Subuh
5:36
Syuruk
6:52
Zuhur
12:56
Asar
4:02
Maghrib
6:58
Isyak
8:07
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Bahasa & Budaya
34
0

ESEI SASTERA

Mengenal dan Menghayati Puisi Sepintas Lalu

Jul 25, 2016 | 05:30 AM

"PUISI atau karangan berangkap khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya."

Inilah kata-kata yang disebut oleh Pendeta Za'ba.

Melalui bukunya Ilmu Mengarang Melayu beliau selanjutnya menulis: "Karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu."

Ciri-ciri terikat yang disebut Za'ba itu sememangnya ciri utama puisi klasik seperti pantun, syair, gurindam dan sebagainya.

Apabila membaca atau mendengarkannya, kita dapat merasakan 'rentak' dan 'irama' puisi itu. Contohnya:

Pantun:

yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang baik budi,
Yang indah bahasa.

Syair Perahu (satu petikan)

Wahai muda kenali dirimu,
Ialah perahu tamsil tubuhmu,
Tiadalah berapa lama hidupmu,
Ke akhirat jua kekal hidupmu.

Gurindam

Tiada siapa yang besar,
Tiada siapa yang tinggi
Tetap sama sedasar
Tidaklah berbeza lagi.

Sajak ialah puisi baharu. Puisi baharu bebas lepas dan tidak terikat oleh sebarang peraturan bentuk tradisional. Rangkap puisi baharu mungkin pendek, mungkin panjang seperti dalam sajak Kerana Kata dan Rumput-Rampai.

(1)

Kerana kata,
Yang mudah mengata,
Bukan mengotakan kata.

(Rohman Munasib - antologi Balada Seorang Penyair di Pentas Bangsanya)

(2)

rintik-rintik embun yang pasti turun
tidak bisa menghibur
apa pula menyubur
rumput-rumput di pinggiran
mati kerinduan
seniman
kehilangan
pegangan

(megadona - antologi Zuriat)

Kita dapat melihat kedua-dua puisi ini daripada sudut 'bentuk luarannya'. Puisi (1) terungkap dalam satu rangkap tiga baris yang berbentuk 'terzina'. Puisi (2) pula terungkap dalam satu rangkap lapan baris yang berbentuk 'stanza'.

Selain bentuk luaran, puisi dapat kita hayati daripada sudut bahasa atau imejan juga. Bahasanya mungkin mudah tetapi maksudnya luas tidak bertepi dan dalam sukar diselami. Penggunaan metafora, personifikasi mendorong kita membaca sajak bukan sahaja yang tersurat isinya, malah yang tersirat juga maknanya seperti dalam puisi Telur.

(3)

Yang di luar - tolong jangan ketuk
Yang di dalam - masih tafakur.

(Johar Buang - antologi Sahara)

Puisi mendorong kita menyingkap latar belakang penulis. Dengan membaca 'nada' puisi melalui pemilihan kata seseorang penulis, kita dapat menilai suara dan wajah hidupnya, pemikirannya, falsafah hidupnya, penguasaan bahasanya, sikapnya, peribadinya. Hayati sajak ini Derita Sudah Naik Seleher.

(4)

kaulemparkan aku dalam gelap
hingga hidupku menjadi gelap

engkau seksa aku sangat keras
hingga aku makin mengeras

engkau paksa aku hingga menunduk
tapi keputusan tambah menegak

darah sudah kautitiskan
dari bibirku

luka sudah kaubilurkan
ke sekujur tubuhku

cahaya sudah kurampas
dari biji matamu

derita sudah naik seleher
kau
menindas
sampai
di luar batas

(Wiji Thukul - AntologiAku Ingin Jadi Peluru)

Ada pula yang menikmati puisi kerana ingin mendalami amanat atau perutusannya. Puisi itu mungkin satu sindirin, penghinaan, nasihat, doa, dan sebagainya. Nikmati puisi Di Tengah Terang.

(5)

Apa lagi yang mahu dikejar
Di sebalik belukar
Sedang di tengah terang
Masih lagi kita tercakar-cakar

(Masuri SN - Antologi dalam Makna)

Puisi tidak memerlukan pemilihan kata yang sukar-sukar belaka. Puisi memerlukan bahasa yang mudah, indah dan berentak berirama umpama coretan puisi Pertemuan ini:

Bila tak ada kata untuk dikatakan lagi
Sedikit senyum 'kan jadi bulan dan matahari.

(Leon Agusta - Antologi Gendang Pengembara).

  • Penulis pesara guru Bahasa Melayu yang juga pernah menjadi penulis buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah di Pusat Pengembangan Kurikulum Singapura di Kementerian Pendidikan. Masih diundang menjadi penulis sambilan bagi tugas yang sama.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3