Muzium Melayu di Balai Rakyat Kampong Ubi bakal diberi nafas baru
Muzium Melayu di Balai Rakyat Kampong Ubi bakal diberi nafas baru
Kumpulan seni diberi amanah hidupkan semula ruang warisan yang pernah jadi antara tumpuan masyarakat pada awal 1990-an
Muzium Melayu di Balai Rakyat Kampong Ubi sedang melalui proses pembaharuan menyeluruh bagi menghidupkan semula ruang warisan yang pernah menjadi antara tumpuan masyarakat pada awal 1990-an.
Kini di bawah jagaan kumpulan seni Melayu tempatan, Sanggar Seni Muda, muzium tersebut dibersihkan, disusun semula dan dipersiapkan untuk dibuka semula kepada awam.
Ia dirancang untuk digunakan sebagai ruang pembelajaran dan pameran budaya Melayu yang lebih meriah dan bersifat terangkum.
Menurut Pengasas Sanggar Seni Muda, Encik Muhammad Nazree Nashrul, menerima amanah daripada Persatuan Rakyat (PA) untuk menghidupkan semula muzium tersebut adalah keputusan mudah.
“Keputusan itu menjadi mudah kerana saya bersama rakan penggiat seni, berkongsi minat dan tanggungjawab untuk meneruskan budaya Melayu.
“Mengambil alih muzium ini adalah salah satu usaha kami untuk memperlihatkan dan mengembangkan seni serta budaya Melayu kepada masyarakat,” katanya.
Usaha itu didorong oleh kesedaran bahawa artifak dan bahan warisan yang disimpan di ruang tersebut bukan sekadar objek lama, malah khazanah masyarakat yang wajar dikongsi dan difahami oleh generasi hari ini.
“Muzium ini pernah menjadi ruang yang sangat gah. Tetapi apabila ia dibiarkan lama tanpa kegiatan, keadaannya berubah sehingga seolah-olah menjadi ruang simpanan,” ujarnya.
“Kami rasa sayang melihat keadaan ini, sedangkan barang warisan ini masih ada dan boleh dimanfaatkan.”
Muzium tersebut dibuka secara rasmi dalam bentuknya yang sedia ada pada 1993 oleh Cikgu Arif Haji Zahari, seorang guru seni.
Selain tugasnya sebagai pengajar seni, Cikgu Arif dikenali dengan penglibatannya dalam kegiatan berasaskan masyarakat serta usaha-usaha untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya Melayu.
Beliau merupakan penjaga (custodian) muzium tersebut sebelum tugas itu diberikan kepada Sanggar Seni Muda.
Konsep asal muzium itu bermula sebagai sebuah bilik pameran seni tradisional Melayu yang diilhamkan oleh mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Haji Wan Hussin Zoohri.
Bilik pameran tersebut kemudian dinaik taraf menjadi sebuah muzium mini atas inisiatif mantan AP GRC Marine Parade, Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohamed.
Menurut Encik Nazree, 41 tahun, antara cabaran utama dalam usaha menghidupkan semula muzium itu ialah mengenal pasti artifak yang tidak berlabel, selain memastikan barangan lama yang rapuh dikendalikan dengan cermat.
“Ada artifak yang berusia puluhan tahun dan sangat sensitif. Pegang sedikit pun boleh rosak. Jadi kami perlu membuat kajian, memahami fungsi asalnya dan menentukan cara terbaik untuk mempamerkannya,” kongsi beliau, seorang tenaga pengajar tarian dan muzik tradisional.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, usaha pembaharuan muzium itu mendapat sokongan masyarakat setempat, dengan sekitar 30 sukarelawan tampil membantu kerja pembersihan dan penyusunan semula.
“Sambutan ini di luar jangkaan kami. Ia menunjukkan masih wujud rasa tanggungjawab dan kebanggaan dalam kalangan masyarakat terhadap warisan Melayu,” ujarnya.
Selain membersihkan ruang muzium itu, pihak pengurusan turut merancang untuk menggiatkan muzium tersebut melalui pelbagai program pendidikan dan kemasyarakatan.
Antara yang sedang dirangka ialah lawatan berpandu bagi sekolah, bengkel kerja tangan Melayu, sesi pengenalan artifak serta program seni dan budaya yang dibuka kepada orang awam.
Ruang luar muzium turut akan dimanfaatkan sebagai lokasi penganjuran kegiatan kebudayaan, sekali gus menjadikan kawasan tersebut lebih hidup dan mesra pengunjung.
Bagi memastikan muzium itu relevan kepada generasi muda, tumpuan turut diberikan kepada penceritaan yang menekankan kesinambungan budaya Melayu dari masa lalu ke masa kini.
“Ramai anak muda mungkin tidak lagi mengenali barangan seperti pelita, peralatan sirih dan banyak lagi,” ujar Encik Nazree.
Beliau menambah, warisan Melayu bukan sahaja merangkumi hasil kerja tangan, bahkan juga tradisi ilmu dan pemikiran yang dizahirkan melalui buku, manuskrip dan penulisan lama.
Dalam jangka panjang, pihak pengurusan turut menimbang untuk menjenamakan semula muzium tersebut sebagai sebuah galeri, bagi menampilkan artifak itu sebagai barang yang kekal relevan.
Buat masa ini, pelancaran awal muzium itu dijangka diadakan secara tertutup bersama pihak Balai Rakyat Kampong Ubi, sebelum pembukaan rasmi kepada orang ramai yang dirancang sekitar Mei ini, tertakluk kepada pengesahan tarikh.
Encik Nazree berharap agar Muzium Melayu Kampong Ubi dapat menjadi ruang yang dikunjungi oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang usia dan kaum, di samping menanam rasa lebih dekat terhadap warisan bersama.
“Ini bukan sekadar milik individu atau satu pertubuhan. Ini adalah warisan masyarakat.
“Dengan menghidupkan semula muzium ini, kami berharap masyarakat akan melihat dan menghargai siapa kita, dari mana kita datang dan apa yang ingin kita wariskan kepada generasi seterusnya,” rumusnya.

