SPH Logo mobile
Langgan|

Muzium Memorial Haji Yusoff pastikan kisah saudagar Melayu Kg Gelam diingati

Muzium Memorial Haji Yusoff pastikan kisah saudagar Melayu Kg Gelam diingati

Usaha agar kisah keluarga, sumbangan mereka kepada masyarakat tidak luput
Mar 9, 2026 | 5:30 AM

Muzium Memorial Haji Yusoff pastikan kisah saudagar Melayu Kg Gelam diingati

bahasa, budaya, Muzium Memorial Hj Yusoff, Hidayah Amin
Pengunjung Muzium Memorial Haji Yusoff disambut dengan gambar salah seorang saudagar penting Singapura, Haji Yusoff Haji Mohamed Noor, berserta petikan kata-kata oleh cucunya, Cik Asia Jofrie, yang juga merupakan ibu kepada kurator dan pengasas muzium, Cik Hidayah Amin. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Sebaik sahaja melangkah ke Muzium Memorial Haji Yusoff di tingkat tiga rumah kedai 717 North Bridge Road, pengunjung disambut dengan kata-kata – “Jika kita tidak menulis kisah kita sendiri, orang lain akan menulisnya untuk kita.”

Bagi pengasas dan kuratornya, Cik Hidayah Amin, ungkapan itu mencerminkan hasrat utama penubuhan muzium, iaitu untuk memastikan kisah keluarganya dan sumbangan saudagar Melayu Singapura kepada masyarakat tidak luput atau diputarbelitkan.

“Sejarah bukan milik satu pihak. Kita orang Melayu juga mempunyai sumbangan yang lama kepada tanah air kita,” ujar Cik Hidayah.

Meskipun ruangnya kecil dan jauh daripada kemegahan muzium utama, setiap sudutnya sarat dengan naratif sejarah dan warisan budaya yang berharga.

Walaupun ruangnya kecil, Muzium Memorial Haji Yusoff, menyajikan suasana mesra dan menyenangkan bagi pengunjung. Kuratornya, Cik Hidayah Amin, menyusun barangannya agar pengunjung dapat rasakan ia ibarat sebuah rumah lama.
Walaupun ruangnya kecil, Muzium Memorial Haji Yusoff, menyajikan suasana mesra dan menyenangkan bagi pengunjung. Kuratornya, Cik Hidayah Amin, menyusun barangannya agar pengunjung dapat rasakan ia ibarat sebuah rumah lama. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Ruang sederhana itu menyimpan khazanah artifak keluarga, dokumen usang, dan barangan peribadi.

Semua itu mengisahkan perjalanan hidup Haji Yusoff Haji Mohamed Noor, seorang usahawan dan dermawan Melayu yang pernah mencorak sejarah Kampong Gelam.

Muzium itu diasaskan dan dikurasi oleh Cik Hidayah Amin, cicit kepada Allahyarham Haji Yusoff.

Menurut Cik Hidayah, ia mengambil masa sekitar dua tahun sebelum muzium itu dibuka pada 2023.

Inspirasi penubuhan muzium itu berkait rapat dengan sejarah keluarganya di Gedung Kuning, rumah agam berwarna kuning di Kampong Gelam yang pernah dimiliki Haji Yusoff.

Cik Hidayah lahir di rumah tersebut dan dibesarkan dengan pelbagai kisah dan warisan keluarga yang berharga.

“Saya sedih melihat banyak artifak keluarga tidak dijaga dengan baik. Saya rasa kita perlu mengambilnya kembali dan mempamerkannya di satu tempat supaya ia dapat dipelihara dan dikongsi bersama,” katanya.

Antara dorongan utama penubuhan muzium itu adalah hasrat untuk menonjolkan kisah kumpulan saudagar Melayu yang jarang diangkat dalam sejarah arus perdana.

Haji Yusoff, yang dilahirkan di Singapura pada 1855, dikenali sebagai pencipta tali pinggang haji pada 1880 sehingga beliau digelar ‘Haji Yusoff Tali Pinggang’.

Di Muzium Memorial Haji Yusoff, terdapat papan pameran yang mengisahkan tentang sejarah tempat berikut serta sumbangan Allahyarham Haji Yusoff. Antara sumbangan beliau adalah membuat songkok dan tali pinggang haji.
Di Muzium Memorial Haji Yusoff, terdapat papan pameran yang mengisahkan tentang sejarah tempat berikut serta sumbangan Allahyarham Haji Yusoff. Antara sumbangan beliau adalah membuat songkok dan tali pinggang haji. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL
Antara artifak yang mendapat perhatian ramai pengunjung adalah peti besi kegunaan Allahyarham Haji Yusoff. Peti besi tersebut difahami berasal dari Jerman, era pra Perang Dunia Pertama.
Antara artifak yang mendapat perhatian ramai pengunjung adalah peti besi kegunaan Allahyarham Haji Yusoff. Peti besi tersebut difahami berasal dari Jerman, era pra Perang Dunia Pertama. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Selain menjadi pemilik Gedung Kuning, Allahyarham juga merupakan penggerak utama dalam penubuhan jawatankuasa perintis Masjid Sultan dan pengasas sebuah madrasah percuma di masjid tersebut pada era 1930-an.

Allahyarham turut menyumbang dana kepada Masjid Sultan bagi menyediakan makanan kepada mereka yang memerlukan pada Ramadan.

“Ramai tidak tahu akan sumbangan ini, termasuk saya sendiri sebelum membuat kajian untuk buku saya tentang Kampong Gelam,” kata Cik Hidayah.

“Bagi saya, kisah seperti ini perlu diceritakan, bukan untuk berbangga, tetapi untuk membangkitkan inspirasi.”

Walaupun tanpa latar belakang formal selaku kurator, Cik Hidayah dengan inisiatif sendiri, menggalas tanggungjawab menyusun dan merealisasikan pameran tersebut.

Malah, beliau turut mengeluarkan lebih $12,000 di samping sejumlah wang dan sumber sumbangan pihak Estet Haji Yusoff untuk merealisasikan muzium tersebut.

Ruang muzium itu direka menyerupai suasana rumah.

Di dalamnya terdapat meja makan panjang yang pernah menjadi saksi perbincangan jawatankuasa pengurusan masjid dan tokoh masyarakat, almari kaca, kabinet dapur vintaj, serta permainan tradisional seperti batu seremban yang boleh disentuh pengunjung.

Antara artifak utama yang dipamerkan termasuk sebuah peti besi yang diimport dari Hamburg, Jerman sebelum Perang Dunia Pertama, kain serta dokumen cap dagang tali pinggang haji, selain beberapa perabot yang berasal dari Gedung Kuning.

Muzium itu dibuka secara percuma kepada orang ramai pada Sabtu terakhir setiap bulan dari 12 tengah hari hingga 6 petang.

Cik Hidayah bersama sepupunya, Cik Nursafina Shariff, akan hadir sendiri untuk memberi penerangan kepada pengunjung.

“Setiap kumpulan pengunjung berbeza. Jadi saya akan sesuaikan penceritaan mengikut latar belakang mereka,” katanya.

Salah satu cabaran utama yang dihadapi adalah menarik lebih ramai pengunjung, khususnya daripada masyarakat Melayu sendiri.

“Saya dapati lebih ramai tertarik ke bazar atau acara lain. Cuba ambil masa, jika ada di kawasan ini... datanglah ke muzium ini,” ujarnya sambil tersenyum.

Namun beliau kekal optimis.

Muzium tersebut telah menganjurkan beberapa sesi ceramah, menjadi lokasi program sempena Minggu Warisan, menerima kunjungan akademik termasuk pensyarah dan pelajar universiti, serta bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperkayakan pameran.

Kurator yang juga pengasas Muzium Memorial Haji Yusoff, Cik Hidayah Amin (tiga dari kanan), menyambut dan memberi ceramah kepada siswazah Fakulti Sejarah Universiti Nasional Singapura  (NUS) yang mengikuti modul ‘Museums and Museology’.
Kurator yang juga pengasas Muzium Memorial Haji Yusoff, Cik Hidayah Amin (tiga dari kanan), menyambut dan memberi ceramah kepada siswazah Fakulti Sejarah Universiti Nasional Singapura (NUS) yang mengikuti modul ‘Museums and Museology’. - Foto FACEBOOK HAJI YUSOFF MEMORIAL MUSEUM

Bagi Cik Hidayah, muzium itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi atau memasyhurkan nama keluarga.

“Ini adalah sumbangan kecil kami kepada nilai sejarah Singapura,” katanya.

“Jika pengunjung pulang dengan rasa penuh inspirasi, atau sekurang-kurangnya tahu pernah wujud seorang anak Singapura bernama Haji Yusoff yang berjasa kepada masyarakat, itu sudah mencukupi.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg