Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menonton wayang sama erat silaturahim bekas penduduk Pulau Sudong

May 27, 2025 | 4:23 PM
Bekas penduduk Pulau Sudong yang menyertai acara tayangan filem Gayong di GV Clementi.
Bekas penduduk Pulau Sudong yang menyertai acara tayangan filem Gayong di GV Clementi. - Foto QURNIA JEFFREY

Dalam usaha mengangkat dan memartabatkan budaya, seorang guru telah menaja sekumpulan bekas penduduk Pulau Sudong untuk menonton satu tayangan khas filem berjudul Gayong pada 23 Mei lalu — sehari selepas tayangannya di pawagam tempatan.

Cik Asnida Daud, yang merupakan seorang Pakar Kanan Reka Bentuk Media untuk Pembelajaran di Kementerian Pendidikan (MOE), menaja sehingga 50 bekas penduduk pulau tersebut untuk menonton filem itu kerana ramai di antara mereka merupakan pengamal silat gayong.

Acara yang berlangsung di pawagam Golden Village, Clementi itu merupakan lokasi yang memberi penuh erti kepada ramai bekas penduduk Pulau Sudong.

Sebabnya ramai daripada mereka kini menetap di kawasan Clementi selepas dipindahkan dari pulau tersebut beberapa dekad lalu.

Tayangan tersebut menghimpunkan sekitar 50 individu, terdiri daripada bekas penduduk Pulau Sudong, anak cucu mereka, selain beberapa sasterawan tempatan, serta beberapa bekas murid Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman, yang merupakan pengasas silat gayong. Watak Allahyarham Dato’ Meor dihidupkan dan menjadi teras filem biopik tersebut.

Untuk menjayakan inisiatif ini, Cik Asnida telah menggunakan platform media sosial, khususnya Facebook, bagi menghubungi semula bekas penduduk Pulau Sudong serta waris mereka sebelum menulis kepada pawagam GV Clementi untuk menempah sebanyak 50 keping tiket.

Inisiatif ini menjadi lebih bermakna bagi Cik Asnida disebabkan latar belakang peribadi beliau sendiri yang merupakan keturunan penduduk Pulau Sudong dan cicit kepada Allahyarham Wak Kusang — seorang pesilat dan murid Dato’ Meor juga, dan turut diketengahkan sebagai salah satu watak dalam filem tersebut.

Ramai dalam kalangan yang hadir tampil anggun mengenakan busana tradisional Melayu sebagai tanda sokongan terhadap filem tersebut serta penghormatan kepada warisan keluarga dan budaya silat yang telah menjadi sebahagian besar daripada identiti mereka.

Menurut beberapa hadirin, mereka tersentuh menonton filem Gayong kerana jalan ceritanya begitu dekat di hati dan mengingatkan mereka kepada zaman silam.

Ada yang berkata bahawa babak-babak tertentu mencerminkan kisah keluarga mereka, sekaligus membangkitkan rasa rindu dan kebanggaan terhadap akar budaya yang pernah mereka alami secara langsung.

Semasa dihubungi, Cik Asnida berkata:

“Saya menaja tayangan ini dengan harapan ia dapat merapatkan semula hubungan dalam kalangan bekas penduduk Pulau Sudong dan waris mereka. Filem ini bukan sahaja mencerminkan warisan silat gayong, tetapi juga menghidupkan semula kenangan yang kami kongsi sebagai satu komuniti.”

Selain tayangan di Clementi, satu lagi sesi menonton turut diadakan di Golden Village Yishun atas inisiatif Perguruan Silat Seni Gayong Singapura.

Wakil perguruan silat tersebut, Cik Isiah Majid — setiausaha dan guru kanan persatuan tersebut berkata sesi itu menyaksikan kehadiran ramai pengamal silat gayong yang berusia 18 hingga 63 tahun daripada persatuannya.

Inisiatif ini dianjurkan bagi menunjukkan sokongan terhadap filem tempatan tersebut dan memperkukuh semangat persilatan dalam kalangan generasi kini. 

Perguruan Silat Seni Gayong Singapura menonton filem Gayong di GV Yishun
Perguruan Silat Seni Gayong Singapura menonton filem Gayong di GV Yishun - Foto ISIAH MAJID

“Filem ini telah membangkitkan semangat baru dalam kalangan pengamal silat gayong. Ia mengingatkan kita tentang pentingnya menghargai dan meneruskan legasi budaya yang telah diwarisi sejak sekian lama,”  kata Cik Isiah. 

Ramai antara mereka masih aktif dalam gelanggang silat dan menganggap filem Gayong sebagai satu wadah penting untuk mendokumentasikan dan mengangkat perjuangan serta nilai seni mempertahankan diri warisan Melayu.  

Harapan besar kini tertumpu kepada generasi muda untuk lebih menghargai dan meneruskan seni persilatan ini, agar ia tidak hanya menjadi kenangan, tetapi terus hidup dan berkembang dalam masyarakat kita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg