Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin dan peradaban: Hikmah daripada cerminan penguasa dan bidalan rakyat

Dalam khazanah pemikiran Melayu, karya-karya besar turut menyinggung soal kepimpinan
May 25, 2025 | 5:30 AM
Tajussalatin Melayu; kepimpinan, khazanah Melayu
Naskhah Tajussalatin dari abad ke-19 dipaparkan dalam satu pameran di Singapura beberapa tahun lalu. Tajussalatin ialah adikarya daripada khazanah pemikiran Melayu yang menyinggung soal kepimpinan. - Foto fail

Peradaban terbangun oleh kepimpinan yang berwibawa, cekap, adil dan amanah. Semua peradaban dunia memberi penekanan besar kepada persoalan kepimpinan.

Dalam tradisi keilmuan dan kesusasteraan pelbagai bangsa, sering berkumandang penganjuran kepada penguasa supaya memerintah dengan adil dan bijaksana.

Selain itu, ciri beramanah dalam memikul tanggungjawab, cekap mentadbir kerana memiliki ilmu dan kemahiran, serta berdamping dengan orang berilmu, adalah segi-segi yang mesti ada pada kepimpinan.

Dalam khazanah pemikiran Melayu, karya-karya besar kita telah menyinggung soal kepimpinan.

Tajussalatin adalah sebuah adikarya Melayu yang paling terbanyak tersebar di rantau ini, yang menganjur agar ditegakkan akal budi dan keadilan sebagai tanda menyahut seruan amanah dan bertakwa kepada Tuhan. Karya ini ditulis oleh Bukhari al-Jauhari dan tersempurna karya ini pada 1603M di Aceh.

Tajussalatin boleh dikategorikan sebagai genre cerminan raja-raja, yang ditulis khas untuk menasihati dan memberi panduan kepada Raja yang memerintah berserta pegawai dan rakyatnya juga.

Dalam peradaban Islam, genre cerminan ini sudah tertulis dalam bahasa-bahasa Arab, Parsi, dari Turki. Imam al-Ghazali, Hujjatul Islam yang terkenal, telah menulis Nasihat al-Mulk.

Etika pemerintahan yang terungkap dalam Tajussalatin, contohnya sangat berbeza daripada salasilah bangsawan istana yang mengangkat raja mereka sebagai “Bayangan Tuhan di Bumi,” (As-Sultan dhillullah fi’l-ard).

Ini menjadi tema utama dalam karya-karya istana yang bertujuan mendaulatkan dinasti yang memerintah. Ini disebut dalam Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, dan Undang-Undang Melaka.

Tajussalatin sebaliknya mengingatkan kepada raja-raja agar jangan sampai menjadi “Bayangan Iblis di dunia,” sekali gus kritikan halus ke atas konsep raja berdaulat sebagai wakil Tuhan di dunia ini.

Pada abad kesembilan karya Abdullah bin Muhammad al-Misri, Munshi Abdullah, dan Raja Ali Haji masing-masing menulis dengan niat menasihati para penguasa Melayu/peribumi agar keadilan dan kebajikan rakyat dan negeri harus dijaga.

Begitulah juga di negara-negara Islam yang pada abad kesembilan terus dilanda cengkaman penjajah.

Para intelektual Muslim sepertti Syeikh Rifaat al-Tahtawi (Mesir), Jamaluddin Al-Afghani (Iran), Syed Ahmad Khan (India). Tidak terkecuali barisan intelektual yang hidup dalam naungan Empayar Uthmaniah. Antaranya ialah Sami Frashëri (1850-1904).

Pemimpin Amanah Negeri Tak Punah

Frashëri, ilmuan berbakat lahir dari keluarga terpandang di Albania, yang menjadi sebahagian dari Empayar Uthmaniyah.

Pernah bekerja di beberapa suratkhabar dan menerbitkan beberapa buku, beliau menguasai berbagai bahasa, dari Perancis, Italy, Yunani, Parsi, Arab, Turki, dan bahasa ibundanya, yakni Albania. Beliau hidup sezaman dengan Sheikh Muhammad Abduh (1849-1905).

Beliau pernah menulis buku tentang penyebaran Islam yang sekarang sudah diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Flamur Vehapi The Expansion of Islam: A Nineteenth-Century Treatise (2019).

Paling menyerlah adalah kerencaman bidang ilmu yang diminati. Di tangannya terhasil puisi, novel, drama, kajian bahasa, kamus, ensiklopedia, penulisan saintifik dan sejarah.

Ungkapan hikmah yang beliau titip, khasnya tentang kepimpinan, memperlihatkan keprihatinan beliau tentang apa yang beliau saksi dan alami di zaman Empayar Uthmaniyah sedang bergelora dan mencuba pembaharuan.

Antara yang beliau serukan adalah: di kalangan yang memerintah, harus sedar mendirikan keadilan. Itulah asas kesejahteraan negara dan rakyat.

Malah yang memimpin diajaknya: “Untuk membawa kasih-mengasihani dalam dunia, kita mesti berdepan melawan ketidakadilan.”

Malah dalam pemilihan pimpinan, baik ketua atau rakyat biasa harus ingat: “Melantik orang yang tidak layak di dalam tampuk kekuasaan umpama melempar bingkisan mutiara ke dalam sampah sarap.”

Renungan paling tajam dari beliau, disusun sebegini: “Sekiranya para pekerja di bawah belas kasihan majikan yang teruk, sekiranya askar hanya memiliki persenjataan teruk dalam peperangan, sekiranya pembangunan pertanian dan perdagangan terbantut, negara mungkin boleh meneruskan hayatnya.

“Namun, apabila kepimpinan tidak mematuhi undang-undang dan hak perorangan yang lain, maka mereka yang melakukan kerja paling bawahpun tidak akan lagi menghiraukan undang-undang tersebut.

“Mulalah dari situ, masyarakat akan meninggalkan kebaikan dan melakukan kerosakan, dan itulah tiada lagi jalan keluar untuk negara itu.”

Sealiran dengan intelektual zamannya yang menuntut reformasi agar hak rakyat dipelihara, agar pemerintah kuat dan stabil, beliau berkata: “Kemajuan ke arah pembebasan memerlukan tujuan yang jelas dan budi pekerti sebagai panduan.”

Pemikir dan Penulis Menggalas Tugas

Permulaan abad ke-20, para pemikir dan penulis terdedah dengan ilmu pemerintahan, kepimpinan, dan teori demokrasi. Tuntutan terhadap kemampuan memimpin makin bergema.

Sedang para sasterawan menulis novel sejarah dengan tema kritikan terhadap ideologi kolonial dan elit pribumi, sebilangan pemikir menghuraikan etika kepimpinan. Karya Keris Mas, Usman Awang dan Shahnon Ahmad adalah contoh dari lembaran sastera Melayu moden.

Nurcholish Madjid, intelektual Muslim terulung dari Indonesia, membilang hal amanah yang harus terpakai pada pemimpin. Beliau menegaskan:

“Integritinya sebagai pemimpin dimulai dengan keinsafan bahwa dia adalah penggalas amanah anggota masyarakat yang dipimpinnya.

“Boleh dikata bahawa dia adalah pencerminan, atau malah personifikasi masyarakat. Hal itu bererti, bahawa tujuan-tujuan masyarakat harus menjadi tujuan peribadinya (dan sama sekali tidak boleh kebalikannya; tujuan peribadinya dijadikan tujuan masyarakat itu).”

Pemimpin amanah

Amanah atau integriti amat sangat diberatkan dalam etos kepimpinan Melayu. Dalam ungkapan Melayu tradisional ciri kepimpinan ini dibutirkan dengan cermat oleh Pak Tenas Effendy, penyimpan pepatah-petitih Melayu yang terbilang:

“Menjadi pemimpin ia amanah

Taat memegang janji dan sumpah

Terhadap rakyat ia peramah

Terhadap sahabat ia pemurah

Dalam bekerja ia semenggah

Dalam bercakap berhalus lidah

Dijadikan pemimpin membawa berkah

Bersama tegak tuah dan maruah.”

Dalam konteks hari ini, dengan politik di banyak tempat beralih ke politik kanan dan elitis, semakin pula didambakan pemimpin yang bukan sahaja berjiwa rakyat tetapi juga tidak terjebak dengan segi-segi politik fasis yang galak menggunakan sentimen kaum dan agama demi kekuasaan.

Pemimpin rakyat

Dengan laungan demokrasi, yakni pemerintahan yang dipilih rakyat untuk menjaga kepentingan mereka, makin bergema ajuan agar wujudnya pemimpin berjiwa rakyat. Beginilah juga terlantun dalam ungkapan Melayu:

“Hidupnya mengabdi kepada rakyat

Taat setia membela umat

Imannya teguh elok tabiat

Janji dipegang sumpah diingat

Menjalankan tugas hatinya bulat

Memikul beban bahunya kuat

Dijadikan pemimpin amatlah tepat

Dijadikan tua besar manfaat

Dijadikan induk ilmunya dapat

Memimpin negeri sejahtera umat.”

Sesungguhnya kepimpinan menjadi kepedulian besar dalam semua masyarakat dan peradaban. Pemimpin yang sempurna, menurut Pak Tenas harus punya “Perangai elok tidak tercela, Negeri dijaga rakyat dibela.” Sambungnya:

“Dijadikan pemimpin hidup sejahtera

Dijadikan tua tak ada cacatnya

Dijadikan induk tak ada celanya

Dijadikan tiang tak ada lemahnya

Dijadikan tudung tak ada kurangnya

Memimpin negeri amat terpuji

Memimpin umat amatlah bermanfaat

Memimpin bangsa amatlah berjasa.”

Pemimpin buruk, bangsa terpuruk

Apabila banyak ungkapan rakyat Melayu, yang mencitakan pemimpin yang adil, berhemah, berilmu dan beramanah. Tegas juga diperingatkan akan kerosakan yang akan menimpa sekiranya pemimpin zalim dan jahat pula yang tampil.

Sehinggakan ada disebutkan ciri “Pemimpin Zalim” yang sifat dan kelakuannya akan merosakkan rakyat dan negeri. Disebutnya begini:

“Menjadi pemimpin zalim dan aniaya

Setan dan iblis jadi sekutunya

Memerintah dengan sewenang-wenang

Mulut busuk lidah buaya

Syarak dilanggar adat dilanda

Ke sana ke mari dibuat bencana

Negeri rosak rakyat merana

Bila berkuasa sewenang-wenang

Bila berpangkat meluluh lumat

Bila berduit ia menghimpit

Bila dipilih ia menindih

Bila diangkat ia menjerat.”

Kepimpinan dengan cita sempurna

Syed Hussein Alatas, selama berdekad-dekad telah memberikan perhatian besar kepada persoalan kepimpinan yang harus terbangun dalam masyarakat Melayu.

Tegas beliau, kepimpinan harus memiliki dan menghidupkan ciri-ciri cita sempurna yang merangkumi visi, aksi dan keyakinan kepada nilai-nilai universal dan kesedaran pada kondisi dan nuansa setempat.

Ia juga adalah pengiktirafan kepada daya upaya manusia yang mahu berikhtiar mencapai visi kesempurnaan, sama ada yang pernah ditunjukkan oleh individu tertentu mahupun secara kolektif.

Tambah Alatas, amat penting bagi setiap ahli masyarakat, teristimewa dalam kalangan kepimpinan yang dipengaruhi oleh visi cita sempurna dan kesedaran sejarah “yang mengandungi unsur moral yang tinggi… penuh dengan kemanusiaan.”

Sememangnya semua perabadan besar dunia dibangun oleh barisan pemimpin yang memilki cita sempurna tersebut. Membicara dan menegaskan persoalan adalah tanggungjawab sepanjang zaman yang harus dikupas dan diperturunkan.

Bagi yang mengatakan bahawa perkara sedemikian adalah sudah lapuk, malah membosankan, bererti mereka tersalah tafsir dengan penilaian yang songsang. Soal nilai, entah ia terpakai di pihak kepimpinan atau awam, wajib tidak boleh lari landasan kemanusiaan dan tuntutan keagamaan.

Bagi yang membicara adab, betapa tinggi melangit hujahnya, selagi ia lari atau mengelakkan dari membicarakan hal-hal kepimpinan yang zalim dan durjana, maka ilham ilmu mereka menjadilah sia-sia, malah tidak bermakna.

Masyarakat atau peradaban yang memandang enteng tentang mutu kepimpinan, adalah masyarakat yang tidak peduli pada hala tuju dan masa depan.

Maka sepanjang sejarah umat manusia, kita menyaksikan kesungguhan golongan bijak pandai, sasterawan dan seniman dalam setiap peradaban menghasilkan pelbagai tulisan yang menyeru kepada keadilan dan kebaikan, serta menegaskan penolakan terhadap kejahatan dan kelaziman.

Malah dalam bidalan rakyat Melayu, leluhur terdahulu kita dengan berani menyebut sebegini: “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.”

Ertinya kesetiaan kepada pemimpin bukanlah mutlak, tetapi berdasarkan prinsip yang harus sama dipatuhi antara pemimpin dan rakyat.

Sehinggakan dalam perihal “Adat yang Diadatkan” yakni adat yang digubal, dikuatkuasakan, dan disepakati antara raja dan rakyat, menyebut tegas hubungan antara pemimpin dan rakyat itu bersifat: “adat yang dapat dibuat-buat/adat yang dapat ditukar ganti”. Dipanjangkan sebegini:

“Adat yang turun dari raja

Adat yang tumbuh dari datuk

Adat yang cucur dari penghulu

Adat yang dibuat kemudian

Putus muafakat ia berubah

Bulat kata ia berganti

Beralih musim ia layu

Bertukar angin ia melayang.”

Inilah antara banyak hikmah dari ungkapan rakyat Melayu yang diperturunkan secara lisan sedangkan karya cerminan kepada penguasa bertebar dalam khazanah persuratan Melayu. Moga peradaban unggul dipimpin oleh kepimpinan cemerlang terus menjadi cita kebudayaan kita.

Wajarlah pula bila Frashëri menyimpulkan: “Apa yang menentukan di dunia ini tidak selalu pada kekuasaan atau undang-undang, melainkan dari kesopanan dan keadaban.” Itulah petua azimat yang harus dipegang oleh pemimpin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg