Segalanya bagai mimpi buat anak seni yang mulanya berlakon dan kini lebih kerap dilihat menyanyi di kaca televisyen dan ‘gig’ untuk awam, Suryana Norddin.
Apa tidaknya? Jika dahulu, beliau kelihatan menyerikan pementasan teater kanak-kanak Teater Kami, Suryana, 32 tahun, bertuah dapat berkongsi pentas dengan nama besar di seberang Tambak, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Yusni Hamid, dalam dua konsert berbeza di Esplanade.
Tiga tahun lalu, Suryana dilamar bagi Konsert Karya Agung Pak Ngah yang menampilkannya di pentas gah bersama Siti yang banyak mendendangkan lagu irama Melayu ciptaan Allahyarham Pak Ngah.
Bagi Konsert Simfoni Keroncong Nusantara sempena Pesta Raya anjuran Esplanade pada 2023 pula, secara tidak diduga, Suryana berduet dengan Yusni dalam lagu Kenang Daku Dalam Doamu.
Jauh perjalanan seni Suryana yang beberapa hari lalu terlibat dalam program televisyen Rayakustika 2023 sempena Hari Raya Haji.
Beliau menyatakan semuanya tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan pengorbanan ibu bapanya, Encik Mohd Norddin Hussin, 73 tahun, dan Cik Norliah Mansor, 66 tahun.
Dalam pertemuan Berita Minggu bersama Suryana di Studio Mediacorp, beliau berkata:
“Awalnya memang mak saya tak berapa suka dan menggalakkan apabila saya sertai bidang lakonan dan pementasan teater. Mungkin kerana beliau kurang peka apa itu teater. Saya pulang lewat dari latihan dan ini merisaukan mak.
“Justeru, apabila saya beralih ke bidang nyanyian, mak lebih lega sebab dia risaukan keadaan saya yang banyak meluangkan masa dek komitmen kerja pentas yang lebih menuntut masa saya.
“Ibu bapa saya tidak begitu memahami apa sebenarnya yang merangkumi seni pentas. Mereka tahu di Politeknik Temasek, saya masuk Kelab Drama tetapi tidak begitu faham teater abstrak dan apabila saya kemudian bergiat aktif dengan Teater Kami dan berkecimpung dalam teater kanak-kanak, mak tanya cerita kanak-kanak apa yang kau jayakan?
“Susah nak jelaskan apa saya buat dalam teater seperti menghafal dialog kepadanya. Dia akan tanya panjang ke dialog tu dan sebagainya. Bagaimanapun, saya gembira dan bersyukur apabila ibu bapa saya datang menonton saya membuat persembahan. Sekarang ini, saya lebih banyak menyanyi dan mereka pun gembira rezeki saya bertambah dalam bidang ini.”
Menurut Suryana, ibu bapanya jarang menunjukkan kasih sayang secara terbuka kepadanya. Awal-awal terlibat dalam seni, Suryana juga tidak pernah berkongsi banyak mengenai pergerakan seni yang diusahakan kerana tahu ibunya tidak begitu menggalakkan penyertaannya dalam dunia teater.
“Bagi saya, pengorbanan mereka dalam membesarkan kami empat beradik amat saya hargai. Lebih-lebih lagi apabila melihat kesungguhan bapa saya bekerja sampai ambil tiga pekerjaan sekali gus dahulu dalam sektor pembersihan yang beliau lama ceburi untuk menyekolahkan kami dan hantar saya sampai ke universiti.
“Di sekolah, saya teroka minat dalam dunia lakonan dan kemudian mengasah bakat dalam nyanyian. Bapa saya bermula sebagai pekerja pembersihan dan kemudian menyelia pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Changi...kemudian bergegas ke tempat lain seperti kawasan kejiranan dan pusat membeli-belah untuk uruskan kerja pembersihan.
“Sampai sekarang, pada usia 70-an tahun, beliau masih bertungkus-lumus bekerja dengan ikatan kontrak kerana tidak selesa duduk berehat tanpa bikin apa-apa kerja,” tambahnya.
Encik Mohd Norddin hanya berhenti melakukan pelbagai kerja sesudah dilanda kemalangan jalan raya di mana skuter yang ditunggang dirempuh sebuah teksi.
“Masa tu, bapa saya sampai patah tulang paha, remuk kepala lutut dan pipi kanannya dek kemalangan itu. Sejak itu, beliau hanya mengekalkan tugas di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan lama berehat daripada tugas lain kerana cedera parah,” ujar Suryana.
Hingga ke hari ini, Suryana yang memiliki ijazah reka bentuk perhubungan daripada Institut Teknologi Singapura (SIT)-Sekolah Seni Glasgow, masih rasa dibuai mimpi apabila penglibatan kecil-kecilannya dalam teater dan nyanyian membuka rezeki untuk berganding dengan penyanyi terkenal dari seberang.
“Saya cuma penyanyi orang kahwin. Kecil sangat diri saya berbanding dengan artis lain di pentas konsert keroncong itu. Jamilah Abu Bakar yang digandingkan dengan saya lebih muda daripada saya tetapi beliau ahli akademik, belajar muzik di Maktab Muzik Berklee, dan banyak mengkaji irama keroncong.
“Berduet dengan Datuk Yusni pun buat saya menggeletar. Mulanya saya bikin gaya saya tetapi sejurus dengar beliau nyanyi, saya macam kaku sampaikan Abang Rudy Djoe selaku pengarah kreatif minta saya bawa bertenang.
“Apa yang saya hargai adalah kerendahan hati Datuk Yusni yang ramah dan tidak lokek ilmu. Beliau tenang dan penyampaiannya bagai air yang jernih mengalir. Kata-kata perangsangnya agar saya teruskan usaha saya kerana beliau suka lihat semangat anak muda menjiwai irama tradisional dan keroncong ‘melekat’ di sanubari saya sampai bila-bila,” ujar Suryana yang sudah merakam lagu duet Tandak Tak Tanya bersama Fadhli Ramlee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg