaman, pemeriksaan kesihatan; jika mahu senang dan selesa, ia perlukan kesungguhan memastikan sentiasa relevan dengan keadaan dan keperluan semasa, dengan mempunyai kelayakan dan kemahiran yang diperlukan; dan jika mahu berjaya, ia memerlukan beberapa bentuk pengorbanan.

Pilihan bukan sahaja di buat di peringkat peribadi dan keluarga, malah dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk ekonomi dan perniagaan, sosial, sukan dan malah pemerintahan.

Syarikat misalnya akan membuat pemilihan dalam pengambilan kaki tangan, dalam memilih jenis perniagaan dan pelbagai keputusan; jurulatih akan membuat pilihan anggota pasukan yang bakal diturunkan dalam setiap perlawanan; persatuan pilih jenis kegiatan yang dilaksanakan; pemerintah memilih pemimpin dan membuat pelbagai pilihan dalam menangani pelbagai keadaan.

Dan sebagainya.

BEBERAPA ISTILAH

Dalam perbendaharaan bahasa, perkataan pilih yang digandingkan dengan perkataan lain menggambarkan keadaan tertentu.

Ungkapan pilih bulu misalnya menggambarkan sikap memandang pada kedudukan bangsa dan/atau keturunan.

Pilih kasih pula bermakna mengasihi seseorang lebih daripada yang lain atau memihak kepada sesuatu mengikut kecenderungannya, dan boleh juga bermakna berat sebelah dalam membuat sesuatu keputusan.

Pilih orang ialah perbuatan melakukan pilihan, ada kala berbaur sindiran – seperti Encik Ali pilih orang yang mahu diundang dalam majlis perkahwinan anaknya di hotel besar.

Sikap memilih ialah sikap yang memandang atau melihat kedudukan orang. Ia juga boleh bermakna sikap cerewet.

Ungkapan pilih aku atau dia sering menjadi ungkapan yang memaksa seseorang membuat keputusan – seperti memilih satu daripada dua orang yang dicintai.

DARI SUDUT AGAMA

Dalam hidup kini kena buat banyak pilihan dalam pengamalan agama; pilih hendak jadi baik atau tidak; hendak amalkan yang wajib dengan tekun atau tidak; hendak memperbanyak amalan sunah atau tidak; hendak senang di dunia dah akhirat atau tidak.

Antara lain, ayat Al-Quran menyatakan: “Maka (Allah) mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya; dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya...” (Al-Syams, 8-10).

Ia ayat yang menggambarkan pilihan yang diberi kepada hamba bagaimana menjalankan kehidupan, dan pilihan itu akan mendatangkan keuntungan atau kerugian.

Dosa dan pahala ada kaitan dengan pilihan kita dalam pelbagai tindakan.

Lantaran itu, adalah penting kita tahu pelbagai pilihan yang ada dalam kehidupan, meneliti pilihan-pilihan yang ada, dan berusaha memastikan kita membuat pilihan yang betul.

Pilihan dalam hiduplah akan mencorakkan siapa kita, bagaimana dan ke mana hidup kita.

Setiap kita akan dipertanggungjawabkan atas pilihan yang dibuat.

Pilihan-pilihan itu mesti dibuat semasa hayat masih dikandung badan.

Setelah meninggal, tidak ada pilihan dan tidak lagi boleh memilih... hanya menanti dihisab berhubung pilihan yang kita buat semasa hayat dan perlakuan yang berkaitan dengannya.

BERIMBUHAN

Berpilih-pilih bermakna memilih atau melakukan pilihan dengan teliti.

Memilih ialah membuat keputusan berdasarkan keinginan dan kecenderungan diri – seperti memilih pasangan hidup, memilih calon pilihan raya, memilih lokasi rumah, memilih pekerjaan dan sebagainya.

Ungkapan tidak memilih memberi gambaran tidak meman­dang orang atau kedudukan seseorang – seperti Pak Ali tidak bersikap memilih tentang siapa yang akan mengahwini anak perempuannya.

Memilih juga juga bermakna mencari atau memisah­-misahkan sesuatu, misalnya dalam memisahkan beras daripada pulut yang tercampur.

Terpilih pula bermakna orang yang dipilih, atau sudah dipilih (Encik A terpilih sebagai presiden dalam pilihan raya itu). Ia boleh juga bermakna terkemuka.

Ia juga boleh bermakna memilih dengan tidak sengaja.

Pilihan ialah benda atau orang yang sudah dipilih, hasil daripada perbuatan memilih.

PERIBAHASA

Memilih sangat, terpilih buku bermakna lantaran terlampau sangat menghendaki yang baik, akhirnya mendapat yang buruk.

Diindang ditampi teras, dipilih antah satu-satu bermakna jika hendak mencari isteri, menantu atau pegawai hendaklah diusul periksa betul-betul supaya tidak tersalah pilih.

Pecak boleh dilayangkan, bulat boleh digulingkan bermakna telah benar-benar sepakat.

Jaras katanya raga jarang menggambarkan orang yang tiada ilmu kerap salah pilih.

KESIMPULAN

Begitulah luasnya perkataan pilih dalam gaya bahasa berhubung kehidupan.

Keupayaan kita memelihara, menghidupkan dan menyemarakkan bahasa Melayu bergantung pada pilihan kita sebagai pengguna bahasa untuk melazimkan atau lebih kerap menggunakannya atau tidak.

Apa yang penting ialah dalam membuat pilihan, ia harus dilakukan dengan berhati-hati, berdasarkan maklumat yang berasas dan dilakukan dengan pertimbangan yang wajar.

Jangan salah pilih atau tersilap memilih dalam membuat pilihan, kerana diri yang akan menanggung implikasi pilihan itu.

Salah pilih pasangan, hidup boleh merana; salah pilih pemimpin, hidup boleh porak peranda; dan salah pilihan dalam pelbagai urusan agama, tanggung akibatnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg