Ketika kecil dahulu, Cik Elda Zarifah Zamri, selalu ditugaskan ke pasar untuk membeli barang dapur.
Rutin harian itu, walaupun mungkin nampak biasa, mengajarnya tentang keberanian dan kecekalan.
Pengalaman masa lalu itu menjadi ilham bagi buku sulung yang dihasilkan Cik Zarifah, 28 tahun, berjudul, Nasi Lemak Emak!.
Buku itu mengisahkan Hana, seorang kanak-kanak yang ditugaskan ibunya untuk ke pasar bersama kakaknya buat kali pertama.
Dalam suasana pasar yang sibuk, Hana menghadapi cabaran apabila senarai barang dapur yang diberikan oleh ibunya tercicir.
Kini, Hana dan kakaknya perlu bergantung pada daya ingatan untuk mendapatkan semua bahan penting bagi menyediakan hidangan nasi lemak.
Dalam perjalanan itu, Hana bukan sahaja belajar tentang keberanian dan kerjasama, bahkan turut menemui pelbagai perkara menarik di pasar.
“Watak utama dalam buku ini, Hana, diinspirasikan daripada diri saya sendiri semasa kecil.
“Saya seorang kanak-kanak yang ingin tahu, agak berhati-hati, tetapi perlahan-lahan belajar untuk menjadi berani,” kongsi Cik Zarifah dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) melalui e-mel pada 6 Jun.
“Saya juga ditugaskan oleh ibu saya untuk ke kedai seorang diri sejak kecil. Walaupun jaraknya dekat, pengalaman itu sangat besar maknanya bagi saya.
“Setiap kali melangkah keluar seorang diri, saya belajar untuk berdikari, berkomunikasi dengan orang dewasa dan menyelesaikan tugas mudah seperti membeli barang dapur.
“Pengalaman ini mungkin kelihatan remeh tetapi bagi seorang kanak-kanak, ia satu bentuk pengembaraan yang membina keyakinan diri,” tambah guru bahasa Melayu di sekolah rendah itu.
Melalui tema keberanian dan rasa ingin tahu yang dikupas dalam buku itu, Cik Zarifah berharap dapat membangkitkan semangat kanak-kanak untuk keluar dari zon selesa mereka dan meneroka dunia sekeliling dengan minda yang terbuka.
Beliau menerangkan latar era 1980-an dipilih bagi buku tersebut kerana era itu membawa suasana yang sangat berbeza, berbanding pengalaman kanak-kanak hari ini.
“Pasar pada masa itu bukan sahaja tempat membeli barang dapur tetapi juga ruang pembelajaran yang hidup, penuh dengan interaksi manusia, bau rempah yang kuat, bunyi mesin kelapa parut dan sebagainya.
“Pada zaman itu, tiada telefon bimbit, tiada senarai beli-belah digital dan kita hanya bergantung kepada ingatan dan pesanan daripada ibu.
“Situasi inilah yang membentuk daya ingatan, tanggungjawab dan keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak waktu itu,” katanya.
Sementara itu, buku tersebut memberi tumpuan kepada hidangan nasi lemak kerana selain merupakan hidangan kegemaran keluarga Zarifah, ia juga melambangkan kasih sayang dan usaha seorang ibu yang menyediakannya.
“Pada pendapat saya, ini ialah simbol budaya dan kenangan yang saya rasa ramai boleh kaitkan terutama kanak-kanak yang membesar dengan masakan ibu,” katanya.
Cik Zarifah menyarankan beberapa kegiatan susulan yang boleh dilakukan ibu bapa, guru dan kanak-kanak selepas membaca buku itu.
Ini termasuk menyediakan nasi lemak bersama keluarga, berkongsi tentang pengalaman ke pasar atau tempat awam lain, dan berkongsi kenangan ibu bapa semasa zaman kanak-kanak ke pasar dahulu.
Buku Nasi Lemak Emak! sesuai dibaca kanak-kanak berumur lima hingga 10 tahun dan akan dilancarkan pada 20 Jun di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) sempena Pesta Buku Kanak-Kanak Singapura.
Ia juga boleh didapatkan di Shopee atau Lazada pada harga $12.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg