Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Orang busuk

Jan 08, 2023 | 05:30 AM



MAAFKANKU. Sebelum aku mulakan cerita ini, aku ingin kau tahu sesuatu: aku tidak pandai bercerita. Ini bukan hikayat sastera indah, bukan kisah menggeletek minda, malah bukan juga cerita cinta cengeng kanda dan dinda.



Cerita aku ini cerita benar, sekadar kongsian untuk mereka yang sudi membaca. Cerita yang berlaku di dunia realiti, yang berwatakan orang-orang biasa. Dan aku seorang daripada watak-wataknya.



Kali terakhir kunaiki MRT, peta sistemnya hanya ada mungkin empat garisan berwarna. Kini, gelungan-gelungan pelangi berselang-seli mengisi peta baru. Bagai logo abstrak Olimpik. Namun, apakan daya. Aku tetap perlu mencari rezeki. Hendak cari makan.



Maka kutempuhi jua apa cabaran di hadapanku. Tidak kira paranoia kalau terturun di stesen salah. Tidak peduli dikerumuni sesak para penumpang lain. Niat aku jelas: masuk MRT, diri di satu sudut diam-diam, keluar apabila tiba destinasi.



Bahuku dilanggar. Aku hampir terjelepok hodoh. Mujur jatuhku diberhentikan seorang pemuda di belakangku. Aku toleh dan angguk tanda berterima kasih kepadanya.



"Maaf, Pak Cik, saya tidak perasan," wanita yang terlanggar aku tadi pantas berkata.



Aku tidak sempat menjawab. Aku terkejut; terkejut dilanggar sebegitu dan terkejut kerana wanita itu - yang kelihatan setahun dua lebih muda daripadaku - memanggil aku Pak Cik.



Aku cuba memahami keadaan. Platform memang sesak, dan aku bukannya ligat mengelak. Salah aku sendiri. MRT tiba. Aku - bersama ribuan orang lain (rasanya begitulah) - melangkah masuk gerabak. Gerabak padat penuh.



Tidak hairanlah memandangkan waktu sibuk sebelah petang. Aku memegang tiang di tengah-tengah perut ulat gonggok besi tersebut. Tidak kumengharap dipelawa tempat duduk oleh komuter lain.



Bukan oleh wanita berkasut bertumit tinggi bergincu merah di hadapanku, atau lelaki remaja berambut hijau yang 'dizombikan' drama Korea di sebelahnya. Bukan juga oleh pasangan muda yang hilang dilamun cinta tidak ingat dunia, juga seorang wanita India dengan bakul pasar sarat beliau.



Tidak mengapa; aku lelaki. Sudah separuh umur, ya, tetapi... tetap lelaki dewasa. Golongan kami dianggap masih kuat. Tegap dan tegas. Aku faham; generasi kami lalui Perkhidmatan Negara pada zaman garang. Zaman guna senapang M-16.



Perjalananku kira-kira setengah jam. Walaupun ada senaskhah novel di dalam beg sandangku dan telefon bijak di dalam kocekku, aku lebih senang luangkan masa dengan merenung pemandangan di luar tingkap.



Mindaku menerawang ke kemalangan di PIE kelmarin. Kejadian yang ganjil. Keretaku dipotong sebuah kereta Mercedes, yang tidak semena-mena berhenti secara mendadak di hadapanku. Aku pijak brek. Nyaris terlanggar!



Malangnya, kereta di belakangku yang merempuh keretaku. Kulihat pemandu kereta belakang keluar untuk ambil gambar. Serta-merta, tiba pula sebuah kereta lain. Tiga orang pemuda muncul sambil menghulurkan bantuan dan nasihat.



Aku diserahkan kad perkhidmatan mekanik. Entah apa berlaku - aku sendiri kurang ingat kini; semuanya berlaku dalam samar-samar pada masa aku terasa amat letih - keretaku ditunda. Terpaksalah aku tidak berkereta selama seminggu.



Ada orang memang... "Busuknya!" Bukan ungkapan itu sahaja yang mengejutkanku dari lamunan. Aku turut ditolak beberapa tubuh manusia. Dihimpit dan digeser tanpa segan. Aku janggal. Mereka seolah-olah sedang menjauhkan diri dari sesuatu.



Aku mendongak ke belakang mereka. Apa yang kulihat ternyata mengelirukan: duduk di sudut sana ialah seorang lelaki sekitar pertengahan dua puluh tahun. Wajahnya yang tersembunyi sebalik pelitup hitam ditundukkan menatap lantai MRT.



Rambut pendeknya kemas tersisir rapi. Berseluar panjang hitam dan berkemeja biru muda lengan panjang yang dilipat hingga ke siku. Yang ganjilnya, pakaiannya compang-camping. Comot. Selekeh. Kemproh.



Yang lebih aneh adalah sejambak bunga mawar merah, putih dan merah jambu di dalam tangannya. Hampir tiga puluh kuntum bunga kesemuanya. Masih kelihatan segar dan berembun lagi. Tampak cantik, nampak mahal.



Beberapa lagi orang penumpang bingkas bangun dan berjalan dari dirinya. Dari tempat aku, aku tidak terhidu apa-apa bau pun dari lelaki itu. Entah bau hapak atau hancing atau hamis atau hanyir, ku tidak pasti.



Bisikan perkataan 'busuk' dalam pelbagai bahasa menyusup lagi dari mereka di sekelilingku, yang kini semakin menghimpitku. Aku cuba jauhkan diriku dari setiap tubuh asing yang menyentuhku. Beg sandangku dipeluk erat-erat.



Lelaki itu tidak berganjak. Dia tetap bersepi duduk begitu, bagai dirundung emosi. "Bunga sebesar begitu pun tidak boleh hilangkan baunya," kuterdengar komen kurang elok itu dari belakangku.



"Eleh, dia mesti sengaja cari perhatian. Biasalah sekarang. Prank. Aku tahu mesti kawannya ada berdekatan, sedang merakam reaksi orang-orang di sekeliling untuk video TikTok mereka," kedengaran pendapat lain.



"Ya, sekadar helah eksperimen sosial. Klise."



"Romantikkan?" bersuara pula wanita India berbakul sarat, kepada pasangan muda di hadapanku. Entah mereka dengar atau tidak.



"Ya, betul Auntie," jawab si gadis, kemudian menoleh mencari muka kekasihnya,



"Cantikkan bunganya, Bang?"



"Sebelum kahwin, kan Abang dah belikan Ayang."



"Itu sebelum kahwin. Sekarang sudah kahwin, akan lebih romantik." Wanita India tadi tersenyum sendiri mendengar usikan pasangan muda.



"Kasihan, mungkin dia ingin sambut ulang tahun dengan isterinya. Kemudian terjatuh ke dalam longkang pula...," terdengar satu lagi andaian.



"Sambut ulang tahun atau ingin minta maaf kerana kecurangan!" Tuduhan ini diikuti dengan ketawa terbahak-bahak tidak jauh dari tempatku berdiri.



Pada waktu ini, kuperhatikan beberapa orang penumpang sedang mengambil gambar atau rakaman lelaki itu. Sudah tentulah perkara seaneh begini menjadi bahan fokus media sosial masing-masing. Aku tidak akan terkejut sekiranya kejadian ini disebarkan di lelaman-lelaman seperti PIJAK!, BeritaMestiKongsi, Ibu Kapal dan MakcikBawang.com.



Lelaki itu tidak menunjukkan sebarang ekspresi. Adakah dia sengaja memekakkan diri sahaja? Tabah bersabar, atau menahan marah kerana ada kebenaran sebalik kata-kata itu? Aku malas fikirkan sebenarnya; perkara tidak penting, tidak mendatangkan manfaat.



"Mari saya perkenalkan pengembara masa yang datang dari masa lampau," tiba-tiba lelaki remaja berambut hijau di hadapanku berdiri.



Kamera telefon bijaknya diacukan ke arah lelaki busuk. "Dia datang dari 31 hari bulan Oktober. Memperagakan pakaian Haloween. Sesat..."



Dia berhenti seketika untuk membaca komen-komen yang ditinggalkan para penonton siaran langsungnya itu.



"Mengapa tidak; Haloween tidak lagi dihadkan tarikh, negara atau kepercayaan. Pagan, tak pagan; ramai yang sudah terimanya bulat-bulat!"



Dia berhenti sekali lagi. Untuk membaca komen-komen baru di skrin kecil. Pelik benar aku lihat perbuatan ini. Tetapi, aku sedar aku sudah tua, kurang faham dengan bahan hiburan generasi muda.



"Hahaha! Betul. Mungkin dia sedang kemaruk cosplay selepas Konvensyen Komik Singapura pada 10 dan 11 Disember lalu!"



"Syyy!"



Kini giliran wanita bergincu merah pula mencelah.



"Jangan buat dia marah. Mungkin dia seorang psikopat..."



Lelaki remaja berambut hijau dengan cepat duduk kembali. Tanganku pada tiang besi semakin lemah. Lenguh berdiri sebegitu lama. Pergerakan MRT terasa lebih laju. Mana dengan usiaku, mana dengan singguhan para penumpang di sekelilingku, yang kurasa terlalu rapat diri mereka denganku; kepalaku pusing loya.



Diriku huyung-hayang. Dengan berhati-hati, aku bergerak pergi mencari pintu keluar. Beberapa tangan dihulurkan untuk memimpinku ke sana dengan selamat. Destinasiku kian hampir. MRT berhenti. Aku menepuk-nepuk beg sandangku.



Satu tabiatku setiap kali sebelum bingkas pergi. Ketika kakiku melangkah keluar - bebas! - kedengaran keluhan kolektif dari arah belakangku. Aku curi pandang, menoleh ke belakang. Lelaki busuk keluar dari gerabak yang sama.



Adakah dia mengekoriku? Fokusku hanya pada urusan yang bakal menanti. Usaha cari makanku. Aku keluar dari stesen MRT. Kubersinggah di tandas di bangunan berdekatan. Lengang. Bagus. Kutatapi cermin.



Wajah di hadapanku kelihatan suram. Mungkin muram bertinta dendam. Peristiwa kemalangan di PIE menghantuiku. Sukar untuk aku terima ada orang yang sanggup ambil kesempatan mereka yang alpa. Itu sejarah lama hidupku. Kini, aku akan lebih licik dalam permainan ini.



Daun pintu tandas ditolak buka. Kutoleh dan dapati lelaki itu bergegas masuk menujuku. Lelaki busuk dan sejambak bunganya.



"Kau lambat," kataku, separuh marah.



"Aku perlu jalan terhincut-hincut. Aku kan terjatuh longkang," jawabnya selamba.



"Patutlah busuk!" Kami berdua ketawa serentak.



Aku lalu buka beg sandangku sementara dia salin pakaiannya. Habuan hari ini: dua buah telefon bijak, tiga dompet dan dua jam tangan. Lagi... seutas gelang dan... sebentuk cincin berlian. Aku beri sebahagian kepadanya.



"Kau nak bunga?"



"Gila. Kau berilah kepada nyonya jual tisu." Kami pun berpisah. Hingga ke misi hari lain.



******************



Begitulah ceritaku. Sekadar untuk sampaikan bahawa orang busuk wujud, tetapi tidak sebanyak orang tidak berbau tetapi berhati busuk. Maafkanku.




BIODATA PENULIS



Mohamed Naguib Ngadnan mula menulis sejak usia remaja di Sekolah Menengah Tanjong Katong.



Beliau penerima dua Anugerah Persuratan: Pada 1999, dengan cerpen bertajuk Satu Perjalanan (Penghargaan), dan pada 2013, dengan sajak bertajuk Kita Yang Dijilat Gincu Peluru.



Beliau juga finalis untuk Peraduan Menulis Cerpen Mencari Kristal 2016 anjuran BH/BM dan NAC.



Pada 2019, beliau dapat tempat pertama dalam sayembara Anugerah Pena Emas bagi kategori Cerpen dengan cerpen bertajuk Saudagar Pagar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >