Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Muafakat bawa berkat

Aug 07, 2017 | 05:30 AM



MEMANG sudah menjadi lumrah, hujan dan angin dan angin kencang akan melanda banyak tempat dan negeri pada musim tengkujuh.



Habuan Ilahi pada musim ini sangat luar biasa. Beberapa negeri dan negara telah dilanda banjir dan ribut kencang secara langsung dan secara tempias sahaja.



Terdapat juga beberapa angin puting beliung bersimpang-siur membadai laut di persisiran pantai tersesat ke kawasan darat yang berhampiran



Beberapa batang pokok sena, ketapang dan kelapa terbongkar dan rebah bertindih menindih.



Beberapa jenis semut berterbangan dan terpaksa berhijrah sekali lagi. Kalau dulu mereka terpaksa berhijrah akibat aktiviti pembangunan negara, sekarang mereka bertaburan oleh kehendak fenomena alam.



Cuaca yang tidak menentu kerana perubahan iklim. Semut api, semut gajah, semut merah, semut hitam, semut putih, semut kerengga dan semua serangga termasuk semua penghuni pokok-pokok sekitar pantai timur serta batang-batang rapuh di kawasan hutan mini buatan manusia berterbangan. Mereka hanya boleh berdoa sahaja agar nyawa mereka dapat diperpanjangkan Allah swt.



Banyak pokok yang dihuni beberapa jenis serangga juga menjadi sasaran termasuk sepohon pokok changi yang menjadi kemegahan Taman Riadah East Coast. Hampir semua sarang kerengga di beberapa cabang pokok berkenaan rosak dan terburai sehingga banyak kerengga terbunuh dan melayang diterbangkan angin kencang. Kebanyakan daripada kerengga sempat mencengkamkan kuku- kuku mereka pada daun-daun di dahan- dahan lain sementara menunggu angin yang bergelora reda. Pokok changi ini tetap berdiri gagah. Biarpun banyak daunnya berterbangan dibawa angin kencang. Bila angin mereda dan cuaca kembali aman pokok changi ini akan tetap berdiri tegak menghadap masa-masa hadapan demi mengekalkan baka.



Malangnya terdapat beberapa ekor kerengga yang sedang sibuk bekerja tidak dapat menyelamatkan diri daripada malapetaka ribut kencang itu. Semuanya berterbangan dibawa angin. Ada yang selamat dapat berpaut pada dahan-dahan di pokok-pokok berhampiran dan ada yang terpaksa melayang ke tempat-tempat yang jauh daripada kampung halamannya. Tiga ekor daripada kerengga-kerengga berkenaan yang sedang berpaut antara satu sama lain telah diterbangkan ke satu tempat yang sangat asing bagi mereka.



Mula-mula mereka sangat bersyukur kepada Allah swt. kerana terselamat daripada bencana terkorban. Mereka terdampar pada benteng sebuah busut di sebuah kawasan tanam-tanaman liar. Mereka berasa terselamat kerana mereka berada di sebuah kawasan yang jauh daripada tangan-tangan manusia gergasi yang suka menganiaya serangga seperti mereka. Mereka pun menarik nafas panjang sambil berehat untuk menghilangkan lelah masing-masing. Mereka terlena dan bermimpi.



Kerengga bergelar Si Muda bermimpi bahawa dia sedang berhijrah di satu kawasan yang penuh dengan acara-acara kegembiraan dan keamanan. Belum puas mereka terlena, kedengaran suara riuh daripada sepasukan tentera semut kecil berwarna perang kekuning-kuningan yang keluar dari busut buatan mereka.



"Kita diserang semut kerengga. Baik kita kerumuni mereka dan kita tawan ketiga-tiganya. Kemudian kita tarik mereka menghadap raja kita." Pekik ketua tentera semut kecil itu. Tanpa menunggu sesaat pun, pasukan tentera semut kecil itu pun berkejaran mengerumuni ketiga- tiga kerengga yang baru terjaga dari lena mereka. Mereka tidak dapat melawan walaupun kerengga-kerengga itu lebih besar daripada semut-semut perang kekuning-kuningan itu.



"Bagus! Kita sudah dapat menawan penceroboh. Pastikan kamu semua tidak memberi peluang kepada mereka bertindak dan jangan lepaskan mereka kerana mereka besar jadi kita beramai-ramai mesti pegang kuat-kuat. Biar aku pergi mengadu kepada raja kita dan mendapatkan perintah sama ada kita hendak bunuh mereka atau sebaliknya," perintah ketua tentera semut kecil lagi, sebelum bergegas ke pintu masuk busut mereka.



"Nampaknya kita sudah menjadi tawanan semut-semut kecil ini. Inilah yang dikatakan 'lepas dari mulut harimau masuk ke dalam mulut buaya'. Aku kira baiklah engkau berunding dengan ketua semut kecil ini bila dia datang nanti. Boleh jadi mereka akan lepaskan kita sebab kita juga sebangsa dengan mereka," cadang Si Muda kepada Si Li, apabila tersedar akan nasib yang mungkin dihadapinya.



"Tapi aku rasa agak susah untuk berunding dengan si ketua tu, sebab nampaknya dia tu sangat patuh kepada rajanya. Raja mereka pula tak ada di sini. Kita pula tak dapat bergerak," jawab Si Li.



"Kalau begitu kita berunding dengan si Ketua sajalah. Aku Nampak dia tu boleh dibawa berunding," bisik Si Lu kepada Si Li.



"Memang betul kata kamu tu, berunding tidak salah selagi kita bijak dan arif membuat tindakan, cadangan, sambil menggunakan kekata yang sopan serta dengan nada lemah lembut. Macam semut-semut putih yang berbaik-baik dengan kita semasa kita menghuni pokok changi tu dulu," sokong Si Muda pula untuk memberi semangat kepada Si Li menjadi jurucakap secara spontan.



"Aku juga terfikir begitu, malahan kita dan mereka jenis serangga yang sama. Cuma saiz badan kita saja yang agak lebih besar daripada mereka. Aku kira selagi kita tidak bertindak keras dan kasar, sebaliknya kita bertindak sopan, sudah tentu kita dapat berunding. Berunding dengan sopan tidak akan merugikan, lebih-lebih lagi kita gunakan cara diplomasi yang bijak, telus dan ikhlas." Begitulah pandangan Si Li yang bersedia mewakili mereka bertiga itu.



Ketika kerengga-kerengga itu berbincang sesama sendiri, ketua semut kecil yang bertindak sebagai jeneral tentera tergesa-gesa keluar dari pintu busut dengan tenang dan yakin. Pegangan semut- semut lain mengawal kerengga-kerengga itu pun bertambah kemas sambil menanti perintah. Walaupun mereka kecil, kawalan mereka tetap kukuh akibat kerjasama yang padu mereka lakukan itu. Sehingga kerengga-kerengga itu tidak dapat bergerak. Kerengga bertiga itu hanya mengalah dan berdiam diri agar nyawa mereka terselamat walaupun dalam kawalan semut-semut kecil itu.



"Wahai! Kawan-kawanku semua, raja kita memerintah supaya kita jadikan kerengga-kerengga ini tawanan kita dan kita perlu lakukannya dengan bijaksana. Seperti biasa raja kita perintahkan aku supaya membuat tindakan yang arif dan bijak untuk menanganinya. Apa pendapat kamu semua? Aku pula beri kamu peluang untuk sama-sama memikirkannya," perintah si jeneral setelah berdiri di satu bahagian yang tinggi sedikit daripada semut-semut lain.



"Tuan jeneral, tadi saya dengar kerengga-kerengga ini berbisik-bisik sesama sendiri. Cuba tuan jeneral tanyakan perkara yang mereka bisikkan itu. Mungkin juga kita boleh berbincang dengan mereka sebab mereka juga sejenis dengan kita. Cuma saiz dan budaya mereka saja yang tak sama dengan kita," cadang seekor semut kecil yang sedang memegang jejari Si Li yang merelakan dirinya dipegang dan dikawal itu.



"Betul kata kamu tu. Aku akan cuba berunding dengan wakil mereka itu. Tapi kalau mereka bertindak kasar kita gunakan kekuatan bersama kita. Bak kata peribahasa 'walaupun kita kecil tapi kita pasti dapat mengalahkan mereka selagi kita bersatu padu - macam angin yang menyerang alam pada masa kini'. Bukankah angin tidak kuat kalau ia sedikit saja. Lelebih lagi ia tidak berkumpul menjadi ribut seperti keadaan semalam tu," jawab si jeneral pula.



"Memang benar kata Tuan Jeneral tu. Saya ingin mewakili kami bertiga untuk berunding dengan tuan agar kita dapat membuat penyelesaian yang boleh menguntungkan kita bersama nanti," balas Si Li kepada pandangan Tuan Jeneral itu.



"Bagus saranan kamu itu. Tapi kami tidak dapat melepaskan kawalan kami terhadap kamu. Jadi kamu boleh berunding dengan syarat kamu tidak meronta- ronta nanti. Kalau kamu bertindak kasar kami akan gunakan kekuatan kami untuk mengalahkan dan menewaskan kamu. Jangan menyangka kami kecil tidak dapat mengalahkan kamu yang lebih besar itu."



"Kami setuju dengan syarat-syarat itu. Sebenarnya kami bertiga bukan musuh dan berniat hendak menyerang atau mengkhianati kamu. Kami terdampar di sini kerana kami diserang ribut besar pada malam semalam. Malahan ramai di kalangan kami yang gugur akibatnya. Kami tidak berdaya mempertahankan kuasa Allah swt yang maha adil ini. Bukankah hidup ini seperti kapal yang berada di tengah-tengah lautan ada kalanya tenang dan ada kalanya berhalilintar. Jadi saya berterima kasih kepada tuan yang baik hati kerana memberi kami peluang berbincang demi mencari huraian yang terbaik nanti," jawab Si Li dengan suara yang lemah lembut sambil tersenyum manis walaupun hanya dibuat-buat sahaja.



"Kalau itulah niat kamu, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan. Saya juga terasa simpati terhadap penderitaan kamu bertiga itu. Namun seandainya kamu cuba bertindak ganas terhadap kami, kami tidak ragu-ragu menentang kamu demi kesejahteraan kaum kami. Kami memang kecil tapi sudah banyak kali mengalahkan musuh kami yang lebih besar kerana kami mempunyai cara tersendiri untuk menentang lawan kami. Saya juga berpendapat kita yang sejenis memang tidak perlu bergaduh kerana kita juga yang akan rugi lantas musuh kita akan bertepuk tangan melihatnya pula." Si Jeneral bersetuju dengan sikap kerengga- kerengga itu.



"Nampaknya tuan juga setuju bahawa semua malapetaka kini berlaku akibat rencana buruk haiwan-haiwan yang menjadi seteru alam semesta terutama manusia durjana. Mereka lebih mementingkan diri sendiri dan tamak sehingga menyebabkan berlakunya bencana alam seperti ribut yang berlaku beberapa hari yang lalu," jelas Si Li.



"Mereka hanya pandai memanipulasikan ciptaan Tuhan tanpa memikirkan balasan-Nya. Mereka hanya memikirkan kesenangan untuk diri sendiri sambil menindas sesiapa yang kecil dan lemah seperti kita. Dahulu kami ada hutan dan bukit tapi sekarang semuanya mereka bugar dan bangsa kami yang menjadi mangsa. Masyarakat kami sendiri sudah berpindah-randah beberapa kali untuk mendapatkan tempat tinggal yang aman. Jadi kami menyangka kamu pun seperti mereka hanya pandai memusnahkan sahaja tanpa memikirkan hidup kami si kecil ini."



"Kalau begitu keadaannya, saya kira ada baiknya kita berunding di kalangan jenis semut yang berada di sekitaran ini supaya kita boleh bersepakat untuk hidup berjiran dengan aman damai sambil berkongsi segala rezeki anugerah Allah swt bersama-sama. Jadi musuh-musuh kita tidak dapat mencerobohi dengan mudah. Kita adakan satu persetujuan untuk menggunakan kawasan kita dengan teratur agar semua faedah dapat kita raih bersama."



"Cadangan kamu itu, saya akan sampaikan kepada raja kami. Sementara itu kami akan lepaskan kamu bertiga untuk menjelajah sekitaran ini supaya kamu dapat sampaikan mesej murni ini kepada semut-semut lain. Semoga kita semua dari jenis semut akan bersatu padu tidak mengira warna, saiz atau rupa. Kita sama- sama berpakat untuk menentang pelampau dan penipu sebenarnya. Bukan mengadu domba. Selamat menjalankan niat baik hati nurani bersama dengan doa kami semoga 'muafakat bawa berkat' ."



Mereka pun beredar ke destinasi masing-masing sambil memandang ke hadapan secara jujur dan ikhlas. Mereka berpantun:



Buai laju-laju sampai pokok sena,

Menuai dan maju sesama kita bena.




BIODATA PENULIS



Othman Salam ialah mantan pendidik di Maktab Rendah Raffles dan Institut Pendidikan Nasional (Program Bahasa Ibunda), mengajar Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.



Mantan aktivis masjid ini pernah memenangi hadiah kedua kategori cerpen dalam pertandingan Anugerah Pena Emas atau 'Golden Point Award' dan beberapa hadiah sastera.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >