KUALA LUMPUR: Filem Gayong terbitan SOL Pictures bakal menembusi pasaran antarabangsa apabila dijadual ditayangkan di 33 negara di Amerika Latin.
Penerbit filem tersebut, Eric Ong, berkata perancangan itu bermula apabila wakil pemasaran antarabangsa di bawah syarikatnya yang berada di Festival Filem Cannes bertemu dengan pihak yang berminat dengan filem berkenaan, lapor Berita Harian Malaysia.
“Wakil pemasaran kami, Movie Move, berjaya mendapatkan pembeli dari Amerika Latin, di mana mereka sangat berminat dengan filem berunsur seni mempertahankan diri Asia termasuk silat.
“Mereka ternyata tertarik dengan filem Gayong dan menganggap ia naskhah yang menarik dan mutu penerbitannya begitu baik,” katanya.
Gayong adalah filem diinspirasikan daripada kisah mahaguru dan pengasas silat Gayong, iaitu Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman.
Filem arahan Faisal Ishak itu dibintangi pelakon popular seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip serta pelakon kelahiran Indonesia, Yayan Ruhian.
Dalam pada itu, Eric memberitahu pihaknya masih menunggu kontrak perjanjian antara kedua-dua pihak yang kini masih dalam proses untuk disiapkan.
Katanya, dalam perjanjian yang bakal dibuat, tayangan filem Gayong hanyalah untuk platform penstriman dan tidak merangkumi tayangan di pawagam.
“Apa yang dimaklumkan kepada saya, ia adalah untuk tayangan OTT. Cuma, masih belum ada kata putus mengenai tarikh tayangan.
“Apapun, saya tetap berbangga apabila Gayong dapat menembusi pasaran Amerika Latin dan ia membuktikan filem tempatan serta seni bela diri juga mempunyai nilai tersendiri dan dikagumi di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Gayong ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei sejak 8 Mei, manakala tayangan di Singapura bermula 22 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg