Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Sesak... padat dengan makna

Jul 02, 2023 | 05:30 AM



Setiap kali musim cuti sekolah, dan apabila ada hari cuti yang bergandingan atau hampir berganding dengan hujung minggu, perkara yang sering berlaku ialah kesesakan trafik di kededua Pusat Pemeriksaan Imigresen di Woodlands dan Tuas.


Sejajar dengan itu, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) biasanya mengeluarkan kenyataan mengenainya dan memberitahu para pemandu yang merancang menggunakan laluan itu menjangka masa menunggu bagi proses pemeriksaan imigresen lebih lama daripada biasa.

Dan sempena sambutan Aidiladha pada Khamis lalu, keadaan sesak dijangka berlaku di haluan ke kededua pusat pemeriksaan Imigresen dari 28 Jun hingga 3 Julai.


Dari segi bahasa, perkataan menarik dalam konteks ini ialah sesak.


Sesak menggambarkan keadaan yang padat, terlalu penuh hingga menyempitkan.


Dan sesak dipadankan dengan beberapa keadaan.


SESAK TRAFIK

Satu daripadanya ialah sesak yang berkaitan dengan keadaan lalulintas atau trafik – dalam bahasa Inggeris ialah heavy traffic atau congestion – keadaan jalan yang terlalu banyak kenderaan sehingga perjalanan menjadi tersekat-sekat, seperti keadaan yang dijangkakan di dua pusat pemeriksaan imigresen sempena musim cuti.


Selain di dua pusat pemeriksaan itu, kesesakan lalu lintas biasa terjadi di banyak jalan pada waktu pagi dengan ramai yang berpusu-pusu ke tempat kerja dan pada waktu petang dengan ramai pula berpusu-pusu pulang.


Lalu lintas menjadi lebih sesak, termasuk di ekspreswe, apabila berlaku berlaku kemalangan.


Trafik juga biasanya sesak di beberapa kawasan semasa sambutan sesuatu acara atau perayaan.


SESAK MANUSIA

Selain lalu lintas, sesak juga menggambarkan dengan ramainya manusia sehingga keadaan terasa sempit dan padat.


Antara contoh:

Keadaan di keliling Kaabah terlalu sesak dan sendat dengan jemaah yang mahu melakukan tawaf haji.


Banyak masjid biasanya sesak dengan jemaah untuk mendirikan solat Hari Raya sehingga dua sesi solat itu diadakan bagi memenuhi keperluan.


Bazar biasanya sesak dengan manusia beberapa hari menjelang Hari Raya dan menjadi amat sesak pada malam Hari Raya sehingga menimbulkan kesukaran bagi pengunjung berjalan dari gerai ke gerai.


Atau bilik penulis itu kelihatan sempit kerana sesak dengan rak buku pelbagai koleksi penulisan.


Bersesak-sesak menggambarkan keadaan berasak-asak, berhimpit-himpit.


Misalnya orang ramai bersesak-sesak di gedung itu yang menawarkan tawaran diskaun sehingga sehingga 90 peratus.


Bas atau kereta api penuh sesak bermakna padat atau sarat dengan penumpang sehingga berhimpit-himpit.


SESAK NAFAS

Sesak juga digunakan dalam konteks pernafasan.


Sesak nafas ialah keadaan pernafasan yang tersumbat, tersendat atau tersekat – sukar bernafas kerana sebab seperti mengalami semput, kepenatan atau hidung tersumbat.


Orang yang mengalami semput akan sering diserang sesak nafas – kesukaran mengambil nafas atau menyedut udara.


Semput atau asma adalah penyakit sesak nafas yang boleh berpunca daripada alahan, selesema dan perubahan cuaca.


Beberapa contoh lain:

Semasa ruang udara dilanda jerebu, ramai orang mengadu berasa sesak nafas.


Bilik itu kecil tanpa pengaliran udara yang baik dipenuhi terlalu ramai orang sehingga terasa sesak nafas.


Walau sudah melakukan persiapan dan latihan yang cukup, para pendaki masih mengalami sesak nafas dan tercungap-cungap mendaki gunung bercerun tinggi; mereka lari lintang pukang sehingga sesak nafas, tercungap-cungap, dikejar anjing.


Menangis sesak ialah menangis teresak-esak atau tersedu-sedu.


HIDUP SESAK

Dalam konteks lain, sesak menggambarkan keadaan hidup – kesesakan hidup bermakna keperitan hidup atau hidup dalam kesempitan dan kepayahan.


Poket sesak tidak bermakna poket penuh atau padat dengan wang, sebaliknya bererti poket kosong.


Contoh lain, enam adik-beradik itu hidup sesak sejak ibu bapa mereka meninggal dalam kemalangan; pasangan lanjut usia itu hidup sendirian dalam keadaan sesak ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.


Atau ketua kampung itu mengambil berat keadaan hidup penduduk di kampungnya, terutama mereka yang menghadapi kesesakan dan cabaran hidup.


BEBERAPA PERIBAHASA

Terdapat beberapa peribahasa yang menggambarkan keadaan sesak. Antaranya:


Seperti ayam termakan rambut adalah mengenai bunyi nafas yang sesak.


Sesak berundur-undur, hendak lari malu, hendak menghambat tak lalu adalah mengenai orang yang tidak dapat melawan seseorang tetapi kerana malunya dilawannya juga.


Lah sesak alam tempat diam, tak berbumi tempat tegak bermakna mendapat malu besar, sehingga tak ada tempat untuk menyembunyikan muka.


Sesak padang ke tebing (ke rimba) bermakna habis akal bicara hingga tidak ada daya upaya lagi.


Sesak bagai ular tidur adalah mengenai orang yang dalam kesempitan kerana ditagih hutang dan sebagainya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >