Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha dua penulis serumpun bangsa perkasa sastera romantik Melayu

Penerbit Manés Wordworks usaha cari penulis baru ketengah karya Melayu, Inggeris
Jun 2, 2025 | 5:30 AM
Cik Munirah Jaafar, Cik Saidatul Khadijah Mohd Farudz,  Farees Saharudin
Bakat dari Singapura, Munirah Jaafar (kiri), berganding bahu dengan rakan kongsi dari Malaysia, Saidatul Khadijah Mohd Farudz, untuk menubuhkan Manés Wordworks dalam menerbitkan karya sastera Melayu kontemporari. Saidatul Khadijah bertindak selaku pengarah urusan sementara Farees Saharudin, sebagai pengarah jualan dan pemasaran. - Foto MANES WORDWORKS

Penulis kelahiran Singapura, Munirah Jaafar, atau lebih dikenali dengan nama pena Nirrosette, bukanlah nama asing dalam dunia kesusasteraan Melayu moden.

Sejak mula aktif dalam bidang penulisan pada 2011, beliau telah menghasilkan 17 karya kreatif, termasuk novel, novela, cerpen dan puisi.

Karya beliau dikenali kerana mengangkat tema perjuangan wanita yang berdikari dan bersemangat kental.

Novel, Buah Hati Nafeesa, misalnya, telah diulang cetak tujuh kali dalam tempoh tiga tahun sejak penerbitannya pada 2022 – satu pencapaian membanggakan bagi mana-mana penulis.

“Perjalanan saya sebagai seorang penulis mungkin sedikit mudah kerana novel pertama saya terpilih untuk diterbitkan oleh Jemari Seni (JS), sebuah penerbit ternama di Malaysia,” kata beliau.

“Apabila novel pertama saya diterbitkan, JS meletak anekdot karya ini ditulis oleh “si manis dari Singapura” di bahagian belakang kulit buku. Dan secara tak langsung, itu menjadi penjenamaan saya kerana sejauh ini, semua karya saya berlatarkan Singapura,” jelas Munirah.

Selain menyumbang sebagai penulis, beliau turut memainkan peranan penting dalam memperkasa penulis lain.

Bersama rakan kongsinya dari Malaysia, Saidatul Khadijah Mohd Farudz – yang juga dikenali dengan nama pena, Lila Vee – beliau menubuhkan syarikat penerbitan, Manés Wordworks (MW), pada 2021.

Syarikat itu mengetengahkan gabungan dua penulis dari dua negara serumpun – Singapura dan Malaysia – dalam usaha menerbitkan lebih banyak karya sastera kontemporari.

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), Munirah yang kini menetap di Kuala Lumpur, berkongsi bahawa penghijrahannya ke Malaysia bermula selepas mendirikan rumah tangga dengan seorang penulis tempatan.

Cabaran pandemik Covid-19 dan keperluan mengimbangi peranan sebagai guru dan isteri mendorong beliau untuk menetap sepenuhnya di negara jiran.

“Pada awalnya saya hanya ingin menulis secara sambilan.

“Namun saya lihat industri buku di Malaysia berkembang pesat, khususnya sewaktu pandemik.

“Muncul ramai bookstagrammers dan booktokers (pempengaruh Instagram dan TikTok yang mengulas dan mempromosi buku), serta masyarakat semakin memilih membaca sebagai aktiviti masa lapang,” ujar beliau.

Walaupun begitu, penyesuaian sebagai warga asing di Malaysia tidaklah semudah yang disangka.

“Antara cabaran awal adalah meraih kepercayaan pihak luar, terutamanya apabila nombor pengenalan saya menggunakan pasport Singapura. Pernah sekali, abang kepada salah seorang penulis kami menyangka saya seorang scammer!” kata Munirah sambil tertawa.

Namun begitu, penerimaan masyarakat setempat yang positif dan sokongan masyarakat penulisan di Malaysia membina keyakinan beliau untuk terus mengembangkan syarikat penerbitan yang kini telah menerbitkan 34 novel Melayu, tujuh novel Inggeris, serta dua novela dalam tempoh kurang empat tahun.

Genre romantik menjadi pilihan utama dalam karya Munirah.

Baginya, genre itu bersifat sejagat dan dekat dengan emosi pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa genre romantik mempunyai banyak cabang seperti romantik thriller, komedi, dan juga romantasy (gabungan romantik dan fantasi).

“Genre romantik ini mudah untuk diterokai sebenarnya tetapi mudah juga untuk ‘terbabas’ kerana ada perkara yang tidak seharusnya diperincikan.

“Jadi tulislah ikut gerak hati tetapi serahkan kepada tangan penyunting atau penerbit untuk menyemak dan mencantas mengikut piawai syarikat penerbitan,” pesannya kepada penulis muda yang ingin meneroka genre tersebut.

Sebagai Pengarah Penerbitan di Manés Wordworks, beliau turut aktif mencari karya bakat baru dari Singapura dan Malaysia untuk diterbitkan.

“Kami menilai berdasarkan kekuatan manuskrip, bukan siapa penulisnya. Tiada tarikh tutup untuk penerbitan. Boleh hantar pada bila-bila masa saja apabila manuskrip sudah disiapkan sepenuhnya,” tambahnya.

Manuskrip boleh dihantar melalui e-mel yang ditujukan kepada karya.maneswordworks@gmail.com untuk karya bahasa Melayu dan fiction.maneswordworks@gmail.com untuk karya bahasa Inggeris.

Penilaian biasanya mengambil masa antara tiga dengan enam bulan.

Maklumat lanjut tentang keperluan manuskrip juga boleh dirujuk di ruangan ‘Highlights’ akaun Instagram rasmi syarikat itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg